Harapan perwakilan Perhimpunan Agung MIC ke-78

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan hadir untuk merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-78 pada 12 Disember 2021.

Dijadualkan lebih 2000 perwakilan dari seluruh negara akan hadir pada perhimpunan yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, MIC telah mengadakan pemilihan pucuk kepimpinan baharu parti yang melibatkan tiga naib presiden, 21 ahli jawatan kuasa tertinggi dan 10 orang ahli jawatankuasa bagi setiap negeri.

Hampir 24 ribu perwakilan dari seluruh negara telah melaksanakan tanggungjawab mereka dalam pemilihan bagi penggal 2021-2024. Sebelum itu, Tan Sri SA Vigneswaran telah berjaya menyandang jawatan Presiden bagi kali kedua tanpa bertanding.

Manakala, Datuk Seri M Saravanan, Menteri Sumber Manusia juga berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden tanpa bertanding.

Vigneswaran telah menyuarakan hasrat beliau di mana Saravanan perlu diberikan peluang untuk mengekalkan kedudukannya di dalam parti. Ekoran daripada itu, ahli-ahli MIC sepakat dan akur dengan permintaan dan harapan presiden dan tidak ada sebarang pencalonan untuk jawatan yang sama dibuat. Ini telah memberikan kemenangan tanpa tanding kepada Saravanan.

Dalam pada itu, daripada enam calon yang bertanding, seramai tiga calon dipilih sebagai naib presiden. Mereka adalah Senator Datuk T Mohan, Datuk Murugiah dan Datuk Asojan.

Mohan dan Murugiah adalah penyandang jawatan yang sama, manakala muka baharu, iaitu Asojan adalah bekas Setiausaha Agung MIC.

Daripada 60 calon yang bertanding, 21 calon dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Tertinggi. Mereka yang berjaya dipilih adalah calon-calon yang dikenalpasti dan disarankan oleh Presiden MIC.

Pemilihan parti pada kali ini berlangsung secara aman, teratur dan tanpa sebarang gangguan ataupun kontroversi yang sering berlaku pada satu ketika. Nampaknya, MIC kini sudah matang dan lebih bersatupadu di bawah kepimpinan Vigneswaran.

Meskipun perbahasan dalam perhimpunan pada kali ini dijangka tidak begitu panas, namun para perwakilan berharap agar Perdana Menteri akan mengumumkan berita yang menggembirakan. Ia termasuklah rancangan khas untuk pembangunan komuniti India yang masih tertinggal dalam arus pembangunan negara, lebih-lebih lagi yang banyak terkesan pandemik Covid-19.

Meskipun MIC hanya mempunyai seorang ahli parlimen, komuniti India berharap Ismail Sabri wajar sedar bahawa MIC selaku rakan setia UMNO sejak era merdeka lagi, masih berdiri teguh dan menyokong pencalonan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri apabila timbul soal pelantikan Perdana Menteri baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pelantikan Ismail Sabri sebagai PM ke-8 telah mengubah landskap politik Malaysia yang menampakkan penerajuan semula oleh UMNO.

Dalam usaha membantu pembangunan sosioekonomi kaum India, kerajaan pernah melancarkan pelbagai pelan tindakan khas, termasuk CCIC, SITF, PTST dan SEED.

Malah pihak kerajaan menubuhkan sebuah Unit Khas Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India atau Socioeconomic Development of Indian Community (SEDIC) pada tahun 2017 di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menggerak dan memacukan pembangunan masyarakat India.

Kini, SEDIC telah diubah namanya sebagai Unit Malaysian Indian Transformation (MITRA) dan kini diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan yang berperanan sebagai agensi yang menyalurkan bantuan dana bagi melaksanakan pelbagai program sosioekonomi.

Memandangkan pengagihan bantuan dana MITRA menjadi kontroversi sebelum ini, maka adalah besar harapan kaum India agar kerajaan menghidupkan semula unit sosioekonomi di Jabatan Perdana Menteri untuk menguruskan program pembangunan kaum India dengan peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan.

MIC di bawah kepimpinan Vigneswaran telah melalui banyak perubahan dan mendapat sokongan hebat kaum India sehingga MIC bangkit semula. Semangat perpaduan dan disiplin dalam parti amat menyerlah, Bahkan boleh dikatakan lebih baik daripada parti-parti komponen BN.

Golongan muda India mula mendekati MIC atas perkembangan positif MIC ini. Ini amat jelas kelihatan dalam pemilihan parti baru-baru ini di mana sebahagian besar calon yang dipilih sebagai pemimpin adalah daripada golongan muda dari pelbagai peringkat dan golongan masyarakat India.

Kemenangan calon MIC dalam PRN Melaka baru-baru ini juga menunjukkan isyarat bahawa pengundi India kembali menyokong MIC kerana MIC kini diyakini berada dalam landasan betul.

Apa pun, para perwakilan amat berharap PM akan mengumumkan sesuatu pelan bagi pembangunan kaum India yang boleh menyuntik semangat kepada ahli MIC sekali gus komuniti India menjelang PRU15.

Memandangkan kaum India banyak berjasa dan memberi sumbangan besar terhadap pembangunan negara ini serta bersama BN/UMNO dalam menghadapi politik kritikal, maka tidaklah begitu keterlaluan jika Perdana Menteri memberikan satu lagi jawatan Menteri atau Timbalan Menteri bagi parti MIC.

Pendek kata, sebarang pengumuman tentang pelantikan pemimpin MIC sebagai ahli Jemaah menteri atau Timbalan Menteri akan mencerminkan dasar inklusif dan Keluarga Malaysia yang menjadi dasar kerajaan kepimpinan Ismail Sabri.

* Datuk M Periasamy ialah penganalisis politik dan sosioekonomi Negara


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


MIC harus ‘jatuh bangun’ dengan Umno

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker