Ambil kira siasatan ‘pemain utama’ skandal 1MDB



Ambil kira siasatan ‘pemain utama’ skandal 1MDB

Mahkamah Persekutuan digesa mempertimbangkan segala pembuktian mengenai kes Najib Razak berhubung dana SRC International, termasuk hasil siasatan beberapa “pemain utama” dalam penyelewengan dana 1MDB, kata seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Rahman Dahlan berkata pendedahan bekas Peguam Negara Tommy Thomas dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pembabitan beberapa individu “besar” membuktikan “terdapat fakta yang jelas, yang tidak boleh ditolak tepi begitu saja” berhubung rasuah melibatkan jutaan ringgit.

“Saya berharap sangat mahkamah (Persekutuan) memberi pertimbangan terhadap beberapa perkara yang timbul iaitu kenyataan SPRM terhadap beberapa individu yang didapati berkompromi, sebab mereka adalah ‘players’ dalam hal ini.

“Perkara itu perlu diberi masa untuk diambil maklum secara terperinci kerana semua ini berkait,” katanya kepada FMT.




Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan Rabu lalu untuk mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib Razak atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International.

Pasukan peguam bekas Perdana Menteri sudah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan, namun butiran lanjut tidak diketahui.

Bulan lalu, Thomas mendedahkan siasatan terhadap bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz dan suaminya, Tawfiq Ayman berhubung skandal 1MDB tidak selesai atau ditutup semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Rahman yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud berkata tindakan mensabit dan menjatuhkan hukuman kepada Najib tanpa menyiasat terlebih dahulu “dakwaan” rasuah membabitkan keluarga Zeti mencetuskan tanda tanya oleh pelbagai pihak.

“Sepatutnya apa yang dikatakan itu disiasat dahulu, sama ada apa yang mereka (Zeti dan beberapa individu yang disebut) buat itu beri kesan atau tidak terhadap kes Najib.




“Benda ni dah panas, mengapa mereka tidak dipanggil atau diambil tindakan. Rakyat nak tahu, ada tak hubungan kes ini dengan kes Najib,” katanya.

Rahman berkata beliau sebelum ini menggesa agar keputusan mahkamah terhadap kes Najib ditangguhkan agar penilaian menyeluruh kes berkenaan dapat dilaksanakan dengan teliti.

“Apa salahnya buat dulu siasatan terhadap individu yang disebut dalam kenyataan SPRM. Rakyat membaca, dan ia akan beri impak negatif kepada badan kehakiman. Lengkapkan siasatan, baru boleh buat keputusan. Ini adalah (melibatkan bekas) perdana menteri, kenalah ada sedikit keprihatinan, belas kasihan dan perikemanusian kerana kes ini besar.

“Apa salahnya tangguh sebulan dua lagi untuk tengok betul-betul,” katanya.

Semalam Umno dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), menyatakan dukacita terhadap keputusan rayuan kes rasuah SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib dan menyuarakan harapan keputusan di Mahkamah Persekutuan kelak dapat diadili dengan saksama.




Setiausaha Agungnya Ahmad Maslan berkata, tanpa hilang hormat kepada keputusan Mahkamah Rayuan itu, ramai menganggap tuduhan melibatkan beberapa tokoh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah bermotifkan politik. FMT

Ambil kira siasatan ‘pemain utama’ skandal 1MDB


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Arab Saudi dikecam netizen, konsert Bieber halal, Tabligh haram

‘Saya pakai lagi seksi keluar dengan suami’



Leave a Reply

Your email address will not be published.