Dua ditahan usung keris, pedang ke Pulau Besar demi TikTok

PEMERIKSAAN lanjut polis menemukan sebilah pedang, dua bilah parang serta lima bilah keris dalam operasi bersepadu pematuhan SOP PPN di Pulau Besar, Melaka.

MELAKA: Seorang lelaki dan wanita diberkas polis selepas membawa pedang, parang serta keris ke Pulau Besar di sini, semata-mata mahu membuat kandungan sosial media TikTok, kelmarin.

Suspek yang masing-masing berusia 45 dan 41 itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi dalam operasi bersepadu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil pemantauan pasukan polis bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah telah menahan lima individu yang dikesan berkumpul di pulau tersebut.

Katanya, pemeriksaan lanjut telah menemukan sebilah pedang, dua bilah parang serta lima bilah keris.

“Susulan itu, seorang lelaki yang berasal dari Kelantan dan wanita dari Sabah telah ditahan selepas mengaku merupakan pemilik kepada senjata berkenaan.

“Tiga individu yang lain bagaimanapun dilepaskan selepas selesai memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua individu tersebut mendakwa, membawa kesemua senjata berkenaan ke pulau itu bagi membuat rakaman video untuk kandungan media sosial TikTok.

“Kedua-dua mereka ini telah mengikuti kelas silat dan suspek wanita baharu sahaja mendapat sijil sebagai peserta, manakala lelaki itu merupakan seniornya.

“Mereka mendakwa membawa senjata-senjata itu ke Pulau Besar hanya untuk membuat content akaun Tiktok,” katanya.

Katanya, kertas siasatan berhubung kejadian tersebut dibuka mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun.  -UTUSAN ONLINE

Dua ditahan usung keris, pedang ke Pulau Besar demi TikTok


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Muafakat Nasional, UMNO Selangor utus surat kepada Hadi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker