Selepas Bangsar South dan Ainsdale, apakah Pekan Nanas akan jadi Pineappolis

Selepas Bangsar South dan Ainsdale, apakah Pekan Nanas akan jadi Pineappolis

Seorang aktivis masyarakat mempersoalkan kenapa pihak berkuasa tempatan membenarkan nama Inggeris menggantikan nama tempatan untuk pelbagai projek pembangunan.

Kua Kia Soong, yang juga bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, menyoal sama ada amalan itu berpunca daripada penjajahan British yang melahirkan golongan pemikir dan pegawai daripada kelas pertengahan, yang melihat “Barat” itu lebih baik dan “Putih” amat didambakan.



Beliau berkata pemikiran seperti itu, dalam kalangan mereka, secara sedar atau tidak, berkemungkinan menyumbang kepada masalah pelbagai tempat mempunyai nama Inggeris, walaupun negara sudah merdeka 64 tahun.

Kua mengulas kritikan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim baru-baru ini bahawa penggunaan bahasa Inggeris sebagai nama tempat berbanding bahasa Melayu sebagai “menjijikkan”.

“Saya tertanya-tanya apakah suatu hari nanti Pekan Nanas (di Pontian, Johor) akan bertukar nama menjadi ‘Pineappolis’,” kata Kua dalam surat kepada FMT.

Kua menarik perhatian kepada papan-papan tanda di sepanjang lebuh raya negara yang memaparkan nama-nama perbandaran baharu seperti “Ainsdale” atau “Southville”, membuatkan beliau rasa seolah-olah melewati bandar-bandar di AS.



“Betul kata Frantz Fanon bahawa jiwa pasca penjajahan kita dibelenggu kebudayaan Barat yang dominan,” tulisnya, merujuk kepada Frantz Omar Fanon, seorang ahli psikiatri dan ahli parti revolusi Algeria.

Penulisan Fanon banyak menumpukan kepada kesan penjajahan ke atas mental masyarakat yang dijajah, serta pemulihan keperibadian dan budaya.

“Adakah kita benar-benar tahu siapa ‘kita’? Bukankah sudah tiba masanya kita menuntut semula budaya dan warisan kita? Sudah tentu, penggunaan nama Barat memadam identiti kita dan mengukuhkan pandangan dunia si penjajah yang sarat dengan perkauman.”

Kua akui jarang “senada” dengan Rais dalam isu-isu politik, namun bersetuju dengan tegurannya kali ini.



“Bayangkan awak membesar di Kampung Kerinchi dan sekarang terpaksa beritahu kawan-kawan anda menetap di ‘Bangsar South’, yang kini sudah diningratkan dengan golongan ekspat dan pelancong.

“Apa pihak berkuasa tempatan tak boleh fikirkan nama lain dalam bahasa orang tempatan atau kekalkan nama yang bersejarah itu?”

Kua berkata pribumi serata dunia sudah memulakan gerakan memulihara dan menghidupkan budaya masing-masing, kerana percaya mengembalikan adat, bahasa, dan nilai akan menyemai rasa bangga terhadap warisan, lalu melahirkan individu dan masyarakat yang sihat.

Begitu juga golongan pendatang yang turun-temurun mengajar anak-anak mencintai asal usul dengan menggalakkan penggunaan bahasa serta amalan nilai dan adat, tambahnya.



“Membina pengetahuan dan rasa bangga terhadap budaya sendiri boleh menguatkan kesihatan mental belia kita dan mempersiapkan mereka menghadapi perkauman, kebencian, dan prejudis lain yang mereka mungkin hadapi terutama di luar negara.”

Bagaimanapun, Kua menambah, “apabila melihat keadaan sekeliling kita, bukan saja nama tetapi ruang fizikal di mana-mana, semua pegawai perbandaran bukan sahaja perlu menyertai kursus tentang rasa bangga terhadap sejarah dan budaya, tetapi juga tentang keindahan dan pemeliharaan alam.”

Sebelum ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz di Dewan Rakyat berkata Kuala Lumpur sudah “hilang identiti” apabila semakin banyak nama bangunan dan perumahan dalam bahasa Inggeris.

Nazri memberikan contoh beberapa projek hartanah seperti “Hampshire Residences” dan “Bangsar South”. FMT



Selepas Bangsar South dan Ainsdale, apakah Pekan Nanas akan jadi Pineappolis


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Arab Saudi dikecam netizen, konsert Bieber halal, Tabligh haram



‘Saya pakai lagi seksi keluar dengan suami’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker