Iktibar 7 Disember 1941

Serangan tentera udara Jepun terhadap Pearl Harbour telah memberi keyakinan kepada angkatan tentera negara matahari terbit itu bahawa ia mampu melumpuhkan kuasa besar Amerika Syarikat. –

GENERASI hari ini mungkin menganggap 7 Disember adalah satu tarikh yang tidak mempunyai signifikan terhadap negara terutama dalam perihal arah hala tuju dan masa depan sebuah negara berdaulat.

Ia adalah tarikh yang mungkin perlu diberi perhatian kerana peristiwa serangan tentera udara Jepun terhadap Pearl Harbour, Hawaii, berlaku pada tarikh tersebut, tahun 1941. Ia bukanlah kali pertama Jepun mempamerkan kekuatan ketenteraannya terhadap kuasa-kuasa utama dunia ketika itu.

Kemenangan pasukan tentera lautnya menewaskan Armada Timur Rusia di Port Arthur pada 1904 telah memberi keyakinan kepada angkatan tenteranya bahawa ia mampu melumpuhkan sebahagian besar kekuatan ketenteraan satu lagi kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS).

Bagaimana Jepun mampu menjadi kuasa ketenteraan digeruni dan apakah sifat atau sikap kepimpinan yang telah membuatkan mereka tidak gusar dengan kekuatan ketenteraan negara-negara Eropah menjelang Perang Dunia Kedua?

Bagaimana sebuah negara feudal yang hanya menerima kedatangan pihak Eropah pada 1543 mampu bertahan daripada menjadi tanah jajahan kuasa Barat pada waktu itu yang begitu rakus menguasai sebahagian besar kerajaan di Asia Tenggara.

Sejak kedatangan kapal Portugis pada 1543 dan pendaratan kapal Belanda pada 1600, kepimpinan Jepun telah menunjukkan minat mendalam untuk mempelajari pelbagai ilmu yang boleh dimanfaatkan mereka. Ia termasuklah dalam hal seperti kartografi, pembinaan kapal dan ilmu berkaitan peperangan.

SENAPANG

Paling menarik, bagaimana senapang diperkenalkan di Jepun. Apabila kelasi Portugis mendarat di negara itu, mereka turut membawa bersama senapang dihasilkan amra tentera Portugis dari kota A Famosa, Melaka yang ditawan pada 1511.

Penguasa pulau di mana kapal itu mendarat telah membeli dua laras senapang Portugis tersebut dan mengarahkan pandai besinya meniru laras serta mekanisme alat kerjanya. Beberapa tahun selepas itu, senapang buatan tempatan tersebut mula dihasilkan secara meluas.

Sejak 1560, ia mula digunakan dalam pertempuran besar antara kepimpinan ketenteraan Jepun ketika itu dikenali sebagai Shogun yang bertelagah sesama sendiri untuk memerintah Jepun.

Ia juga menandakan permulaan tamatnya penggunaan pedang, tombak dan panah sebagai senjata utama dalam peperangan serta pengaruh kumpulan pahlawan elit dikenali sebagai samurai.

Dengan pengenalan sistem senapang, kekuatan anggota tentera tradisional lelaki yang perlu membawa dan menggunakan pedang serta perisai ketika bertempur tidak lagi menjadi sesuatu yang kritikal.

Pada 1584, seorang panglima perang Jepun telah mengetuai 200 wanita yang dilengkapi senapang dalam dua pertempuran utama, manakala pada 1600, unit-unit khusus bersenjatakan senapang yang hanya dianggotai wanita telah digunakan dalam peperangan.

Penggunaan senapang dianggap amat penting oleh tentera Jepun sehinggakan pada 1592 apabila mereka menyerang Korea, seperempat daripada keseluruhan 160,000 tentera yang terlibat dilengkapkan dengan senapang. Pasukan itu hanya mengambil masa singkat untuk menawan ibu kota Korea, Seoul iaitu 18 hari selepas mendarat di pantai Busan.

Walaupun mempunyai polisi tertutup dalam hal berkaitan perdagangan dan hubungan diplomatik dengan kuasa Barat, selepas tahun 1720, Shogun telah membenarkan kemasukan buku-buku hasil penulisan dari negara luar terutama dari Belanda.

Buku-buku yang mendapat perhatian utama adalah buku-buku ilmiah dan sains yang sebelum ini dimonopoli oleh buku-buku serta ilmu yang hanya dibawa masuk dari China.

Malah, pada penghujung kurun ke-18, golongan elit di Jepun telah membangunkan rangaku atau ‘pembelajaran cara Belanda’ untuk memperkaya khazanah ilmu mereka.

Kemahuan untuk belajar ilmu bermanfaat walaupun daripada pihak yang dicurigai demi kesinambungan kuasa oleh Shogun yang berebut kuasa secara tidak langsung telah menjadikan masyarakat Jepun sebagai amat progresif.

Selain itu, mereka juga tidak mudah berpuas hati dengan hanya membeli peralatan, sebaliknya turut meniru untuk menghasilkan kelengkapan sendiri.

Paling menarik, bagaimana kehendak untuk berdikari dalam bidang pertahanan telah pun wujud ketika itu dan ia menjadikan negara matahari terbit sukar dijajah melalui cara ketenteraan.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


 

Mahathir dedahkan Tony Pua angkuh, berlagak macam menteri

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker