Shahrulezad dipindah ke HSB akibat oksigen rendah

Shahrulezad dipindah ke HSB akibat oksigen rendah

Penerbit dan pengarah popular, Shahrulezad Mohameddin dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB), di sini, berikutan tahap oksigen rendah.

Berkongsi keadaannya menerusi laman sosial, Instagram (IG), pengarah drama rantaian Nur dan Nur 2 itu memberitahu, dia dipindahkan ke hospital dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), malam ini.

“Disebabkan tahap oksigen rendah, akhirnya saya dipindahkan ke HSB. Jangan risau, tiada isu serius, cuma kelengkapan di MAEPS untuk kes pesakit kekurangan oksigen tidak secanggih di hospital ini.

“Lagipun, MAEPS dalam proses penutupan sebab kes COVID-19 di Malaysia semakin menurun. Jadi, banyak peralatan seperti mesin oksigen sudah dipindahkan.

“Jadi, pihak MAEPS memutuskan pesakit yang berdepan oksigen rendah perlu dipindahkan ke HSB. Di sini, lengkap dan canggih atas pemantauan doktor.

“Bermula malam ini, saya jadi warga HSB,” tulisnya.

Reda dan akur, Shahrulezad berkata, dia mengikut sahaja cadangan terbaik daripada doktor di MAEPS.

Bagaimanapun, kata Shahrulezad, tahap oksigen sudah meningkat dengan bantuan mesin oksigen yang ada di hospital berkenaan.

“Setakat ini, oksigen saya sudah 98 peratus. Jika ditanggalkan takut oksigen saya jatuh balik. Sekarang. doktor dalam proses nak rawat supaya sistem imunisasi badan mampu melawan ‘viral load’ dalam darah.

“Doktor memberikan saya ‘steroid’ untuk menghalang keradangan dalam organ dalaman. Tetapi, kesan ‘steroid’ ini akan menaikkan gula dalam darah.

“Untuk pesakit diabetes seperti saya situasi ini memang seram jika gula naik, namun, doktor memutuskan memberi insulin buat sementara waktu hinggalah masalah keradangan dalam badan reda gara-gara COVID-19.

“Lagi satu, doktor juga memberikan saya suntikan untuk mencairkan darah sebab kuman COVID-19. Ini kerana ia boleh membuatkan darah menjadi pekat,” katanya.

Biarpun begitu, Shahrulezad berkata, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana tahap oksigen tidak teruk. Apa yang diharapkan hanyalah, doa baik daripada orang ramai.

Dalam pada itu, Shahrulezad turut menasihatkan agar sesiapa yang merasakan dirinya tidak sedap badan terus membuat ujian calitan.

“Apabila tidak sedap badan, terus sahaja membuat ujian Rapid Test Kit (RTK) atau Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

“Dan kalau keputusan ujian calitan negatif, jangan lupa kuarantin diri. Sebab saya takut simptom COVID-19 lambat memberi kesan,” katanya.

Terdahulu, Shahrulezad menerusi perkongsian di IG mengesahkan dirinya positif COVID-19 pada 2 November lalu. Keputusan diperoleh selepas melakukan ujian saringan COVID-19 kali kedua. BH

Shahrulezad dipindah ke HSB akibat oksigen rendah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Siakap Kayangan: Pelanggan bidas semula jawapan restoren ‘Menipu kuat’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker