Sejauh manakah kekuatan tentera China?

KEKUATAN tentera China menjadi perhatian sejak akhir-akhir ini selepas tersebarnya berita kontroversi bahawa negara komunis itu melakukan dua ujian peluru berpandu hipersonik yang boleh membawa peledak nuklear dan mengelilingi bumi baru-baru ini.

Bagaimanapun, berita itu kemudian segera dinafikan oleh kerajaan China dengan menyatakan ia hanya melakukan ujian sebuah pesawat angkasa lepas bagi mencari kaedah bagi mengurangkan kos pelancarannya.

Namun, Amerika Syarikat (AS) masih memberi prasangka yang tidak baik terhadap negara komunis itu yang melancarkan sebuah satelit baharu, Shijian-21 pada 24 Oktober lalu dengan menggunakan roket Long March-3B bagi menguji teknologi untuk membersihkan sampah-sampah di angkasa lepas.

Sampah-sampah itu adalah terdiri daripada pelbagai objek buatan manusia seperti satelit yang masih terapung tetapi tidak lagi digunakan dan dilaporkan terdapat lebih 27,000 sampah di angkasa lepas.

Bagaimanapun, Washington memberi amaran bahawa teknologi yang sama akan digunakan oleh Beijing untuk memusnahkan satelit milik AS di angkasa lepas.

Pada 25 Oktober pula, tersebar berita bahawa China melancarkan ujian bahan letupan di bawah laut yang dianggap oleh media negara komunis itu boleh digunakan untuk menentang kapal-kapal tentera dan pelabuhan atau dermaga AS jika berlakunya satu peperangan antara kedua-dua buah negara.

DIDAKWA AKAN SERANG TAIWAN

Ujian letupan itu dilakukan kerana Washington didakwa mengubah taktik di Lautan Pasifik dengan menempatkan tenteranya di lokasi lebih kecil berbanding memusatkan tentera ‘Uncle Sam’ tersebut di sebuah tempat sahaja sebagai cara untuk mengurangkan kerosakan akibat diserang.

Dalam pada itu, sebuah jet pejuang senyap atau ‘stealth’ yang mempunyai dua buah tempat duduk akan memulakan penerbangan sulungnya tidak lama lagi ketika China semakin ‘galak’ menunjukkan kekuatam teknologi ketenteraannya pada tahun ini.

Kekuataan ketenteraan China menjadi tumpuan selepas negara itu dikatakan akan menyerang dan menakluk semula Taiwan yang terpisah daripada pentadbiran komunis sejak tahun 1940an lagi.

Menurut satu artikel di Forbes, Beijing mungkin memerlukan seramai dua juta askar dan melakukan 14 kali pendaratan pencerobohan pantai atau mendarat di 10 pelabuhan utama di Taiwan yang terletak amat hampir dengan China.

Berdasarkan kepada laporan ‘Pembangunan Keselamatan dan Ketenteraan Melibatkan Republik Rakyat China 2020’ yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertahanan AS baru-baru ini, negara komunis itu didapati mempunyai angkatan laut terbesar di dunia.

Ia mempunyai kira-kira 350 pelbagai jenis kapal perang berbanding AS iaitu 293 buah kapal sejak awal tahun 2020 selain mempunyai dua buah kapal pengangkut pesawat, Liaonong serrta Shandong manakala yang ketiga, Type 003 masih lagi dalam pembinaan.

 

Tentera China mempunyai peluru berpandu hipersonik jarak pertengahan iaitu DF-17 yang menggunakan teknologi canggih. - Foto AFP
Tentera China mempunyai peluru berpandu hipersonik jarak pertengahan iaitu DF-17 yang menggunakan teknologi canggih. – Foto AFP

 

Tentera AS pula mempunyai 11 kapal pengangkut pesawat iaitu yang paling banyak di dunia.

Sebagai tambahan, China mempunyai 46 kapal selam berkuasa diesel, enam buah kapal selam berkuasa nuklear dan empat kapal selam kelas misil balistik dan dibantu dengan 255 kapal milik Pasukan Peronda Pantai.

Tentera negara komunis itu pula dilaporkan mempunyai lebih 1,250 peluru berpandu balistik yang boleh dilancarkan dari daratan dan peluru berpandu daratan yang boleh bergerak sejauh 500 hingga 5,000 kilometer.

Pada tahun 2019, peluru berpandu antara benua China iaitu DF-41 didedahkan kepada orang ramai pada perarakan tentera sempena Hari Kebangsaan yang boleh bergerak sejauh 15,000 kilometer.

Namun, ia juga mempunyai peluru berpandu jarak pertengahan iaitu DF-17 hipersonik yang ditambah baik dan menurut penganalisis senjata bahawa tidak ada mana-mana sistem peluru berpandu boleh memintasnya.

China juga merupakan salah sebuah angkatan tentera yang mempunyai sistem pertahanan udara berintegrasi yang terbesar di dunia termasuk sistem pertahanan dari permukaan ke udara buatan Rusia iaitu S-400s, S-300s dan sistem pertahanan udara buatan sendiri.

TERBESAR DI DUNIA

Menurut portal The National Interest pada Januari tahun lalu, China memiliki angkatan kereta kebal yang terbesar di dunia iaitu kira-kira 6,900 buah mengatasi AS dan Rusia.

Terdapat spekulasi bahawa tentera negara komunis itu mempunyai kira-kira 400 peledak senjata nuklear tetapi AS pula menyatakan Beijing hanya mempunyai sejumlah kecil senjata berkenaan.

Menurut laporan ‘Pembangunan Keselamatan dan Ketenteraan Melibatkan Republik Rakyat China 2020’, China membangunkan tentera udaranya sehingga menjadi terbesar di rantau Asia Pasifik dan ketiga terbesar di dunia apabila mempunyai lebih 2,500 pesawat dan kira-kira 2,000 pesawat tempur.

Dari segi bilangan askar pula, Beijing dilaporkan mempunyai lebih 915,000 anggota tentera yang aktif mengatasi AS yang hanya mempunyai 486,000 anggota tentera yang aktif.

China juga menjadi pengeksport terbesar dron dengan para pelanggannya terdiri dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

Dron buatan negara komunis itu dieksport ke rantau Arab kerana Kongres AS mengharamkan banyak negara daripada membelinya atas alasan kebimbangan tentang isu hak-hak asasi manusia. – Agensi

Sejauh manakah kekuatan tentera China?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Parti Muhyiddin Tukar PAS Jadi Tidak Terlalu Melayu Tidak Terlalu Islam

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker