Ketepi perbezaan, fokus jayakan bajet Keluarga Malaysia

Ketepi perbezaan, fokus jayakan bajet Keluarga Malaysia

Bahang pasca pembentangan Bajet 2022 masih terasa apabila semua pihak tidak berhenti daripada memberi ulasan mengenai belanjawan yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera.

Baik orang politik, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), warga pekerja, pelajar universiti serta mereka yang belum bekerja juga mempunyai pandangan masing-masing dan perlu diraikan.

Ada juga pihak yang gemar membuat perbandingan mengapa kumpulan ini mendapat perhatian lebih daripada kerajaan dan mengapa kumpulan ini tidak pula mendapat perhatian yang sama.

CUEPACS percaya, kerajaan membuat keputusan yang dirasakan terbaik untuk memenuhi semua aspirasi rakyat dengan mengambil kira pelbagai faktor dan pandangan sebelum belanjawan itu diumumkan.

Apatah lagi dengan situasi pandemik yang melanda negara hampir dua tahun ini susulan penularan wabak COVID-19 yang mengakibatkan ramai pihak terkesan dan perlu dibantu melalui pelbagai inisiatif oleh kerajaan.

Umumnya, penjawat awam adalah pihak yang selalu menjadi mangsa perbandingan segelintir kumpulan tertentu yang sering tidak berpuas hati dengan apa yang diterima mereka dalam setiap bajet kerajaan.

Sama seperti Bajet 2021, bajet kali ini juga kami tidak terlepas daripada pertanyaan berbentuk sindiran – mengapa penjawat awam masih diberikan perhatian oleh kerajaan, walaupun tidak terkesan dengan COVID-19.

CUEPACS yakin perhatian oleh kerajaan melalui apa yang diterima penjawat awam daripada Bajet 2022 adalah wajar kerana kerajaan adalah majikan kepada penjawat awam.

Tambahan pula, penjawat awam itu sendiri adalah kumpulan yang bertanggungjawab bagi menjayakan segala inisiatif kerajaan untuk rakyat melalui penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.

Jangan dilihat sedikit manfaat yang diterima oleh penjawat awam, tetapi lihat juga amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh penjawat awam bagi memastikan setiap inisiatif dapat disampaikan kepada rakyat.

Komitmen kerajaan mendukung penyampaian perkhidmatan awam adalah untuk memberikan perkhidmatan berintegriti dan menentukan ketelusan tadbir urus kerajaan terus dipergiat bagi memastikan penyampaian terbaik kepada rakyat.

Di sebalik inisiatif yang diterima dalam Bajet 2022, sebenarnya tugas berat menanti setiap warga perkhidmatan awam bagi menjayakan strategi dalam belanjawan terbabit, termasuk perancangan yang ditetapkan kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Justeru, adalah sangat wajar kerajaan terus mendukung penyampaian perkhidmatan awam, terutama melalui inisiatif pembaharuan dalam penyampaian perkhidmatan, di samping memelihara kebajikan penjawat awam.

ejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun lalu, kita menyaksikan banyak organisasi tidak dapat beroperasi dengan baik kerana tidak bersedia menghadapi situasi pandemik terbabit.

Perkhidmatan awam juga tidak terkecuali daripada terkena tempiasnya, namun sesuatu perlu dibuat bagi membolehkan sektor ekonomi terus berjalan dan rakyat masih boleh mendapatkan perkhidmatan dengan baik.

Perkhidmatan awam perlu diperkasa supaya kekal berdaya tahan bagi menghadapi situasi luar jangka yang mungkin boleh berlaku pada masa hadapan, sama seperti dialami ketika COVID-19.

CUEPACS melihat segala inisiatif melalui pembaharuan penyampaian perkhidmatan membolehkan rakyat dan golongan sasar mendapat akses lebih luas kepada perkhidmatan kerajaan dengan lebih selamat dan di luar kebiasaan waktu pejabat.

Jika dahulu perkhidmatan kerajaan hanya boleh diakses di kaunter tertentu pada waktu pejabat, namun dengan pembaharuan yang dilaksana membolehkan perkhidmatan terbabit mampu diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Pada masa sama, komitmen daripada seluruh warga penjawat awam dituntut bagi memastikan segala aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksana dengan berkesan.

Tiada masa lagi untuk kita bertangguh dan memberi 1,001 alasan kerana setiap penjawat awam adalah tulang belakang bagi pentadbiran kerajaan yang menjayakan segala inisiatif di bawah Bajet 2022 dan RMK-12.

Sokongan daripada seluruh rakyat juga perlu untuk bersama dengan warga perkhidmatan awam, menggembleng tenaga dan berganding bahu bagi membawa negara keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 ini.

CUEPACS juga berharap kerajaan komited dalam melaksanakan segala inisiatif yang diumumkan kepada rakyat, termasuk penjawat awam sendiri.

Penjawat awam menghargai segala inisiatif yang diberikan kepada mereka melalui Bajet 2022 seperti bantuan khas kewangan berjumlah RM700 serta gantian cuti rehat (GCR) yang dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari.

Begitu juga dengan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari yang sebelum ini pernah diumumkan ketika Bajet 2020, tetapi tidak dapat dilaksanakan kerajaan.

Bagaimanapun jika inisiatif yang diumumkan itu tidak dapat dilaksanakan tanpa sebab penjelasan kukuh, ia tentu memberi kesan motivasi kepada penerima manfaat terbabit.

CUEPACS juga berharap kerajaan terbuka untuk membuka pintu rundingan dengan semua pihak bagi menambah baik lagi segala inisiatif yang terkandung dalam Bajet 2022 sebelum ia dilaksanakan pada tahun hadapan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS)

Ketepi perbezaan, fokus jayakan bajet Keluarga Malaysia


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Suami pelakon ditahan reman, gaduh dalam keadaan mabuk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker