NUTP bidas kaji selidik dedah guru buat jenaka seksual

NUTP bidas kaji selidik dedah guru buat jenaka seksual

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menolak laporan kaji selidik yang mendedahkan 44% daripada 1,056 responden wanita mengakui pernah mendengar guru membuat jenaka provokatif secara seksual dan menganggapnya sebagai satu kajian yang sangat tidak saintifik.

Setiausaha Agung NUTP Wang Heng Suan berkata, kaji selidik dan kumpulan yang menjalankan kaji selidik itu bersikap “tidak adil dan tidak bertanggungjawab” apabila peratusan itu hanya merangkumi 0.003% daripada populasi rakyat Malaysia, menyebabkan ia bukan hanya tidak tepat tetapi salah.

Katanya, ramai guru meluahkan rasa jelik terhadap kaji selidik itu dan menolak dapatan mereka.

Wang berkata, dapatan kaji selidik yang secara terang-terangan tidak tepat itu dilihat tidak berlaku adil kepada beratus orang guru di Malaysia yang bekerja keras melaksanakan tugas masing-masing terutama ketika melalui kesukaran di saat pandemik Covid-19.

“Kaji selidik ini ternyata tidak adil kerana ia tidak merangkumi responden mencukupi di seluruh negara. Jika jumlah responden lebih besar, saya yakin keputusannya mungkin berbeza.

“Kaji selidik seperti ini hanya mencalar imej guru dan mempengaruhi orang awam untuk mempunyai persepsi negatif terhadap profesion perguruan. Orang tidak tahu mengenai jumlah sebenar responden, sebaliknya hanya membuat rumusan berdasarkan tajuk dan beberapa perenggan awal,” katanya kepada FMT.

Selasa lalu, laporan memetik kaji selidik yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan (NGO) apabila wanita berusia 18 hingga 30 tahun mengakui sering berdepan gangguan seksual manakala 44% mendedahkan pernah mengalami atau menyaksikan guru membuat jenaka provokatif secara seksual.

Manakala 45% responden mendakwa mereka tidak pernah mengalami atau menyaksikan guru membuat jenaka provokatif itu dan 11% pula tidak pasti atau tidak ingat sama ada pernah mengalaminya ketika di sekolah.

Kaji selidik seluruh negara dijalankan oleh Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) dengan kerjasama All Women’s Action Society (AWAM) yang membabitkan seramai 1,056 responden itu bertujuan untuk mengenal pasti sama ada mereka pernah mengalami gangguan seksual ketika melakukan aktiviti harian.

Wang menggesa kumpulan terbabit supaya menjalankan kajian lebih jujur dan menyeluruh pada masa hadapan yang merentasi pelbagai golongan populasi termasuk guru, pelajar dan ibu bapa.

“Majoriti guru di luar sana mengambil serius tugas masing-masing dengan matlamat utama untuk mendidik pelajar.

“Guru juga sentiasa meningkatkan nilai masing-masing untuk berdepan dengan suasana pengajaran secara digital dan penggunaan aplikasi serta alat bantuan mengajar yang baharu. Mereka tidak mempunyai banyak masa untuk membuat jenaka seperti itu,” katanya. FMT

NUTP bidas kaji selidik dedah guru buat jenaka seksual


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Firdaus Wong dedah bukti perbualan lucah pendakwah terkenal

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker