Bukan ‘takdir Allah’, manusia punca banjir di Kedah, kata NGO

Bukan ‘takdir Allah’, manusia punca banjir di Kedah, kata NGO kepada Takiyuddin

Takiyuddin Hassan diminta untuk memahami maksud sebenar antara “takdir Allah” dan bencana yang disebabkan oleh perbuatan manusia sendiri.

Seorang aktivis alam sekitar menegur menteri tenaga dan sumber asli itu berhubung kenyataannya yang mengaitkan bencana di Gurun, Yan dan Merbok di Kedah baru-baru ini sebagai “takdir Allah”.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Eko-Pelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (Ecomy) Andrew Sebastian berkata Takiyuddin mengambil jalan mudah apabila menyatakan kejadian itu adalah takdir tuhan.

“Tidak dapat dinafikan bahawa hampir semua bencana banjir yang berlaku adalah disebabkan campur tangan manusia,” katanya kepada FMT.

Katanya, aktiviti manusia bertanggungjawab menyebabkan pengeluaran gas rumah hijau dan suhu meningkat di seluruh dunia.

“Kita hilang kawalan atau keadaan muka bumi semakin berubah disebabkan corak cuaca yang ekstrem.

“Apa yang kita lihat di Kedah ini adalah perkara yang dirasai dan dilihat berlaku di sekeliling dunia,” katanya yang menjelaskan antara campur tangan manusia termasuk pembersihan tanah dan pembangunan.

Disebabkan itu, Sebastian berkata, penduduk negara ini mungkin melalui corak cuaca yang lebih ekstrem, khususnya pada hujung tahun apabila lebih banyak tanah runtuh dan banjir kilat akan berlaku.

Daripada menyalahkan tuhan, katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan segera.

Beliau menggesa kerajaan membekukan aktiviti pembersihan tanah dan memberi perlindungan secara kekal terhadap semua hutan rizab di semua negeri termasuk Kedah.

Ketika melawat kawasan banjir, Takiyuddin berkata pokok lengkap dengan akar yang dihanyutkan air dalam kejadian itu bukanlah berpunca daripada aktiviti pembalakan.

“Ini adalah satu ‘act of God’. Satu takdir Allah,” kata menteri itu.

Kita perlu perancangan lebih baik untuk tangani banjir

Seorang lagi aktivis alam sekitar Irshad Mobarak berkata hutan hujan bertindak seperti span yang menahan air dan melepaskannya ke dalam aliran dan sungai.

Katanya, sejak berabad lalu, Kedah menggunakan sebahagian besar kawasan dataran rendah hutan hujan untuk menjalankan aktiviti penanaman padi namun sejak kebelakangan ini, pembangunan bandar-bandar kecil menyebabkan aliran air yang tinggi ke lembah sungai yang rendah.

“Oleh itu, kawasan-kawasan ini lebih terdedah kepada bencana banjir

“Hujan adalah kejadian alam semula jadi. Tetapi kita harus memikirkan untuk membuat perancangan lebih baik untuk berdepan banjir,” kata Irshad kepada FMT.

Katanya, bandar dan penempatan penduduk harus diwujudkan untuk mencerminkan keadaan alam sekitar.

“Jika anda tinggal di kawasan lembah sungai yang terdedah kepada banjir, anda harus lebih bersedia untuk menyesuaikan diri atau berdepan akibatnya,” katanya.

Dari segi sejarah, Irshad berkata, rumah-rumah kampung direka untuk disesuaikan dengan keadaan persekitaran tempat tinggal penduduk.

“Ia bukan hanya dibina untuk menangani cuaca panas terik tetapi rumah mereka juga biasanya dibina berhampiran dengan sumber air seperti sungai kerana ramai penduduk Melayu bekerja sebagai petani dan nelayan,” katanya.

Ia dibina di atas tiang yang kadangkala berketinggian kira-kira dua meter atau lebih dari tanah untuk bertahan daripada banjir.

“Malangnya, kebanyakan rumah hari ini dibina menggunakan batu dan motar dari permukaan tanah.

“Jika banjir besar melanda, rumah seperti ini lebih terdedah dan akan menyebabkan kerosakan harta benda dan mungkin kehilangan nyawa,” katanya. FMT

Bukan ‘takdir Allah’, manusia punca banjir di Kedah, kata NGO


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Jangan tunggu lagi, wajibkan penggunaan ‘pulse oximeter’ – gesa Najib

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker