Pembangkang patut terima janji Ismail, letak syarat rencat reformasi

Pembangkang patut terima janji Ismail, letak syarat rencat reformasi

Parti-parti pembangkang digesa menerima reformasi yang dijanjikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan bukannya menetapkan syarat yang akan merencatkan usaha reformasi negara.

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata ini kerana reformasi sering kali dapat dilaksanakan hanya apabila kerajaan mempunyai majoriti yang lemah.



“Perlu difahami bahawa usul ini bukan datang daripada kedudukan kuasa Ismail Sabri yang kuat, tetapi daripada dirinya yang berada dalam keadaan (politik) yang lemah.

“Katakan, bila parlimen digantung, ini adalah waktu terbaik untuk menggesa reformasi dan inilah saat tepat bagi rakyat untuk mengemukakan tuntutan mereka.

“Kita juga harus faham ketika bekas perdana menteri Najib bertindak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan ordinan darurat lain sebelum ini, ia dilakukan ketika BN sudah kehilangan majoriti dua pertiga,” kata Arutchelvan.

Pada akhirnya, Arutchelvan (gambar, bawah) berkata reformasi akan memberi manfaat kepada rakyat.



“Pembangkang tidak boleh menangguhkan reformasi ini kerana kebanyakan reformasi ini bukanlah perkara baru dan merupakan reformasi yang mereka sendiri telah bincangkan sebelum ini.

“Dengan pembangkang meletakkan syarat […] hanya akan merencatkan dan menunjukkan bahawa mereka tidak berminat dengan perubahan asas.

“Mereka harus faham reformasi institusi akan menguntungkan rakyat dan juga kerajaan baru kecuali mereka tidak pernah serius tentang hal itu,” katanya.

Dengan majoriti tipis, Ismail Sabri telah mengadakan perbincangan dengan pembangkang untuk menawarkan pelbagai reformasi institusi sebagai pertukaran sokongan untuk memastikan kestabilan politik.



Semalam Ismail Sabri berkata kabinetnya bersetuju melaksanakan sejumlah reformasi parlimen dan pentadbiran bagi mengembalikan kestabilan politik negara untuk menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

Ini termasuk pembentangan rang undang-undang (RUU) antilompat parti di parlimen, penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun serta keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang seimbang di antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

Untuk rekod tujuh reformasi itu hampir sama dengan tawaran rentas parti yang diumumkan Muhyiddin Yassin semasa mencari sokongan di ambang peletakan jawatannya pada 13 Ogos lalu.

Bagaimanapun, di sebalik pengumuman reformasi yang dijanjikan kerajaan pimpinan Ismail Sabri, Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan proses perbincangan untuk menanggapinya masih berjalan.



Pengerusi PH, Anwar Ibrahim berkata dia menyambut baik kenyataan mengenai penambahbaikan itu dan menganggapnya sebagai permulaan yang baik.

Mengulas lanjut, Arutchelvan berkata, dia berharap Anwar akan menerima tawaran Ismail Sabri untuk menaikkan taraf ketua pembangkang sebagai penerima manfaat setara dengan menteri kanan.

“Dia harus melakukan perkhidmatan awam percuma semasa pandemik dan bukannya untuk mendapat keuntungan darinya. Ini akan memberi mesej yang jelas kepada orang lain yang menerima jawatan menteri baru yang bergaji.

“Ramai rakyat Malaysia di luar sana telah menunjukkan kualiti yang luar biasa ketika berdepan dengan pandemik ini dengan memberikan khidmat percuma mereka dan sudah tiba masanya ahli politik menunjukkan komitmen yang sama,” katanya.



Pembangkang patut terima janji Ismail, letak syarat rencat reformasi


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Koperal cedera parah dilanggar, diseret suspek



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker