Maut lepas vaksin jarang berlaku, tapi majoriti babitkan penerima Sinovac

Maut lepas vaksin jarang berlaku, tapi majoriti babitkan penerima Sinovac

Walaupun semua vaksin Covid-19 yang diluluskan di Malaysia sangat berkesan untuk mencegah kematian yang disebabkan oleh wabak ini, mereka sama sekali tidak sepenuhnya dapat menghilangkan risiko itu.

Pun begitu, data makluman Kementerian Kesihatan semalam menunjukkan jumlah kematian Covid-19 yang tidak seimbang di antara individu yang divaksinasi lengkap berlaku di kalangan penerima vaksin Sinovac.



Secara keseluruhan, daripada 18,802 kematian yang dicatatkan dalam kumpulan set data itu seramai 922 (4.9 peratus) individu telah diberi vaksin lengkap dan sebahagian besar melibatkan warga negara Malaysia.

Kematian ini direkod antara 7 Jun dan 6 September, terutamanya di kalangan warga emas (744 orang; 80.6 peratus) dan pesakit dengan komorbiditi (750 orang; 81.3 peratus); pesakit yang meninggal dunia dengan kedua-dua keadaan (605 orang; 65.6 peratus).

Kematian di kalangan pesakit bawah umur 60 tahun tanpa komorbiditi hanya menyumbang 33 kes (3.6 peratus).

Berdasarkan analisis data Malaysiakini, penerima vaksin Sinovac menyumbang 710 daripada 922 kematian ini (77.0 peratus), walaupun penerima vaksin Sinovac hanya merangkumi 51.5 peratus orang yang lengkap divaksin pada 6 September termasuk tempoh 14 hari selepas dos kedua.



Sebagai perbandingan, penerima vaksin Pfizer menyumbang 206 kematian (22.3 peratus) tetapi menyumbang 43.6 peratus daripada jumlah populasi Malaysia yang lengkap divaksin.

Dengan kata lain, terdapat 10.11 kematian dikalangan penerima vaksin untuk setiap 100,000 orang yang lengkap menerima dua dos vaksin Sinovac dan 3.47 kematian untuk 100,000 penerima Pfizer.

Perbezaannya lebih ketara apabila melihat 33 kes yang melibatkan individu berumur bawah 60 tahun tanpa sejarah penyakit kronik.

Daripada jumlah tersebut, hanya tiga orang (9 peratus) yang mendapat vaksin Pfizer manakala 30 yang lain (90.9 persen) menerima vaksin Sinovac.



Tidak jelas apakah ini disebabkan perbezaan keberkesanan vaksin, atau kerana populasi yang menerima vaksin Sinovac entah bagaimana barangkali lebih banyak terdedah kepada virus ini.

Walaupun Sinovac lebih banyak digunakan di beberapa negeri, faktor lain yang boleh mempengaruhi keberkesanan sebarang vaksin termasuklah keadaan hidup, pekerjaan, status sosioekonomi, tahap pendidikan dan kesedaran Covid-19.

Walaupun begitu, kematian dikalangan penerima vaksin jarang-jarang berlaku berbanding dengan orang yang tidak divaksinasi.

Sejak kematian pertama dikalangan penerima vaksin sehinggalah rekod data yang terbaru, terdapat juga 10,211 kematian di kalangan orang yang tidak divaksinasi. Ini 11 kali lebih tinggi daripada jumlah kematian di kalangan penerima vaksin Covid-19.



Terdapat juga 3,443 orang yang menerima satu dos vaksin, tetapi tidak dapat bertahan hayatnya untuk mendapatkan dos kedua dan meninggal dunia akibat Covid-19 dalam tempoh ini.

Menurut takrif Kementerian Kesihatan, seseorang dianggap lengkap divaksin setelah tempoh waktu tertentu selepas dos terakhir untuk memberi masa kepada tubuh membina imuniti terhadap Covid-19.

Untuk vaksin dua dos seperti yang dihasilkan oleh Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca, tempoh itu 14 hari selepas dos kedua.

Untuk vaksin satu dos seperti Johnson & Johnson dan CanSino Biologics, ia memerlukan jangka masa 28 hari selepas vaksinasi. Mk



Maut lepas vaksin jarang berlaku, tapi majoriti babitkan penerima Sinovac


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Sanggup mengaku sepupu elak dicekup



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker