Jangan salah faham hukum tinggal solat Jumaat tiga kali – Zulkifli

Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak terpedaya dengan salah faham berkenaan hukum meninggalkan solat Jumaat lebih tiga kali seperti yang disebarkan menerusi media sosial akhir-akhir ini.

Ada segelintir pihak yang berkongsi potongan hadis kononnya seseorang itu dikira munafik sekiranya meninggalkan solat Jumaat lebih tiga kali.

Isu ini akhirnya mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sebelum beliau tampil dengan pencerahan sebenar mengenai perkara itu menerusi buku bertajuk Soal Jawab Fiqh Covid-19 (edisi kemas kini) hasil tulisan beliau sendiri.



Zulkifli berkata, dakwaan bahawa kononnya meninggalkan solat Jumaat lebih tiga kali termasuk dalam golongan munafik adalah suatu salah faham yang jelas.

Menurutnya, benar terdapat hadis sedemikian tetapi ia perlu dibaca secara menyeluruh kerana dalam isu Covid-19, ia adalah satu wabak penyakit berjangkit.

“Justeru, ia lebih bersifat kemaslahatan umum yang kita disuruh untuk kuarantin dan duduk di rumah, maka ia perlu lebih lagi diutamakan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.



Zulkifli menegaskan bahawa perkara itu juga sudah dibincangkan bersama pihak-pihak seperti Kementerian Kesihatan dan juga pakar-pakar berkenaan.

“Maka, kami katakan golongan yang dicap sebagai munafik itu adalah mereka yang meninggalkan tiga kali Jumaat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran.

“Sedangkan situasi yang berlaku sekarang adalah umat Islam sedang berada dalam keadaan darurat kesihatan disebabkan penularan wabak penyakit perjangkit Covid-19,” katanya.

Justeru, katanya, beliau dengan rendah diri merayu agar seluruh umat Islam di negara ini kekal meletakkan kepatuhan yang tinggi terhadap arahan kerajaan dan fatwa pihak berkuasa agama.



Pencerahan sebenar mengenai hukum solat ini boleh dimuat turun di pautan https://mira.gov.my/wp-content/uploads/2020/09/FIQH-COVID_Kemas-Kini-1_compressed-1.pdf. – K! ONLINE

Mengamuk tak dapat solat Jumaat



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker