Abang Jo belum fikir lagi permintaan Pas Sarawak bertanding di PRN 12

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg belum memikirkan permintaan Pas Sarawak yang mahu Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi laluan kepada parti itu bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang.

“Saya masih di Long Terawan, tidak terfikir tentang perkara itu (permintaan Jofri). (Saya) masih sibuk dengan pemasangan jalur lebar (SRBN)… habis memasang jalur lebar baru la,” katanya yang merupakan Pengerusi GPS dalam nada yang berseloroh.

Semalam, Astro AWANI melaporkan harapan Pas Sarawak agar GPS memberikan ruang kepada parti itu meletakkan calon sekurang-kurang di satu atau dua kerusi pada PRN12.

Pesuruhjayanya, Jofri Jaraiee berkata, peluang meletakkan calon akan menzahirkan semangat kerjasama antara Pas yang merupakan komponen Perikatan Nasional (PN), manakala GPS menyokong PN.

Selain itu, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak menyatakan penghargaan beliau dengan keputusan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk membantu GPS memenangi PRN12 akan datang.

Katanya, GPS menyambut baik sesiapa sahaja yang ingin membantu mereka untuk memenangi pilihan raya itu.

“Terima kasih kepada mereka (PN) yang hendak membantu, orang nak membantu kita sambut (baik), orang nak lawan kita, kita lawan balik,” katanya.

Ahad lalu Majlis Tertinggi PN sebulat suara bersetuju menggerakkan jentera serta akar umbi parti di setiap peringkat bagi membantu GPS memenangi PRN Sarawak yang dijangka diadakan selepas berakhir perintah darurat.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker