Hanya BN mampu ‘beri nyawa kepada ekonomi’ – Zaid

#PRU15

Hanya BN mampu ‘beri nyawa kepada ekonomi’ – Zaid

Zaid Ibrahim menyeru Umno dan Barisan Nasional (BN) bekerja keras demi memastikan “kemenangan penuh” pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Pilihan raya ini akan menunjukkan peralihan sokongan besar kepada Umno dan BN daripada pengundi Melayu dan bukan Melayu di pinggir bandar dan kawasan bandar,” kata bekas menteri undang-undang itu sambil menambah beliau menjangkakan BN akan menang banyak kerusi, terutama di Perak dan Selangor.

“Rakyat tidak mahu kerajaan yang sibuk memeterai perjanjian politik, sama ada di Hotel Sheraton atau mana-mana hotel lain. Mereka mahu kerajaan yang boleh memberi nyawa kepada ekonomi,” katanya dalam ucaptama di perhimpunan Bagan Datuk, Perak semalam selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dicalonkan bagi mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Zahid, yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk sejak 1995, dalam usaha mempertahankan kerusi itu buat penggal ketujuh berturut-turut.

“Selepas PRU14 pada 2018, ramai yang gembira Umno akhirnya tumbang. Mereka kata orang Melayu korup sudah dijatuhkan dan bercakap berhubung kelahiran semula negara.

“Sungguh mengecewakan empat tahun kebelakangan ini. Ekonomi kita merudum dan prestasi pasaran saham paling teruk di rantau ini,” katanya sambil menambah negara melalui detik paling sukar dalam sejarahnya.

Zaid berkata, menteri Pakatan Harapan (PH) memburukkan lagi keadaan dengan memotong bantuan dan subsidi yang memberi kesan langsung kepada orang Melayu.

“Aset Tabung Haji dan Khazanah dijual, bahkan rizab Petronas menjunam. Mata wang kita menyusut dan kini kita bergelut untuk membayar import makanan kita.”

Zaid kemudian membidas kepimpinan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

“Muhyiddin merupakan perdana menteri paling teruk yang pernah kita ada. Beliau terpaksa menutup Parlimen demi memastikan tiada sesiapa boleh mengemukakan undi tidak percaya.

“Akhirnya, beliau dijatuhkan, namun atas kos apa kepada negara?

“Kita mempunyai tiga perdana menteri dalam tempoh empat tahun, tapi tiada kerajaan sebenar,” katanya sambil menambah tindakan Zahid “mendesak dan menekan” secara berterusan yang membawa kepada pembubaran Parlimen.

“Akhirnya, kita boleh memilih kerajaan sebenar.”

Zaid berkata, pembangkang tidak mahu pilihan raya diadakan kerana takut mengalami kekalahan teruk.

“Mereka mula memberi alasan untuk menangguhkan pilihan raya.”

Beliau kemudian menyentuh satu daripada alasan lebih utama, berkaitan sabitan bekas perdana menteri, Najib Razak dalam kes SRC International.

“Satu daripada alasan (pembangkang) adalah Umno mahu mengadakan pilihan raya umum supaya ia boleh mengambil alih kerajaan dan membebaskan Najib dari penjara.

“Najib tidak pernah meminta kerajaan membebaskan atau memberi pengampunan kepadanya. Beliau hanya mahu perbicaraan baharu, perbicaraan adil. Beliau layak mendapatnya.”

Beliau berkata, Najib berdepan beberapa kesukaran dalam kes mahkamah SRC International yang membawa kepada salah laksana keadilan.

“Beliau banyak kali dinafikan peluang mengemukakan keterangan yang boleh membebaskannya. Hakim perbicaraan yang berdepan konflik kepentingan enggan menarik diri.

“Najib juga dinafikan hak asasinya untuk diwakili peguam dan diberikan perbicaraan sewajarnya di Mahkamah Persekutuan.

“Beliau berhak mendapat perbicaraan baharu. Menjadi tanggungjawab kerajaan yang baik dan adil memberikan keadilan kepada semua.

“Sebaliknya, ketika berkuasa, pembangkang sering menyalahgunakan proses undang-undang demi manfaat mereka sendiri.

“Mereka membebaskan (Lim) Guan Eng, walaupun kes terhadapnya hampir 70% selesai.”

Zaid menamakan R Sivarasa, Hassan Karim, Thomas Su, Eric Paulsen dan Tamrin Ghafar Baba sebagai individu yang dibebaskan daripada pertuduhan jenayah atas arahan bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Pendedahan terbaharu menunjukkan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Thomas turut melantik hakim di peringkat tertinggi yang melanggar undang-undang, kata Zaid.

“Ketika berkuasa selama 60 tahun, kerajaan BN tidak pernah menggunakan kuasanya membebaskan pemimpin Umno berprofil tinggi,” katanya memetik bekas menteri Mokhtar Hashim yang didapati bersalah kerana membunuh, dan bekas menteri besar Selangor, Harun Idris serta Khir Toyo yang disabitkan bersalah kerana rasuah dan menjalani hukuman mereka.

Zaid berkata, sistem keadilan negara sangat memerlukan pembaharuan.

Katanya, salah bagi peguam negara, yang merupakan penasihat undang-undang kerajaan, untuk turut bertindak sebagai pendakwa raya kerana dibimbangi menyalahgunakan kuasa demi kepentingan politik.

“Tindakan PH secara terang-terangan mengabaikan undang-undang sepatutnya meyakinkan pengundi bahawa mereka tidak akan melaksanakan pembaharuan yang diperlukan untuk sistem keadilan negara.

“Hanya Umno dan BN boleh dan akan melakukannya,” katanya sambil menambah Zahid berjanji akan memastikan pelaksanaan pembaharuan yang diperlukan. FMT

Hanya BN mampu ‘beri nyawa kepada ekonomi’ – Zaid


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Myvi diterbalik kerana mengejek,langgar penghantar makanan (Video)

“Are You F*ck….” – Tular Video Calon MUDA Kepala Batas Mencarut Ketika Berucap (Video)

Anak belasah ibu kerana tak kemas rumah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker