Lengahkan pembukaan Parlimen bangkit amarah rakyat


Lengahkan pembukaan Parlimen bangkit amarah rakyat

Penganalisis politik menjangkakan Parlimen tidak akan bersidang dalam waktu terdekat.

Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, tindakan itu akan mencetuskan kemarahan rakyat yang melihat titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah tidak diendahkan buat kali kedua.

“Kerajaan mungkin akan melambatkan (pembukaan) Parlimen dan ini akan memberikan persepsi kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin yang menggambarkan titah Agong dan Majlis Raja-Raja tidak diendah untuk kali kedua.



“Saya kira kalau berlaku, ini sudah melampaui kelaziman dan ia akan membangkitkan rasa marah rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada 24 Febuari lalu, YDPA bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

Malah pada 16 Jun lalu, baginda mahu persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin selepas berkenan menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Mengulas lanjut, Awang Azman menambah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu bimbang pembukaan Parlimen akan membuka ruang undi tidak percaya terhadap dirinya.



Sebaliknya jelas beliau, ini kerana seramai 25 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) baru-baru ini yang memberi gambaran bahawa sebahagian besar pemimpin parti itu tidak menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Muhyiddin.

Kata Awang Azman, kegagalan membuka Parlimen seperti yang digesa pelbagai pihak juga akan mengeruhkan lagi hubungan dalaman di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.

“Tidak perlu bimbang undi tidak percaya, sebab kalau berdasarkan riuh rendah UMNO mereka berbelah bagi apabila Nazri beritahu 25 daripada 41 Ahli Parlimen membuat akuan bersumpah untuk menolak menukar kerajaan dan menolak untuk menyingkirkan Muhyiddin.

“Maknanya SD itu bertujuan mengekalkan kerajaan PN dan Muhyiddin, jadi tidak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri,”tambahnya.



Sekiranya pandemik Covid-19 membimbangkan Muhyiddin untuk membuka Parlimen, Awang Azman berkata, ia boleh dilaksanakan secara dalam talian kerana pada akhirnya pelbagai isu rakyat dapat dibincangkan.

“Sedangkan kita tahu Parlimen perlu dibuka untuk berbincang pelbagai perkara pemberian vaksin lambat, Prosedur Operasi Standard (SOP) bertindih, peruntukan, pemulihan ekonomi, rakyat semakin sukar, rancangan Malaysia bagaimana pengisiannya sepatutnya dibincang secara terbuka di Parlimen situasi ini kalau dibiarkan secara berterusan,” kata beliau lagi.

Pada 21 Jun lalu, UMNO mendesak kerajaan menghormati titah YDPA dan Raja-Raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah YDPA akan dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu. MG

Lengahkan pembukaan Parlimen bangkit amarah rakyat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Shahidan jangan tembak dalam gelap, reka cerita kucar-kacirkan keadaan

Related Articles

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker