Datuk seri antara 19 ditahan terbabit judi mesin slot
Seorang lelaki bergelar datuk seri adalah antara 19 individu ditahan polis di sekitar Lembah Klang dalam operasi memerangi kegiatan judi mesin slot dari 17 hingga 20 Mei lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata lelaki berusia 55 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket itu ditahan di kediamannya di Bukit Segar, Cheras.
“Selain datuk seri itu, polis turut menahan sembilan individu lain yang dipercayai anggota sindiket tersebut merangkumi seorang wanita tempatan, lima lelaki Myanmar serta tiga lelaki Bangladesh berusia 17 hingga 71 tahun,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.
Azmi berkata sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini. Dalam serbuan berkenaan polis turut merampas wang tunai berjumlah RM579,000, tiga utas jam tangan bernilai RM238,000, tujuh jongkong emas dan loket bernilai RM58,250 serta tiga kenderaan bernilai RM1.2 juta yang ditemukan di kediaman datuk seri itu.
Sembilan lagi individu merupakan pemain serta penjaga premis, iaitu masing-masing tiga lelaki Bangladesh dan Myanmar yang ditahan ketika leka bermain judi mesin slot pada 17 Mei di sekitar Jalan Pudu.
Katanya turut ditahan seorang lelaki tempatan dan dua lelaki Myanmar yang dipercayai penjaga premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas sejumlah barang termasuk 16 alat kawalan, empat set komputer, dua kotak perisian, dua cip kredit perjudian, buku catitan perjudian serta wang tunai RM10,213,” katanya.
Menurut Azmi lagi kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(C) dan Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/1963.
Katanya empat daripada yang ditahan itu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dengan dua daripada mereka turut berdepan tindakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001, katanya. Bernama
Kenapa kasino, pusat judi dibenar buka semasa PKP? – PCM
You must be logged in to post a comment.