Warga emas hayun sabit positif dadah, miliki 16 rekod jenayah

Warga emas hayun sabit positif dadah, miliki 16 rekod jenayah. Lelaki warga emas yang ditahan kerana mengamuk dengan melibas sabit di atas kereta peronda polis (MPV) di hadapan Balai Polis Gopeng di sini pada Rabu didapati positif dadah jenis syabu dan heroin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semakan lanjut mendapati suspek berusia 61 tahun itu turut mempunyai 16 rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan dadah.

Menurutnya, suspek memasuki kawasan balai berkenaan dengan menunggang motosikal yang dirampas daripada orang awam di Pasar Awam Lawan Kuda di sini.

“Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, suspek yang membawa parang dan sabit bersamanya dilihat melibas senjata itu di hadapan pintu masuk balai sebelum keluar menuju ke Jalan Ipoh-Kuala Lumpur.

“Pergerakan suspek bagaimanapun disekat dan sebuah MPV polis diletakkan di tengah jalan bagi tujuan menghalang orang ramai melalui kawasan terbabit.

“Suspek kemudian meluru dengan memanjat bumbung MPV serta melibaskan parang dan sabit bagi mengelakkan dirinya didekati polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mior Faridalathrash berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng membantu polis melakukan tangkapan dengan menyembur air ke arah suspek sebelum jatuh di atas jalan.

“Suspek didapati mengalami kecederaan daripada proses tangkapan tersebut. Tiada anggota cedera dalam kejadian itu.

“Turut dirampas ialah sebilah parang, sabit panjang, sebuah motosikal dan empat anak kunci. Permohonan reman akan dilakukan esok (Khamis),” jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pasukan bomba membuat semburan air terhadap seorang lelaki yang bertindak agresif dengan menghayun sabit dalam kejadian di hadapan Balai Polis Gopeng.

Semburan air dilakukan bagi meredakan tindakan lelaki yang turut memegang sebilah parang ketika berdiri di atas kereta peronda polis.

Warga emas hayun sabit positif dadah, miliki 16 rekod jenayah


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Lelaki mengamuk hayun sabit atas kereta polis ditahan [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker