Polis sudah kenal pasti suspek conteng mural

KUALA LUMPUR, 8 Zulhijjah 1441H, Rabu – Siasatan terhadap kes menconteng perkataan kurang menyenangkan pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara akan diselesaikan dalam masa terdekat, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata, pihaknya telah mendapat beberapa petunjuk baharu dalam siasatan kes berkenaan.

“Saya tidak akan mendedahkan petunjuk baharu kerana masih dalam siasatan. Oleh itu, saya mohon berikan kami sedikit masa untuk menyelesaikan siasatan kes ini.

“Selain itu, suspek juga telah dikenal pasti berdasarkan risikan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul yang baharu, di sini hari ini.



Mazlan berkata, setakat ini hanya satu sahaja kertas siasatan telah dibuka berhubung kes terbabit dan beberapa laporan polis telah dilakukan.

Baru-baru ini, mural memaparkan potret antaranya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 Shah Alam, Selangor.

Kejadian vandalisme itu disedari seorang pekerja restoran yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan.

Mural itu adalah hasil karya tiga anak muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27 tahun. – Bernama



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker