Perbezaan demokrasi Malaysia dan Amerika

PADA 16 September 1963, iaitu ketika Malaysia diisytiharkan sebagai sebuah negara berdaulat, Dewan Rakyat mempunyai 104 wakil dari Tanah Melayu, 16 dari Sabah, 24 mewakili Sarawak dan 15 lagi wakil Singapura. Asasnya pada ketika itu, Malaysia mempunyai 159 wakil rakyat bagi 159 kawasan Parlimen. Sementara Dewan Negara mempunyai 50 wakil kesemuanya.

Sejajar dengan pembangunan negara terutama sekali dari segi pertambahan penduduk dan memenuhi keperluan politik semasa, pertambahan wakil rakyat tercetus beberapa kali sehinggalah pada hari ini, Dewan Rakyat memiliki seramai 222 ahli kesemuanya. Setiap wakil rakyat ini mempunyai cabaran tersendiri kerana kawasan yang diwakili adalah berbeza luasnya dan juga bukan sahaja jumlah penduduk berbeza tetapi komposisi masyarakat juga berbeza.

Putrajaya dan Labuan hanya mempunyai satu kerusi Parlimen manakala Sarawak memiliki jumlah terbanyak, iaitu 31. Kuala Lumpur yang berkeluasan 243 kilometer (km) persegi diperuntukkan 11 kerusi Parlimen yang mewakili 1.8 juta penduduk manakala Pahang dengan keluasan 36,965 km persegi dengan 1.7 juta penduduk mempunyai 14 kerusi Parlimen, iaitu hanya tiga lebih daripada Kuala Lumpur walaupun perbezaan dari segi keluasan jauh berbeza.



Tidak syak lagi gabungan faktor jumlah penduduk serta keluasan negeri memainkan peranan penting dalam hal pembahagian kawasan Parlimen.

Terdapat negeri yang menagih pertambahan wakil rakyat atas dasar pertambahan penduduk atau pembangunan pesat.

Ada juga negeri mendakwa diperuntukan jumlah kerusi perlu mengikut faktor perundangan. Adakah permintaan daripada negeri ini sama ada adil atau tidak bergantung kepada sudut pandang masing-masing?

Dalam hal ini, menarik jika diambil contoh bagaimana Amerika Syarikat (AS) menentukan jumlah kerusi Parlimen setiap negeri melalui jumlah wakil dalam Dewan Perwakilan Kongres. Menarik dijadikan contoh kerana negara itu mempunyai 50 negeri dengan penduduk seramai 332 juta dan keluasan keseluruhan 9,526,468 km persegi.



Jika diambil kira ketiga-tiga faktor tersebut iaitu jumlah negeri, penduduk dan keluasan, secara logik jumlah perwakilan menjangkau ribuan ramainya. Jika jumlah perwakilan Dewan Rakyat boleh berubah tetapi di AS perlembagaan persekutuan negara itu mengehadkan jumlah Dewan Perwakilan kepada 435. Peruntukan jumlah wakil setiap negeri adalah berdasar kepada konsep pembahagian (apportion) jumlah penduduk setiap negeri.

 

PERANG REVOLUSI

Jumlah penduduk dikemas kini melalui banci penduduk yang dilaksana setiap 10 tahun. Mengikut kaedah pembahagian maka jumlah perwakilan boleh berubah setiap 10 tahun. Umpamanya banci 2010 Texas mempunyai 36 perwakilan tetapi banci 2020 menyaksikan pertambahan dua perwakilan. Sementara California pula mengalami nasib dikurangkan satu perwakilan kerana berlaku susutan jumlah penduduk dalam jangka masa tersebut.



Tetapi paling menarik, peruntukan perlembagaan dan perundangan mengenai pembahagian jumlah perwakilan tidak mengambil kira status setiap negeri ketika penubuhan AS. Umpamanya 13 negeri yang pada asalnya menubuhkan AS selepas isytihar merdeka daripada jajahan British selepas Perang Revolusi Amerika pada 1776 mempunyai hak sama seperti mana Alaska dan Hawaii yang hanya menyertai AS pada 1959.

Penggunaan kaedah pembahagian jumlah perwakilan adalah untuk memberi keadilan kepada negeri yang mempunyai jumlah penduduk sedikit seperti Wyoming dan untuk memastikan negeri mempunyai ramai penduduk seperti California tidak membolot jumlah perwakilan. Begitu jua keadilan sama rata digunakan dalam peruntukan kerusi Dewan Senat, iaitu setiap negeri diberi hak melantik dua senator tidak kira Rhode Island (keluasan lebih kurang Lembah Klang) iaitu negeri paling kecil keluasannya atau Alaska, negeri paling luas.

Menarik juga diberi perhatian, pilihan raya presiden yang dilaksanakan setiap empat tahun mengamalkan sistem electrol college dan bukan undi popular demi mengelak fenomena berat sebelah di mana presiden hanya dari negeri yang mempunyai ramai penduduk. Setiap negeri diperuntukan jumlah undi electrol college bersamaan dengan jumlah perwakilan dan senator yang dimiliki setiap negeri.

Memang benar sistem demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia dan AS berbeza kerana di negara tersebut, pemilihan presiden ditentukan secara langsung oleh undi daripada rakyat manakala perdana menteri di negara ini pula ditentukan oleh parti politik yang melepasi jumlah majoriti kerusi Parlimen dimenangi dan membentuk Kerajaan Persekutuan.



Tetapi asasnya adalah keadilan politik telah dipamerkan oleh AS melalui sistem pemilihan presiden, ahli Dewan Perwakilan dan Dewan Senat demi memberi peluang sama rata kepada semua negeri dan rakyatnya melunaskan tanggungjawab masing-masing. Memang bukan semuanya indah dalam hal demokrasi dan kesaksamaan politik di AS tetapi dalam hal tiga bentuk pemilihan yang menjadi tonggak demokrasi negara kuasa besar itu, banyak perkara sebenarnya yang boleh dijadikan iktibar tetapi mengikut acuan kita sendiri. – UTUSAN

PENULIS ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).

Perbezaan demokrasi Malaysia dan Amerika


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Johor: Mahathir Melihat Maszlee Malik Sebagai Menteri Pelajaran Yang Bermasalah

Video beri gambaran impak sekiranya semua senjata nuklear meletup [VIDEO]



PRN Johor: Muhyiddin Menipu Apa Hari Ini?

Hasil Forensik, Polis Dedah Temui Luka Besar Di Paha Tangmo Nida, Calar Di Badan Penumpang Bot

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker