Umum calon ketua menteri wanita, Muhyiddin takut penentangan dalaman – Kit Siang

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang melontarkan persoalan mengapa Perikatan Nasional (PN) lewat mengumumkan calon ketua menteri Melaka.

Dalam satu kenyataan, Lim mempersoalkan apakah benar gabungan politik itu sedang mempertimbangkan untuk memilih Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon ketua menteri, namun mendapat tentangan dari dalam.

Mas Ermieyati, yang juga merupakan seorang timbalan menteri, bertanding di kerusi Tanjung Bidara menentang Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan (PH) yang kurang dikenali, Zainal Hassan.



“Muhyiddin memiliki bom jangka di Melaka – ketidakupayaannya untuk mengumumkan Mas Emieyati Samsuddin sebagai calon Bersatu untuk jawatan ketua menteri Melaka kerana bantahan keras dalam parti.

“Bolehkah (Pengerusi PN) Muhyiddin Yassin meneutralkan bom jangka ini di Melaka?” soal Lim.

Semalam, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata PN telah memutuskan  calon bagi jawatan ketua menteri Melaka.

Bagaimanapun, tidak seperti BN dan PH, Muhyiddin berkata PN hanya akan mengumumkan calon ketua menterinya sebelum hari mengundi pada 20 Nov.



Seorang lagi calon ketua menteri yang disebut-sebut ialah Pengerusi Bersatu Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen.

BN telah mengumumkan penyandang ketua menteri Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri, manakala PH memilih Adly Zahari yang berkhidmat sebagai ketua menteri dari 2018 hingga 2020 sebagai calon gabungan itu.

Selepas memulakan kempen PN yang agak perlahan, Muhyiddin turun padang untuk membantu jentera parti itu dengan menguar-uarkan gabungan parti itu sebagai “pilihan yang lebih bersih”.

Ini termasuk menganjurkan majlis menandatangani borang aku janji bagi kesemua 28 calon PN di Melaka malam tadi bagi mengelakkan mereka terlibat dalam rasuah.



Legasi ‘gagal’

Lim bagaimanapun mempertikaikan janji dan komitmen PN dalam menjalankan tadbir urus yang baik.

“Muhyiddin benar bahawa kemenangan Umno akan menandakan kembalinya kepada kleptokrasi tetapi tempoh Muhyiddin sebagai perdana menteri telah menyaksikan rasuah meningkat dengan ketara,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Dengan kebanyakan calon PN adalah muka baru, PN juga dilihat memanfaatkan imej Muhyiddin, dengan memasang sepanduk memaparkan potret bekas perdana menteri itu walaupun dia tidak bertanding pada pilihan raya Melaka.



Bagaimanapun, Lim menegaskan legasi Muhyiddin hanyalah ‘konspirasi’, kegagalan menangani pandemik Covid-19 dan usahanya mengekalkan kuasa.

Lim mengimbas semula penglibatan Muhyiddin dalam Langkah Sheraton yang menyaksikan Bersatu menjatuhkan kerajaan PH dan kegagalan dasar menangani Covid-19 yang menyaksikan virus itu merebak ke seluruh negara,  serta meragut lebih 29,000 nyawa.

Selain itu, kata Lim, Muhyiddin juga cuba mengekalkan kuasa ketika menjadi perdana menteri dengan mengisytiharkan darurat.

Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada Ogos lalu dan tempatnya digantikan oleh Ismail Sabri Yaakob dari Umno.



Muhyiddin tak upaya umum calon ketua menteri wanita – Kit Siang


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pembelot berdepan kesukaran tanpa BN – Najib



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker