Fatin penyelam komersial yang ‘rare’, pendapatan lumayan

Fatin penyelam komersial yang ‘rare’, pendapatan lumayan

Tidak jauh dari pesisir pantai, Fatin Nadzirah Mohd Arsad, menyelam ke kedalaman 14 meter untuk menampal konkrit pada pembentung dalam laut. Penglihatan agak terhad sedalam itu, lagi-lagi apabila matahari sedang berlabuh.

Diselubungi kegelapan dan sambungan kabel hayat (umbilical cable), Fatin meraba-raba dalam air berpandukan arahan dari anak kapal di permukaan.

Mereka harus waspada kerana perubahan cuaca boleh menggandakan risiko pada nyawa Fatin. Gelora dan arus sentiasa mengancam mereka. Fatin nekad: Ini tugas pertamanya untuk menjadi salah seorang daripada sekumpulan kecil penyelam komersial wanita.

“Pukul 6 petang saya masuk air, pukul 9 malam naik. Kita tak nampak apa-apa. Sifar. Saya gerak dalam air berpandukan arahan dan raba-raba saja pakai tangan,” cerita Fatin, 31, kepada FMT tentang tugasannya pertama setahun lalu.

Sejak itu, sudah kira-kira 30 kali ibu tiga anak ini menyelam untuk bekerja. Ramai tidak tahu Fatin antara empat penyelam komersial wanita yang masih aktif.

“Kali pertama terjun, saya hanya ingat hidup atau mati. Takut dan gementar, dengan topi menyelam yang berat. Tapi inilah yang kita impikan sejak zaman sekolah,” katanya.

Minat Fatin pada aktiviti menyelam begitu mendalam. Di menara gading lagi, Fatin sudah tahu apa yang beliau inginkan – lesen selam komersial dari Australia.

Fatin giat menyelam skuba sambil mengajar orang berenang. Dia juga mengusahakan sebuah pusat selam rekreasi di Kampung Mukut, Tioman, bersama suaminya – juga seorang penyelam komersial.

Bagaimana wanita ini boleh ‘terjebak’ dalam bidang mencabar ini?

Minatnya teruja selepas mengikuti suaminya meleraikan tali yang terbelit pada kipas sebuah kapal di Pelabuhan Klang.

“Hari-hari saya tanya dia perempuan boleh ke jadi penyelam komersial? Suami kata ‘tak ada masalah’ tapi kita (wanita) tak pernah dapat peluang,” katanya.

Fatin berkenalan dengan suaminya, Ahmad Saifuddin Ahmad Sapawi, 35, ketika aktiviti skuba. Dengan sokongan pasangannya, Fatin memohon dan mendapat tawaran untuk menyertai kursus selam komersial di Melaka, yang akan melatihnya sambil bekerja.

“Masa nak buat selam komersial, saya dapat banyak tentangan (daripada ramai orang). Mereka selalu cakap ‘perempuan tak boleh buat’, ‘larat ke?’, ‘boleh ke kerja berat?’. Saya buktikan perempuan pun boleh buat dan ada kemampuan.”

Saifuddin mengenali Fatin sebagai seseorang yang lasak dan “amat mencintai air”.


Fatin Nadzirah bersama suaminya, Ahmad Saifuddin.

“Saya kenal isteri saya. Selalunya kami buat aktiviti sama-sama. Saya percaya dia boleh buat (kerja selam komersial), sebab itu saya cadangkan pada dia,” katanya kepada FMT.

Katanya, bidang kerja selam komersial luas dengan banyak cabang, termasuk kimpalan dalam laut.

“Segala aktiviti pertukangan dalam air kita buat. Contohnya pembinaan, pembaikan, pemeriksaan, pemulihan, mencari barang hilang, dan mencari kapal karam,” katanya.

“Kalau ada kapal karam, kita akan periksa dan kita rancang bagaimana nak angkat kapal itu atau potong dalam air. Kita pun buat kerja mencuci dalam tangki air.”

Saifuddin memberitahu ada dua jenis penyelam iaitu “inshore” (tepi pantai) dan “offshore” (tengah laut) yang masing-masing akan beroperasi dalam jarak tertentu.

“Kami penyelam ‘inshore’ – jarak 2km ke pesisir pantai,” katanya.

Pasangan ini akui proses untuk menceburi kerjaya mereka agak sukar disebabkan kos yuran yang mahal di samping tubuh badan yang sihat. Saifuddin berkata yuran sahaja boleh mencecah sehingga RM60,000.

Antara ‘lesen’ yang perlu disediakan seorang penyelam sebelum terpilih untuk tugasan adalah sijil National Institute of Occupational Safety & Health (NIOSH), Construction Industry Development Board (CIDB), Australian Diver Accreditation Scheme (ADAS), dan Commercial Divers Network (CDN).

“Harga yuran amat berbaloi dengan pendapatan yang bakal kita dapat,” kata Saifuddin, dengan senyuman lebar.

Untuk penyelam sambilan seperti Fatin, mereka akan dibayar antara RM400 – RM800 sehari, bergantung pada jenis tugasan.

Gaji penyelam tetap seperti Saifuddin, yang berkhidmat dengan syarikat minyak, tak setinggi penyelam sambilan, tetapi dibayar gaji bulanan walaupun tiada tugasan.

“Boleh dapat berbelas ribu sebulan,” katanya.

Fatin dan Saifuddin berharap pihak berwajib akan mempromosi bidang ini kepada anak muda dan membuka laluan untuk mereka menceburinya.

Kata mereka, bidang yang istimewa dan lumayan ini tidak patut dibiarkan dipelopori penyelam asing. FMT

Fatin penyelam komersial yang ‘rare’, pendapatan lumayan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Pelakon Mak Wan Latah Menikah Lagi, Kali Ini Pindah Ikut Suami Ke Kuala Pilah

Luna Maya Terkedu Ditanya Soalan Panas, “Awak Pernah Buat Jahat Dalam Kereta Tak?

Pak Nil bertemu jodoh?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker