Gomez jawab SPRM isu Azam Baki

Gomez jawab SPRM isu Azam Baki

Pakar ekonomi, Prof Edmund Terence Gomez berkata sidang akhbar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam untuk menjelaskan kontroversi membabitkan ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Gomez bulan lalu meletakkan jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM (PPPR) dengan mendakwa panel itu gagal bertindak ke atas dakwaan konflik kepentingan melibatkan Azam, khususnya berhubung pemilikan berjuta-juta saham dalam dua syarikat senaraian awam.



Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM (LPPR) Abu Zahar Ujang semalam mengadakan sidang media khas untuk menjelaskan isu itu dan menyanggah kenyataan Gomez.

Bagaimanapun, penjelasan Abu Zahar bahawa saham itu dibeli atas nama Azam oleh adiknya telah menarik perhatian Suruhanjaya Sekuriti kerana ia berpotensi melanggar Akta Perindustrian Sekuriti Depositori Pusat 1991 (Sicda).

Gomez berkata hal itu bukan sahaja mengetengahkan isu pentadbiran SPRM tetapi juga jawatankuasa pemantau yang sepatutnya memastikan suruhanjaya antirasuah itu memikul tanggungjawab, sebaliknya terpaksa menyelamatkan ketuanya.

Berikut adalah maklum balas penuh Gomez terhadap sidang media khas SPRM semalam.



Saya merujuk kepada laporan berita mengenai kenyataan Tan Sri Abu Zahar Ujang, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM, dan Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM, pada sidang media mereka pada 5 Januari 2022.

Banyak yang dijangkakan daripada sidang media ini kerana Abu Zahar telah berjanji untuk menjelaskan mengapa beliau tidak mengambil tindakan apabila dakwaan serius mengenai kepentingan perniagaan Azam dibawa kepada perhatiannya.

Banyak juga yang telah dijangka daripada Azam, kerana dia tidak bercakap secara terbuka mengenai dakwaan ini sejak pertama kali timbul beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, kenyataan Abu Zahar dan Azam menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.



Kenyataan mereka mendedahkan lebih banyak masalah dalam SPRM, sambil menimbulkan kebimbangan baru yang amat mendukacitakan tentang kepentingan perniagaan melibatkan Azam.

Isu-isu baru ini berkaitan dengan tiga persoalan teras: pertama, adakah pentadbiran dalam SPRM begitu lemah?

Kedua, bolehkah Lembaga Penasihat bertindak secara saksama, serta sewajarnya, apabila menangani dakwaan serius ketidakwajaran oleh pegawai kanan SPRM?

Ketiga, adakah jawapan Azam menimbulkan persoalan undang-undang dan peraturan baru tentang kepentingan perniagaannya? Saya akan menjawab isu-isu ini secara berasingan.



Isu 1: Pentadbiran SPRM yang lemah?

Abu Zahar menegaskan pejabatnya tidak menerima walaupun satu daripada tiga e-mel yang saya hantar kepadanya. Bagaimana ini boleh berlaku?

Jika ya, ini menunjukkan kecuaian besar di pihak sekretariat SPRM atau sistem teknologi SPRM yang mengagumkan adalah sangat tak cekap. Saya mendapati dakwaan ini tidak dapat dipercayai.

Adakah kita percaya ini berlaku apabila saya menghantar e-mel kepada sekretariat berkenaan mengenai isu yang sangat penting?



Bahkan sekiranya kita menerima dakwaan bahawa sekretariat SPRM tidak menerima e-mel ini, saya memaklumkan Tan Sri Borhan Dolah, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, tentang keperluan untuk mengadakan mesyuarat mengenai perkara ini.

Borhan menjawab bahawa beliau akan meneliti perkara ini dan “menasihati SPRM dengan sewajarnya”. Saya juga memanjangkan semua e-mel saya kepada ahli Lembaga Penasihat yang lain.

Dua lagi ahli lembaga dimaklumkan tentang kebimbangan saya bahawa Abu Zahar tidak membalas e-mel saya.

Adakah Abu Zahar bertegas bahawa walaupun ramai orang menyedari e-mel saya kepadanya, tiada siapa yang membangkitkan perkara ini dengannya?



Abu Zahar mendakwa saya tidak bersetuju untuk bertemu dengannya apabila sekretariat pejabatnya menghubungi saya, melalui Whatsapp, pada hari Rabu, 28 Disember 2021, bagi meminta pertemuan.

Saya, sebenarnya, segera menjawab dengan menyatakan bahawa saya ingin berjumpa dengan Abu Zahar. Tetapi memandangkan saya akan ke luar negara tidak lama lagi, saya meminta kami bertemu malam itu, melalui mesyuarat di Zoom.

Pejabat Abu Zahar tidak menjawab permintaan saya agar kami bertemu malam itu. Saya telah memberi salinan mesej Whatsapp ini kepada editor akhbar untuk mengesahkan niat saya untuk bertemu Abu Zahar.

Isu 2: Lembaga Penasihat bebas?

Abu Zahar menyatakan bahawa Lembaga Penasihat telah bermesyuarat pada 24 November 2021. Pada pertemuan ini, Abu Zahar berkata, Azam memberi penjelasan kepada ahlinya mengenai dakwaan yang dibuat terhadapnya.

Bolehkah minit mesyuarat Lembaga Penasihat pada 24 November ini didedahkan secara terbuka kerana ini adalah kepentingan awam?

Mengapa Abu Zahar dan ahli lembaga pengarah tidak menjemput pemberi maklumat, yang membangkitkan dakwaan ini, untuk membincangkan perkara ini?

Atau, mengapa Lembaga Penasihat tidak menjemput saya untuk membentangkan dan membincangkan perkara ini kepada mereka, kerana saya telah menawarkan untuk berbuat demikian?

Mengapa Abu Zahar tidak memanggil sidang media sejurus selepas mesyuarat Lembaga Penasihat pada 24 November untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang apa yang telah berlaku, termasuk menjelaskan mengapa Azam telah dibebaskan daripada tuduhan serius yang dibuat terhadapnya?

Azam menyatakan dalam sidang akhbarnya bahawa beliau hanya bertanggungjawab kepada Lembaga Penasihat SPRM.

Beliau juga dikehendaki menjawab secara terbuka dakwaan terhadapnya, kerana perkara ini dibangkitkan di parlimen, sekali gus mencemarkan imej SPRM.

Isu 3: Pelanggaran peraturan dan undang-undang?

Respons pertama Azam kepada khalayak mengenai dakwaan terhadapnya ini menimbulkan persoalan yang amat membimbangkan:

1) Azam mendakwa saham syarikat yang dimilikinya adalah milik adiknya. Adakah Azam tidak sedar keperluan untuk mengisytiharkan ‘pemilikan benefisial’ apabila memegang ekuiti korporat dalam amanah?

2) Azam mesti sedar bahawa adalah tidak memadai untuk memaklumkan kepada pihak atasannya, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu yang tidak beliau namakan, mengenai pemilikan ekuiti korporat ini. Adakah Azam juga mengisytiharkan pemilikan ekuiti korporat ini seperti yang dikehendaki oleh peraturan kerajaan? Mengapakah Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu meluluskan bentuk pemilikan korporat Azam sedangkan dia mungkin telah melanggar undang-undang berkaitan pemilikan benefisial?

3) Adakah waran syarikat yang dimiliki Azam turut dipegang sebagai amanah untuk adiknya? Jika ya, bagaimana Azam memperoleh dana untuk memperoleh waran ini?

4) Mengapakah Azam tidak menjawab sebarang dakwaan serius lain yang dibangkitkan dalam laporan pemberi maklumat yang saya hantar kepada Abu Zahar?

Soalan-soalan ini menarik perhatian kepada isu-isu yang berkaitan dengan konflik kepentingan, pengabaian tugas, dan kemungkinan pelanggaran undang-undang dan peraturan oleh bukan sahaja Azam, tetapi pegawai SPRM lain, yang menunjukkan trend yang sangat mengganggu dalam institusi ini.

Maklum balas yang dibuat Azam kepada khalayak ini menunjukkan mengapa kini adalah mustahak untuk memulakan siasatan bebas terhadap dakwaan ini.

Kegagalan Abu Zahar menjawab isu ini menunjukkan keperluan mendesak dan segera untuk melakukan pembaharuan institusi dalam SPRM.

Adalah penting untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap secara terbuka mengenai isu ini. SPRM terletak di bawah bidang kuasanya.

Perdana Menteri juga bertanggungjawab untuk menangani perkara ini kerana sidang media oleh pegawai-pegawai tertinggi SPRM telah mencemarkan lagi integriti dan imej institusi ini. Mk

Gomez jawab SPRM isu Azam Baki


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Wanita dakwa jumpa Rasulullah alami bipolar disorder (Video)

Michael Ang jadi penyanyi pulak, ini kata Fizz Fairuz

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker