Carl Lewis bimbing Azeem

Carl Lewis bimbing Azeem

Pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi bakal mendapat bimbingan legenda Amerika Syarikat (AS), Carl Lewis sekiranya memilih untuk melanjutkan pengajian dan meneruskan kerjaya olahraganya di Universiti Houston.

Jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah, berkata atlet berusia 18 tahun itu yang meraih keputusan 6A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) menerima tiga tawaran bagi menyambung pengajiannya di AS – di Minnesota, Oregon dan Houston.



Bagaimanapun, Amir memberitahu kemungkinan besar anak didiknya itu memilih untuk berpangkalan di Universiti Houston.

“Azeem sudah putuskan untuk melanjutkan pengajiannya di luar negara dan dia mahu ke AS. Cuma, sekarang sedang dalam perbincangan bersama KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menentukan universiti yang terbaik untuk dirinya.

“Namun, besar kemungkinan universiti di Houston akan menjadi pilihan Azeem. Jika semuanya berjalan lancar, insya-Allah dia akan berangkat pada Januari nanti,” kata Amir.

Lewis, 61, yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik sembilan kali dilantik sebagai ketua jurulatih trek dan balapan Universiti Houston, bulan lalu.



Justeru, sekiranya Azeem memilih untuk ke Universiti Houston ia pastinya akan memberikan impak besar dalam kerjaya olahraga atlet kelahiran Perak itu untuk terus melakar kejayaan di pentas antarabangsa terutama dalam misi menjadi pelari pertama negara mencatat bawah 10 saat (s) dalam acara 100 meter (m).

Nama Azeem, 18, ketika ini menjadi sebutan peminat sukan tempatan selepas kejayaanya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100m dengan catatan 10.09s ketika mengungguli saringan lapan pusingan kelayakan di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, kelmarin.

Catatan itu memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul Hafiz

Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.



Azeem yang mara sehingga peringkat akhir acara 100m bagaimanapun terpaksa akur menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 10.14s, awal pagi semalam.

Bagi acara 200m pula, langkah pelari berasal dari Perak itu terhenti di peringkat separuh akhir selepas selepas menduduki tempat keempat dalam aksi saringan dua dengan catatan 20.97s, awal pagi tadi.

Sebelum itu, dia berjaya memperbaharui catatan masa peribadi terbaiknya dalam acara berkenaan ketika memenangi perlumbaan saringan tiga pusingan kelayakan dengan catatan 20.83s.

Catatan direkodkan Azeem itu dianggap masa kedua dua terpantas dalam sejarah acara 200m negara iaitu selepas rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib yang dicipta pada 2019.



Mengulas mengenai prestasi keseluruhan Azeem pada penampilan pertamanya di Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun kali ini, Amir menyifatkan pencapaian diraih anak didiknya itu adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.

“Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan prestasi Azeem dalam acara 100 dan 200m selepas dia berjaya mencatatkan masa yang sangat baik. Pada saya ia adalah pencapaian yang sangat boleh dibanggakan.

“Walaupun dalam acara 200m dia tidak berjaya ke final tetapi saya tidak berasa kecewa kerana dia berjaya melakukan catatan peribadi terbaiknya iaitu 20.83s yang mana sebelum ini adalah 20.89s. Bagi saya, dia menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam kejohanan peringkat tinggi,” katanya. BH

Carl Lewis bimbing Azeem




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Video tak senonoh didakwa penyanyi terkenal tanah air kini kecoh



Pesakit psikiatri maut terjun dari tingkat empat Aman Central

Restoran nasi kandar sedia mi goreng ‘perisa najis tikus’ diarah tutup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker