Tuduhan terhadap Nazlan, Idrus jangan membisu

Tuduhan terhadap Nazlan, Idrus jangan membisu

Empat belas bekas presiden Majlis Peguam kecewa dengan Peguam Negara Idrus Harun yang terus membisu berhubung tuduhan rasuah terhadap Hakim Nazlan Ghazali.

Kata mereka, Idrus gagal memberi reaksi terhadap dakwaan Nazlan mempunyai konflik kepentingan ketika mempengerusikan perbicaraan kes SRC International, walaupun Mahkamah Persekutuan menolak tuduhan dibuat peguam Najib Razak.



Mereka juga menuduh peguam negara gagal membersihkan nama Nazlan, kini hakim di Mahkamah Rayuan daripada tuduhan rasuah.

“Ini terutama sekali peguam negara sendiri adalah bekas hakim Mahkamah Persekutuan dan cukup memahami kesan buruk terhadap badan kehakiman dan kemurnian pentadbiran undang-undang sekiranya beliau mendiamkan diri,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Kenyataan itu ditandatangani VC George, Param Cumaraswamy, Zainur Zakaria, Cyrus Das, Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Lim Chee Wee, Steven Thiru, George Varughese, Fareed Abdul Gafoor, Salim Bashir, dan AG Kalidas.

Bekas presiden Majlis Peguam tersebut mendakwa berlaku “intimidasi berterusan” terhadap badan kehakiman berkait kes SRC, dan ia membahayakan kedaulatan undang-undang.



Mereka merujuk dua panel berasingan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan tiada merit tuduhan konflik kepentingan bagi pihak Nazlan.

Kata mereka, satu-satunya hakim yang bersetuju dengan permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman terhadapnya, juga tidak menyentuh isu konflik kepentingan Nazlan.

“Oleh sebab itu tuduhan konflik kepentingan terhadap Nazlan sudah diputuskan secara muktamad. Prinsip ‘res judicata’ terpakai dan perkara itu tidak boleh dibuka semula,” kata mereka.

“Kes ini dibangkitkan hingga ke tahap intimidasi yang tidak boleh diterima terhadap hakim yang melakukan tugasnya menegakkan undang-undang tanpa rasa takut. Mereka berdepan dengan serangan berterusan, dan menjadi mangsa komplot serta rancangan politik oleh pihak berkepentingan.



“Semua ini mesti dihentikan kerana ia tidak mengikut kedaulatan undang-undang negara ini. Mereka yang didapati bersalah mesti menerima akibatnya.”

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, mengesahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Nazlan menyimpulkan beliau melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes SRC International.

Azalina menjawab surat daripada peguambela Najib bertarikh 15 Mac yang bertanya sama ada SPRM menulis kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat untuk mengesyorkan supaya prosiding tatatertib dimulakan terhadap Nazlan berhubung pengendaliannya dalam kes SRC.

Ia susulan gambar surat Ketua Suruhanjaya SPRM Azam Baki kepada Tengku Maimun tersebar di media sosial beberapa hari selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib menyemak semula sabitan dan hukuman terhadapnya.



Pengesahan Azalina itu menyebabkan ramai mempersoalkan peranan SPRM dalam siasatan, semantara beberapa pihak seperti pemimpin Umno Puad Zarkashi, mendesak ketua hakim dan peguam negara berterus-terang dengan perkara itu.

Nazlan, kini hakim di Mahkamah Rayuan, telah mensabitkan Najib pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah lebih RM42 juta dana milik SRC International.

Beliau menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib. Rayuan Najib kepada Mahkamah Rayuan telah ditolak pada Disember 2021. Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu mengekalkan sabitan dan hukuman itu. FMT

Tuduhan terhadap Nazlan, Idrus jangan membisu



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Yana Najib kongsi ‘surat SPRM’ mengenai Nazlan lepas semakan SRC ditolak



Rahim Maarof koma dalam ICU

Luke Shaw peluk Islam?

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker