Pengumuman Cukai Makmur undang reaksi mendadak pasaran saham

Pengumuman Cukai Makmur undang reaksi mendadak pasaran saham

Kerajaan mengakui berlaku beberapa reaksi mendadak dalam pasaran saham berikutan pengumuman mengenai Cukai Makmur, sekali gus menyebabkan penurunan kadar di papan utama FBM KLCI.

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, berkata pergerakan papan utama FBM KLCI bagaimanapun dilaporkan kembali normal, selepas seminggu pengumuman mengenai sistem percukaian itu dibuat.



Beliau berkata, pergerakan kini dalam julat 1,530 ke 1,540 iaitu penurunan dua peratus, berbanding kadar sebelum pembentangan Bajet 2022.

“Kerajaan sedang memantau pergerakan di Bursa Malaysia dari semasa ke semasa dan kita akan lihat kesan kadar cukai lebih tinggi akan dapat diatasi.

“Bagaimanapun, dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), kita tidak boleh kenakan ‘windfall tax’ (cukai keuntungan luar biasa) yang akan memberi impak lebih besar jika kita lakukan langkah cukai tanpa melihat ekosistem secara lebih meluas,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (BERSATU-Alor Gajah) mengenai langkah kerajaan mengimbangi keadaan untuk mengembalikan keyakinan pelabur susulan pengumuman Cukai Makmur pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.



Menjawab soalan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) mengenai cadangan kerajaan melaksanakan cukai lebih progresif, membabitkan pegangan dan keuntungan saham, beliau berkata, pentadbiran negara ketika ini belum melaksanakan cukai laba modal secara menyeluruh.

Beliau berkata, ini termasuk mengenakan cukai ke atas keuntungan dari pasaran modal dan pegangan saham, selain kerajaan melalui pembentangan Bajet 2022 mengumumkan beberapa cadangan bagi menambah kutipan hasil.

Katanya, antara cadangan itu ialah meningkatkan kadar duti setem dari 0.1 peratus hingga 0.15 peratus bagi nota kontrak jual beli saham tersenarai di Bursa Malaysia dengan anggaran tambahan hasil RM400 juta, berkuat kuasa 1 Januari depan.

“Kerajaan juga akan melaksanakan program khas membabitkan pengakuan khas sukarela bagi cukai tidak langsung sebelum ini, ditadbir Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dianggarkan bernilai hampir RM1 bilion,” katanya.



Selain itu, Mohd Shahar berkata, kerajaan juga menyemak semula layanan pengecualian cukai pendapatan dari sumber luar negara dan diterima di Malaysia, yang diberi sejak 1995, berkuat kuasa 1 Januari depan.

“Kerajaan mencadangkan semua pendapatan dari sumber luar negara dikenakan cukai sama seperti pendapatan dari dalam negara yang tertakluk kepada cukai pendapatan dengan anggaran pendapatan pada 2022 sebanyak RM1.2 bilion.

“Kita juga mencadangkan untuk mengenakan Cukai Makmur secara ‘one-off’ sebagai langkah memastikan sistem kesihatan awam negara lebih berdaya tahan.

“Cukai Makmur ini tidak akan melebihi 250 syarikat besar yang menjana pendapatan tinggi dan tahun taksiran 2022 saja, hasil tambahan dijangka kurang RM3 bilion,” katanya.



Berhubung tindakan melaksanakan reformasi percukaian, Mohd Shahar berkata, Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (TRC) sudah ditubuhkan bagi mengkaji sistem percukaian sedia ada, pada 12 September lalu.

Beliau berkata, TRC juga berperanan mengemukakan cadangan penambahbaikan, memperbaharui sistem dan dasar percukaian negara dengan sebahagiannya masih diteliti bagi melihat tempoh masa sesuai untuk dilaksanakan.

Katanya, kajian dijalankan membabitkan rundingan bersama pelbagai pihak berkepentingan dan kerjasama rapat dengan agensi percukaian utama iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan JKDM.

TRC sudah mengemukakan beberapa cadangan pembaharuan cukai untuk pertimbangan kerajaan pada Disember 2019 dan antara langkah utama sudah dilaksanakan adalah mengenakan levi pelepasan bagi semua penumpang ke luar negara melalui laluan udara, mulai 1 Julai 2019.



Mengenakan duti eksais mulai 1 Julai 2019 ke atas dua kategori minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum dan menjalankan Program Khas Pengakuan Sukarela bagi memberi peluang pembayar cukai mengisytiharkan secara sukarela sebarang pendapatan tidak dilaporkan bagi tujuan cukai.

Selain itu, mengenakan sekatan masa ke atas kerugian perniagaan, baki elaun pelaburan semula dan baki rugi perintis tidak dapat diserap bagi mengurangkan ketirisan hasil serta penstrukturan semula pemberian insentif percukaian secara menyeluruh. BH

Pengumuman Cukai Makmur undang reaksi mendadak pasaran saham


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU

Dutch man’s private part rots after bitten by a cobra

Asteroid berbahaya 4660 Nereus hampiri Bumi [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker