Pendakwah tegur DJ kenduri baca doa waktu tetamu makan [VIDEO]

PETALING JAYA – Seorang pendakwah menegur segelintir deejay kenduri kahwin yang membacakan doa pengantin sewaktu tetamu sedang makan atau menceduk lauk kerana disifatkan kurang sesuai.

Pendakwah bebas, Datuk Syeikh Faisol Omar berkata, tindakan tersebut menyebabkan tetamu menjadi serba salah sama ada mahu mengaminkan doa atau meneruskan makan ketika deejay kenduri kahwin membacakan doa pengantin.

“Trend masa kini kalau pergi kenduri walimatulurus, dia ada perkhidmatan deejay. Mereka boleh kata berkebolehan, cakapnya fasih, kemudian boleh ikut permintaan tuan kenduri. Kalau tuan kata tak mahu lagu rok, nak nasyid, dia boleh pasang tak ada masalah.



“Ada satu kebolehan deejay rumah kenduri ni, dia boleh baca doa pengantin, tu yg special. Cuma saya nak beri sedikit teguran, pada saya kurang sesuai sekarang ni bila pengantin baru sampai ketika tetamu lain sedang makan kenduri.

“Persoalannya ketika orang sedang makan tu, maka deejay pun baca doa pengantin baharu, macam-macam lah doa kan. Baguslah doa tu cuma pada saya tak berapa sesuai ketika orang sedang makan tiba-tiba dia baca doa tu, jadikan orang serba salah,” katanya menerusi video di TikTok.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan doa tersebut dibaca sama ada sebelum majlis makan bermula atau dibacakan di atas pentas tanpa menggunakan pembesar suara.

“Pasal apa? Yang sedang makan nak terus makan, orang baca doa. Tak amin doa, orang kata kurang ajar, kurang sopan. Yang nak ceduk lauk tak jadi ceduk, berhenti senyap lagu tu. Ada setengah orang tak peduli teruskan makan, jadi kurang cantik dan kurang sesuai.



“Jadi saya nasihatkan kepada deejay rumah kenduri dan tuan kenduri, kalau nak baca doa sebelum majlis makan bermula. Doa makan, doa pengantin sebagainya. Tengah-tengah majlis berjalan, tak sesuai sama sekali,” nasihatnya. – KOSMO! ONLINE

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramYoutube, & TikTok



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker