Tujuh kegagalan Pas yang nyata – Faiz Fadzil Noor

Tujuh kegagalan Pas yang nyata – Faiz Fadzil Noor

Sudah tiba masanya untuk Gelombang Merah-Biru mengambil alih tiga negeri bawah pentadbiran Pas iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, kata Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir menegaskan, selama ini, kegagalan Pas mentadbir tiga negeri itu menyebabkan anak muda terpaksa merantau mencari rezeki.



“Hakikatnya, Pas gagal menguruskan ekonomi di tiga negeri ini dengan baik. Hidup rakyat yang sejahtera bergantung kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Pas dan Perikatan Nasional (PN) wajib dijatuhkan untuk memastikan masa depan lebih baik untuk anak muda di tiga negeri berkenaan.

Beliau memperincikan tujuh kegagalan Pas menguruskan ekonomi di tiga negeri berkenaan, iaitu pertama, sumbangan ekonomi terlalu kecil walaupun saiz negeri yang besar.

Katanya, Kelantan, Terengganu dan Kedah hanya menyumbang 1.8 peratus, 2.5 peratus dan 3.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2022, jauh berbeza dengan sumbangan 7.4 peratus Pulau Pinang dan 25.5 peratus Selangor.



“Data ini jelas menunjukkan Pas gagal mengembangkan ekonomi negeri, apatah lagi menggalakkan ekonomi bernilai tinggi.

Kedua, ujar Faiz, Pas juga gagal menjaga siswazah, yang mana Kedah dan Terengganu mempunyai gaji penengah golongan itu terendah di seluruh Malaysia.

“Misalnya, pada 2021, sebanyak 50 peratus siswazah di Kedah hanya berpendapatan di bawah RM3,138. Tidak hairanlah ramai anak kelahiran negeri ini yang berkelulusan tinggi terpaksa merantau ke Pulau Pinang, Selangor atau Kuala Lumpur untuk bekerja.

“Gaji penengah siswazah di Selangor pula RM4,130. Bukanlah sebab Kuala Lumpur itu tidak berada di Kedah, tetapi pentadbiran Pas di negeri itu sendiri yang gagal,” katanya.



Jelasnya, ketiga, Pas gagal mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi iaitu setinggi manapun kelulusan akedemik, Kedah, Terengganu dan Kelantan tidak mampu menyediakan peluang kerja berkemahiran tinggi.

Ini terbukti apabila peratusan pekerja mahir di Kelantan, Kedah dan Terengganu hanya 23.2 peratus, 26.7 peratus dan 22.4 peratus pada tahun 2021, jauh berbeza dengan 36.2 peratus di Pulau Pinang dan 35.4 peratus di Selangor.

Keempat, kata beliau, Pas gagal menyediakan kemudahan paling asas iaitu data rasmi menunjukkan hampir satu daripada tiga rumah di Kelantan tidak ada bekalan air paip.

Lebih teruk, hanya 15.4 peratus isirumah di Kelantan menikmati perkhidmatan kutipan sampah di rumah dengan peratusan di Terengganu dan Kedah juga amat menyedihkan iaitu masing-masing 24 peratus dan 52.7 peratus, berbeza dengan hampir 80 peratus di Pulau Pinang.



“Politik Islam dimainkan Pas, tetapi kebersihan diutamakan kerajaan Pulau Pinang bagi memenuhi tuntutan Islam,” ujarnya.

Kelima, katanya, Pas gagal membasmi kemiskinan iaitu ketika Exco Kelantan menikmati kemudahan kereta Mercedes, negeri itu merekodkan kadar kemiskinan mutlak paling buruk di Semenanjung Malaysia iaitu 12.4 peratus.

Manakala, Kedah pula merekodkan kadar kedua terburuk pada 8.8 peratus, tetapi negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) mempunyai kadar kemiskinan mutlak terendah iaitu Selangor mencatatkan 1.2 peratus dan Pulau Pinang sebanyak 1.9 peratus.

“Membasmi kemiskinan sangat dituntut Islam, tetapi ia bukanlah agenda pentadbiran Pas,” katanya.



Kegagalan keenam ialah Pas tidak dapat menarik masuk pelaburan yang tinggi dengan sekian lamanya parti itu mempunyai rekod buruk dalam aspek berkenaan, termasuk di Kedah.

Pada tahun 2021, kata Faiz lagi, sebanyak 99.7 peratus pelaburan asing diluluskan dalam sektor pembuatan Kedah tertumpu hanya satu lokasi iaitu Kulim Hi-Tech City.

Namun secara khusus, ini adalah hasil usaha agensi Kerajaan Persekutuan dan mana pelaburan dibawa masuk oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor?

“Sibuk berpolitik setiap hari sehingga lupa tanggungjawab hakiki untuk memajukan ekonomi negeri. Malah, banyak projek yang diumumkannya masih tidak nampak hasilnya,” kata beliau.



Beliau berkata, kegagalan ketujuh Pas ialah ketidakmampuannya menjaga sosioekonomi rakyat dengan isirumah di Kelantan misalnya, merekodkan pendapatan penengah bulanan terburuk di Malaysia iaitu RM3,563 pada tahun 2019.

Pendapatan penengah di Pulau Pinang adalah RM6,169 dan di Selangor RM8,210, manakala Kelantan juga sebanyak 66.4 peratus populasi tergolong dalam lingkungan gaji B40 iaitu rekod paling tinggi di Malaysia.

“Sebab itulah, ramai anak muda di negeri ini berhijrah ke Selangor dan Pulau Pinang. Kemakmuran di Pulau Pinang yang membuatkan Sanusi berusaha siang malam untuk merampas negeri ini.

“Kepada Sanusi, angan-angan Mat Jenin memang percuma,” katanya.

Beliau turut menegaskan, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak boleh terus dibiarkan begini, malah wajib dikalih supaya pembangunan sosioekonomi rakyat dapat dipertingkatkan untuk masa depan rakyatnya.

“Ini masa untuk Gelombang Merah-Biru. Bersama kita bangkit tumpaskan gelombang hijau yang ternyata gagal. Undi PH, tolak PN. Tolak PN, undi PH,” katanya. MG

Tujuh kegagalan Pas yang nyata – Faiz Fadzil Noor

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Nak jadi janda sekejap saja – Puteri Sarah

Baby Shima dikafirkan kerana mahu saman pemimpin PAS dan PU Syed

Tak segan cium Alif Hadi, Yasmin Hani undang kecaman (Video)

Gangguan seksual terhadap Rara, laporan polis dibuat

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker