Ringgit jatuh ke paras RM4.20 , kekal lemah

Ringgit jatuh ke paras RM4.20 , kekal lemah

Kebimbangan mengenai prospek pemulihan ekonomi negara dan data terbaharu inflasi di Amerika Syarikat (AS) mempengaruhi penurunan ringgit melepasi paras RM4.20 berbanding dolar hari ini.

Penganalisis Ekonomi MIDF, Abdul Muiz Morhalim, berkata kejatuhan ringgit disebabkan terdapat kebimbangan mengenai prospek pemulihan ekonomi negara yang dijangka terus terkesan sekiranya sekatan ekonomi dan penguatkuasaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilanjutkan berikutan jumlah jangkitan COVID-19 yang terus meningkat.

“Selain itu, data terbaharu yang dikeluarkan menunjukkan kadar inflasi di AS terus meningkat. Situasi ini menyumbang kepada pengukuhan nilai dolar AS kerana jangkaan terus meningkat bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mula bertindak mengetatkan dasar (monetari) bagi mengawal paras inflasi daripada terus menaik,” katanya kepada BH.

Abdul Muiz berkata, kelemahan nilai ringgit buat masa ini dijangka bersifat sementara kerana kadar vaksinasi baru-baru ini yang sangat memberangsangkan, menguatkan lagi keyakinan imuniti kelompok boleh dicapai sebelum penghujung tahun ini.

“Walaupun data terkini dan suasana pandemik COVID-19 dalam negara masih amat membimbangkan, sekatan ke atas aktiviti ekonomi (disebabkan Fasa 1 PPN) dijangka boleh dilonggarkan secara berperingkat dalam tempoh akan datang khususnya apabila keadaan kesihatan awam bertambah baik.

“Dalam kata lain, keadaan ekonomi dijangka akan bertambah baik apabila ekonomi negara dibuka semula; dan prospek pemulihan yang lebih baik ini akan turut memberi impak positif kepada nilai ringgit,” katanya.

Beliau menegaskan, ringgit mungkin akan kekal lemah sekiranya situasi COVID-19 dalam negara bertambah buruk dan keputusan melanjutkan Fasa 1 PPN pasti akan menjejaskan kadar pemulihan ekonomi negara.

“Fokus pasaran kepada keputusan Fed AS juga akan terus memberi kesan kepada prestasi ringgit buat masa ini,” katanya.

Ringgit hari ini diniagakan melepasi paras 4.20 berbanding dolar AS selepas dibuka rendah 4.1985 ketika pelabur lebih berhati-hati berikutan peningkatan kes harian COVID-19 Malaysia yang melepasi angka 10,000 semalam.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata kenyataan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bahawa pasaran dijangka menyaksikan bekalan minyak lebih terhad akibat pertikaian negara pengeluar utama dari aspek pengeluaran, dapat memberi sedikit sokongan terhadap ringgit daripada terus mengalami penyusutan.

“Namun, harga minyak mentah Brent mengalami sedikit penurunan mungkin disebabkan prospek permintaan yang lembap akibat gelombang jangkitan baharu di Asia,” katanya. BH

Ringgit jatuh ke paras RM4.20 , kekal lemah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Masjid diconteng : Jangan buka bunyi kuat”

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker