‘Saya berniat baik pun salah ke?’ Awie

'Saya berniat baik pun salah ke?'

Saya berniat baik

Kuala Lumpur:  ‘Saya berniat baik pun salah ke?’ Awie . Penyanyi rock legenda, Datuk Awie mengesahkan sudah memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) menerusi video pendek yang tular, sejak semalam.

Awie, 53, yang mengakui bersyukur mendapat layanan baik dari pihak polis berkata, dia turut menceritakan kejadian sebenar yang berlaku.

“Kalau ikut video itu dari depan posisi nampak rapat, tapi sebenarnya ada penjarakan. Takkanlah saya nak bodohkan diri saya. Saya ada anak kecil di rumah dan perlu jaga kesihatan.

“Saya pun tahu hal ini. Saya cuma meraikan mereka. Melihat abang beca yang susah, terdetik di hati saya untuk beri sumbangan kepada mereka.

“Sama ada abang beca yang muslim atau tidak, ibu-ibu tunggal, orang tua, anak-anak yatim dan pelajar tahfiz, kita cuma nak meraikan mereka. Takkan, itu pun  jadi satu kesalahan?,” katanya kepada Harian Metro.

Video berdurasi 42 saat yang mencetuskan kontroversi itu diambil pada majlis berbuka puasa yang menjadi sebahagian daripada acara Misi Kemanusiaan Datuk Awie Bersama Sayap-Sayap Wings yang berlangsung di Melaka pada 7 Mei lalu.

Awie berkata, dalam keadaan sekarang di mana semua orang sedang susah, dia cuba menghadirkan kegembiraan kepada golongan ini.

“Yang pergi hantar sumbangan pun bukan orang senang, orang susah juga. Tapi, kita ada hati dan perasaan. Kalau kita ada sedikit, apa salahnya bagi sedikit. Kalau kita ada banyak, buat apa nak fikir lagi.

“Itu niat kita untuk meringankan dan segala pergerakan ikut SOP yang betul. Masuk hotel pun ikut SOP, buat majlis pun ikut SOP yang betul. Ada My Sejahtera, check suhu, buku rekod dan sebagainya.

“Cuma masa kejadian yang berlaku tak sampai dalam 30 saat itu. Saya berdiri di situ kerana sambutan mereka. Saya sendiri rasa teruja dan sangat terharu dengan sambutan abang-abang beca berkenaan,” katanya.

Awie berkata, dia juga meminta kepada penarik beca yang hadir agar tidak sedih pada hari terbabit.

“Mereka tak pernah diraikan oleh artis. Saya nak meraikan mereka semua supaya mereka gembira macam kita beraya dengan sempurna.

“Bila dah habis makan, mereka minta saya menyanyi tapi saya tak boleh menyanyi kerana peralatan menyanyi tiada.

“Sebelum itu pada 30 April lalu, saya buat ‘show’ di hotel yang sama dan ada video yang mereka ambil. Jadi, mereka pasangkan lagu Penjara Janji,” katanya.

Menurutnya dia yang berada di meja hadapan melihat golongan ini yang berada di bahagian belakang mula menyanyi.

“Mereka dah berdiri menyanyi sambil ambil video kat depan. Saya pun bangun dan meraikan bersama-sama. Tapi, ada penjarakan. Selepas itu, saya minta mereka duduk dan ikut SOP.

“Saya panggil ahli jawatankuasa dan abang beca semua dengar cakap. Mereka pun dalam keadaan yang sangat gembira. Kadang-kadang boleh terlupa sekejap.

“Saya percaya yang masuk semua dah diambil suhu dan okay. Tapi nak buat macam mana bila video dah disiarkan sebegitu rupa, mereka yang tak tahu cerita terus hentam saya,” katanya.


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook My KMU NeT


Datuk Awie pula disiasat polis Melaka

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker