Padu boleh ‘makan tuan’

Padu boleh bertukar jadi ancaman buat kerajaan

Padu boleh ‘makan tuan’

Kegagalan mengawal naratif pengurusan Pangkalan Data Utama (Padu) dan subsidi bersasar akan memberi pembangkang peluru yang ampuh untuk dihalakan kepada kerajaan, kata Ilham Centre.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata sehingga kini Padu memang dilihat gagal menarik minat orang ramai kerana penyebaran serta penerangannya yang kurang jelas daripada kerajaan.



“Kami melihat ramai mempertikaikan untuk apa Padu diperkenalkan, (masyarakat menganggap) bukankah pihak kerajaan mempunyai data yang lengkap?

“Sepatutnya mereka (kerajaan) menumpukan perhatian untuk menyeragamkan data dari agensi lain pendapatan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, data pemilikan kenderaan pada Jabatan Pengangkutan Jalan dan pemilikan syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Begitu juga data penerima bantuan kerajaan sudah tentu boleh didapati dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi seperti lembaga zakat,” katanya kepada Malaysiakini.

Ketika tarikh akhir untuk mendaftar Padu semakin menghampiri, dikatakan masih ramai orang yang belum berbuat demikian setakat ini.



Selain proses yang dianggap sesetengah pihak sebagai sukar, ia juga diganggu oleh sikap skeptikal rakyat yang bimbang banyak butiran peribadi mereka terdedah kepada pihak tidak berkenaan.

Bagaimanapun Kementerian Ekonomi sudah memberi jaminan bahawa semua data berkenaan adalah terjamin selamat.

Menterinya Rafizi Ramli menyatakan kerajaan komited memastikan pengendalian data yang selamat, termasuk keselamatan sistem, rangkaian dan data yang melindungi maklumat peribadi.

Dia turut menambah maklumat peribadi dalam Padu dilindungi Akta Rahsia Rasmi 1972.



Setakat semalam, lebih 7.36 juta atau 35 peratus rakyat Malaysia sudah mengemas kini maklumat masing-masing sejak Padu dilancarkan pada 2 Jan lalu.

Akta tak meliputi

Melalui Padu, program kebajikan serta bantuan subsidi kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih tepat ke arah kumpulan sasar terutamanya dengan rasionalisasi subsidi bersasar bakal dilaksanakan pada penggal kedua tahun ini.

Sementara itu Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, menyatakan terlampau banyak maklumat peribadi harus diisi dalam sistem Padu menyebabkan orang ramai bimbang untuk melakukannya.



Antara butiran yang perlu diisi dan membuat orang teragak-agak itu ialah hutang, aset dan tanggungan keluarga.

Justeru dia memberitahu Mk, kerajaan wajar memberi penerangan lebih terperinci dan telus untuk meredakan kebimbangan orang ramai terhadap isu kebocoran data.

“Saya berpandangan komunikasi pihak kerajaan agak lemah pada waktu ini.

“Rakyat masih kurang jelas akan pelaksanaan rasionalisasi subsidi bersasar, ditambah pula desas-desus aspek keselamatan siber yang lemah.



“Semua ini akan menyumbang kepada faktor keciciran data yang bakal berlaku sekiranya pihak kerajaan tidak tangani isu ini dengan baik.” katanya.

Penganalisis politik, Rizal Hamdan, berkata Akta Rahsia Rasmi merupakan akta lama yang tidak meliputi selengkapnya keperluan perlindungan kerahsiaan maklumat era digital.

“Ini yang mungkin menyebabkan ramai rakyat kurang yakin untuk mengemas kini data peribadi di Padu,” katanya.

Pengurus (politik dan keselamatan) Pertubuhan Belia Asean, Sahilah Ain Sathakathulla, pula menganggap pelaksanaan sistem Padu oleh Kementerian Ekonomi dilihat sangat kelam-kabut dah tergopoh-gapah.



“Sewajarnya pindaan Akta Data Perlindungan Peribadi 2010 harus didahulukan kerana masih terlalu banyak kelompongan yang terdapat di dalam akta ini yang membenarkan penjualan dan perkongsian data peribadi itu berlaku,” katanya.

Tinjauan Mk di sekitar Kuala Lumpur pula mendapati ramai masyarakat masih kurang yakin atau kurang faham akan kepentingan sistem tersebut.

Kakitangan awam, Zuraimi Othman, 52, memberitahu ketika ini dia memang kurang yakin denga apa-apa polisi yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan.

“Saya berasa kecewa dengan kegagalan kerajaan ini menguruskan ekonomi. Kita boleh lihat sendiri harga barang semakin naik.

“Saya berani kata sepanjang hidup saya inilah era saya benar-benar terasa kuasa membeli saya makin kurang.

“Jadi saya kurang percaya untuk mengikut apa-apa pengumuman kerajaan buat masa sekarang,” katanya.

Seorang peniaga buah-buahan di kawasan Masjid India yang ingin dikenali sebagai Nan menyatakan, dia tidak ingin mengemas kini maklumat dalam Padu kerana melihat kerajaan sudah banyak kali memberikan janji manis yang tidak tertunai.

“Sebagai peniaga, kami lebih terasa kenaikan harga barang ini.

“Dulu kerajaan ini janji nak jaga peniaga-peniaga kecil tapi kini saya lihat kami terabai.

“Saya tidak percaya dengan subsidi bersasar dan Padu, bagi saya semua ini akan menaikkan lagi harga barang dan kita tambah merana,” katanya.

Subsidi untuk yang perlu

Seorang promoter di pusat beli-belah Sunway Putra, Khairunnisa Khairil, 29, menyatakan setakat ini dia tidak faham fungsi sebenar Padu.

“Saya hanya diberi laman sesawang untuk mendaftar di Padu, namun saya tidak tahu apa impak ia kepada hidup saya.

“Maka apabila ada yang bercerita tentang kebocoran maklumat peribadi saya menjadi semakin bimbang untuk mendaftar,” katanya.

Terdapat beberapa orang yang ditemui Mk juga memberitahu, mereka mengemas kini maklumat Padu hanya kerana arahan majikan.

Secara peribadi mereka masih belum cukup yakin akan ketelusan sistem itu. Mk

Padu boleh ‘makan tuan’
Padu boleh ‘makan tuan’

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Bekas isteri Safee Sali dedah cerita sebenar

Mia Khalifa gaduh dengan Makcik Israel

Saya dah pindah ke Mongolia – Abby Abadi

Farhash rakan perniagaan Sultan Muhammad V

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker