Wan Saiful jangan koyak lagi
Wan Saiful jangan koyak lagi
Oleh Hishamuddin Aun
Bertuahnya Wan Saiful Wan Jan. Hanya dengan memohon maaf, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu terlepas penggantungan enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat gara-gara ‘keterlanjuran’ menimbulkan sangkaan jahat terhadap Anwar Ibrahim dengan menuduh perdana menteri korup dan menyalahgunakan kuasa.
Lebih bertuah lagi, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi kedua-duanya berlembut hati terhadap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu di sebalik tuduhan serius yang dibuatnya.
Harus benar seperti kata Ahli Parlimen Paya Besar dari BN Mohd Shahar Abdullah selaku Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perpaduan bahawa isu membabitkan Wan Saiful itu hendaklah dijadikan pengajaran dan iktibar – mungkin tidak terkecuali juga berkias bahawa mana-mana ahli Dewan Rakyat boleh melemparkan apa saja tuduhan dan akan terhindar daripada hukuman jika menariknya balik dan memohon maaf kemudian. Diharapkan tidaklah demikian selepas janji Johari untuk lebih tegas berkaitan peraturan mesyuarat bermula dengan sidang kali ini.
Selepas sidang minggu pertama yang menyaksikan Johari turut menarik balik penggantungan empat hari ke atas Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim yang juga memohon maaf, ini dikhuatiri akan menjadi ikutan ahli-ahli lain dengan menjadikan kedua-dua insiden berkenaan sebagai duluan kecuali speaker mengambil pengajaran dan iktibar daripadanya jua.
Semalam pula, Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) terlepas daripada dicela apabila segera menarik balik kenyataan mendakwa kerajaan “meraikan” kemenangan dalam pembatalan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 selepas diminta Speaker supaya berbuat demikian.
Pada 27 Feb lalu, Awang diarah keluar dan digantung empat hari kerana mengganggu perjalanan mesyuarat. Diarahkan oleh speaker supaya menarik balik apa yang dituturkannya selain dinasihatkan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin supaya memohon maaf dan menarik balik kata-katanya itu, wakil Pendang itu akur dan isu beliau dikira tutup di sebalik itu bukan kali pertama beliau timbulkan kekecohan dalam Dewan.
Benarlah kata Johari bahawa Awang adalah sahabat dan bekas pegawainya di samping ahli pembangkang yang paling dihormatinya. Kurang pasti pula jika speaker bermaksud menyindir beliau.
Isu membabitkan Wan Saiful pula sama sekali berbeza. Sidang dewan pada 28 Feb lalu kecoh dengan pertikaman lidah beberapa wakil rakyat susulan hujah wakil Tasek Gelugor itu yang mendakwa diugut dan ditawar ‘habuan’ untuk menyokong perdana menteri. Sekiranya menyatakan sokongan kepada Anwar, dakwanya, beliau akan mendapat peruntukan RM1.7 juta untuk kawasan Parlimen diwakilinya.
Dakwaan itu dibantah beberapa Ahli Parlimen kerajaan termasuk RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mencabar Wan Saiful membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Turut bangkit mempersoalkan dakwaan itu adalah Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur), Chong Zhemin (PH-Kampar) dan Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani).
Antara ‘keterlanjuran’ Wan Saiful sewaktu membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja ketika itu ialah kenyataannya yang berbunyi: “Korup itu maksudnya menyalahgunakan kuasa. Ampun Tuanku, orang itu yang menyalahgunakan kuasa itu akan menghadap Tuanku setiap minggu sebelum mesyuarat Kabinet.”
Susulan itu, pihak kerajaan berhasrat mengemukakan usul mencadangkan Wan Saiful digantung enam bulan kerana mendakwa Anwar pemimpin yang menyalahgunakan kuasa di samping didakwa menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong bagi mempengaruhi majlis mesyuarat.
Ketika membuat permohonan maaf atas tindakannya mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap perdana menteri sebelum Zahid dijadualkan membuat usul menggantungnya enam bulan Selasa lalu, Wan Saiful membuat pengakuan: “Ayat itu memang saya tujukan kepada Tambun (Anwar)… saya menarik balik ayat tersebut, saya menarik balik kenyataan saya dan saya juga memohon maaf atas kenyataan tersebut.
“Saya dengan rendah diri juga kerana seperti dalam usul ada sebut mengenai Yang di-Pertuan Agong atas segala kekhilafan sekiranya menyentuh perihal Yang di-Pertuan Agong dan saya juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut dan saya harap ia boleh dipertimbangkan dengan baik,” katanya.
Sejurus Johari memaklumkan menerima permohonan maaf itu dan menganggapnya selesai, Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah kemudian bangkit memaklumkan menarik semula usul berkenaan yang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat pada hari itu.
Menyusuli Hamzah yang bangun mencelah menghargai keputusan penarikan usul itu oleh kerajaan, Mohd Shahar yang bangun selepas itu turut meminta tindakan dilakukan Wan Saiful dijadikan pengajaran dan iktibar. Mungkin tiada siapa boleh berasa pasti sama ada permohonan maaf Wan Saiful itu didorong oleh keikhlasan menyedari kekhilafannya atau takutkan penggantungan enam bulan yang pada saat itu adalah sesuatu yang pasti jika Zahid berkeras mahu meneruskan usulnya.
Jika Wan Saiful ‘koyak’ dengan tuntutan memohon maaf ketika itu, beliau tidak mampu koyak lagi apabila berdepan SPRM sebelum akhir minggu ini. Selepas perbahasannya di Dewan Rakyat pada 28 Feb lalu, Wan Saiful mendakwa dihubungi pegawai SPRM berkaitan tawaran ‘habuan’ untuk menyokong Anwar. Dalam menafikan perkara itu keesokannya, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menasihatkan lebih baik wakil rakyat Bersatu itu ke SPRM untuk membuat laporan.
Ini untuk mengabsahkan dakwaannya ketika perbahasan titah diraja tempoh hari. Wan Saiful mendakwa ugutan itu dibuat sejak beliau didakwa di Mahkamah Sesyen atas kes pengubahan wang haram pada tahun lalu.
Antara lain beliau mendakwa dihubungi seseorang yang tidak dinamakan untuk mengadakan pertemuan tertutup yang berlangsung kali pertama pada 17 Jan lalu dan terbaru selepas istiadat perasmian Parlimen 26 Feb lalu. Sekiranya menyatakan sokongan kepada perdana menteri, beliau akan mendapat peruntukan RM1.7 juta untuk kawasan Parlimen diwakilinya.
Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu turut mendakwa menghadiri beberapa perjumpaan tertutup dengan individu-individu tertentu selepas mereka beberapa kali cuba menghubungi beliau melalui panggilan telefon.
“Dalam semua pertemuan, mesej yang ada adalah supaya saya mesti menyokong Ahli Parlimen Tambun sebagai perdana menteri dan sebagai balasan ada habuan yang akan diberikan kepada saya. Antara yang disebut kepada saya adalah peruntukan Parlimen sebanyak RM1.7 juta, sebahagian daripada itu adalah untuk operasi pusat khidmat.
“Peruntukan projek yang katanya boleh diagihkan kepada kroni-kroni saya. Mereka tahu saya susah sekarang ini dan isteri saya (menghidap) kanser,” katanya sambil mendakwa mempunyai rekod berhubung perjumpaan-perjumpaan tersebut.
Tentunya ini – peluang diberi SPRM untuk membuat laporan sehingga Ahad ini – perlu digunakan sebaik-baiknya untuk Wan Saiful mendedahkan semuanya secara terperinci, termasuk seorang sahabat dan individu-individu yang tidak dinamakannya sebelum ini, agar siasatan dapat dilakukan selain menunjukkan beliau bukan temberang atau mereka-reka cerita.
Sesuai dengan tanggungjawab bagi mana-mana individu yang mendakwa ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009, Wan Saiful perlu memberi kerjasama sepenuhnya. FMT
Wan Saiful jangan koyak lagi
Baca Artikel Menarik:
- The Gadys kena balas dendam – Aina Abdul
- Kertas siasatan Hadi diserah kepada Peguam Negara hari ini
- Adun Bersatu pula isytihar sokong MB Selangor
- 3 pegawai Imigresen LTAS ditahan SPRM kerana seludup warga asing
- Kami kena scam – Aman Graseka
- Amira Othman kerap ditanya…..
- Datuk Red, Adira masih tinggal sebumbung
- Separuh anggota yang hilang telah dijumpai – Kakak Bella
- Perebutan harta punca pasangan suami isteri mati dibunuh
- Mencadangkan ‘benda yang sudah ada’, MP PAS dikecam kerana tidak buat ‘homework’
- Mohon pun tidak tiba-tiba kata dihalang, Pengerusi MADA jawab Sanusi
- Hajar aswad, kenapa umat Islam diharamkan menciumnya?
- Syukur aku tak jual agama demi konten – Ben Amir
- Datuk Red bakal kehilangan kedua-dua isteri
- Pelancong Spain dirogol bergilir-gilir di India
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Azhar Sulaiman tidak tolak jika dijodohkan dengan ahli kumpulan The Gadys
Rumah Influencer dirompak, RM3 juta tunai dan jongkong emas dilarikan