Tiong King Sing adalah figura sering terpalit isu pelanggaran peraturan dalam sistem pentadbiran semasa – CUEPACS
Tiong King Sing adalah figura sering terpalit isu pelanggaran peraturan dalam sistem pentadbiran semasa – CUEPACS
CUEPACS menuntut penjelasan daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berhubung isu penamatan perkhidmatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM), Datuk Dr Ammar Abd Ghapar, berkuat kuasa hari ini.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, berkata notis penamatan yang dikeluarkan pada Khamis lalu dan berkuat kuasa hari ini dilihat amat singkat dan mengejutkan.
Menurutnya, perkara ini boleh menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pihak berkepentingan terutama penggiat industri tempatan.
Katanya, walaupun kuasa melantik Ketua Pengarah LPPM itu adalah di bawah bidang kuasa Menteri, namun tindakan seperti itu dilihat boleh menimbulkan suasana tidak harmoni di antara anggota pentadbiran dan penjawat awam.
“Suasana keharmonian dan kebersamaan ini perlu dijaga apatah lagi dengan usaha untuk mencapai sasaran ketibaan 27.3 juta pelancong luar pada tahun ini memerlukan kerja berpasukan,” katanya melalui kenyataan.
Semalam media melaporkan, Ammar melahirkan rasa kecewa apabila perkhidmatannya ditamatkan berkuat kuasa Isnin ini dan menyatakan penamatan tersebut begitu mengejutkan kerana sudah berkhidmat selama 36 tahun dalam industri berkenaan.
Difahamkan, ia berikutan beliau didakwa ‘tidak sehaluan’ dengan menteri berkenaan dan penamatan itu, berdasarkan surat tular di media sosial bertarikh Khamis lalu.
Adnan berkata, kebersamaan antara anggota pentadbiran dan penjawat awam wajar diharmonikan dengan suasana semak dan imbang, agar sistem pentadbiran kerajaan dapat mencapai matlamat dan memberi manfaat kepada negara serta rakyat.
Menurutnya, keharmonian tidak wujud sekiranya isu kebersamaan ini sering kali dipertingkahkan oleh kedua-dua pihak.
Katanya, anggota pentadbiran datang dan silih berganti yang tinggal adalah penjawat awam, maka pengalaman penjawat awam dan idealisme atau pendekatan yang hendak dibawa oleh anggota pentadbiran yang silih berganti perlu digabungkan dengan sebaik mungkin.
“Ia bagi menghasilkan mutu dan kualiti perkhidmatan yang terbaik bagi sesebuah organisasi dalam memberikan khidmat bakti kepada negara,” katanya.
Dalam kenyataannya, Adnan menambah, keadaan yang wujud seperti yang dihadapi oleh isu penamatan Ketua Pengarah LPPM ini dapat dielakkan jika kedua-dua pihak mengambil pendekatan yang berhikmah bagi mencapai solusi yang terbaik.
Menurutnya, ini kerana akan memberikan gambaran atau persepsi yang kurang baik kepada kerajaan seolah-olah tiada kebersamaan dalam sistem pentadbiran kerajaan bagi sesebuah kementerian, jabatan atau agensi.
“Kita memahami, sebagai seorang menteri, beliau mempunyai kuasa tetapi adakah tindakan penamatan itu dilihat jalan yang terbaik dalam merungkai isu yang dihadapi, apatah lagi beliau sering kali kelihatan sebagai seorang figura yang kerap terpalit dengan isu-isu yang berkisar tentang pelanggaran kepada peraturan-peraturan yang terdapat dalam sistem pentadbiran kerajaan semasa.
“Sebagai sebuah Kerajaan MADANI yang mempertahankan prinsip dan nilai yang baik seperti ihsan dan kebersamaan, wajar kita menunjukkan contoh yang baik agar pemikiran rakyat tidak celaru dengan tingkah laku yang tidak enak untuk mereka tatapi,” katanya.
Adnan menambah, sekiranya perkara ini benar berlaku terdapat pihak yang boleh dirujuk sebelum kuasa pemutus digunakan.
Menurutnya, CUEPACS merasakan perlu ada pihak ketiga yang menjadi penasihat dalam memastikan situasi yang adil lagi saksama dapat dipraktikkan pada masa hadapan sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan.
Katanya, jika pengguna boleh pergi ke bahagian tribunal pengguna untuk menyelesaikan permasalahan mereka maka bagi penjawat awam juga ada baiknya jawatankuasa yang bersifat sebagai pihak ketiga diwujudkan.
“Ia sekali gus dapat menangkis tanggapan yang kurang baik terhadap imej perkhidmatan awam dan kerajaan secara keseluruhannya,” katanya.
Katanya, tambahan pula pendekatan yang diutarakan oleh tonggak utama dalam perkhidmatan awam negara seperti Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) baru-baru ini melalui pelaksanaan sistem penilaian DEEP dan HEMAT telah meletakkan penjawat awam agar lebih ke hadapan dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan sentiasa berada pada landasan dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang betul dan seiring dengan dasar pemerintahan semasa negara.
Katanya, negara pernah berada dalam sistem pentadbiran yang mana hanya penjawat awam yang terus mentadbir, tiada anggota pentadbiran di dalamnya tetapi penjawat awam adalah benteng negara pada ketika itu bagi memastikan negara berada dalam keadaan stabil dan terus produktif.
“Jangan habis madu sepah dibuang. Kebijaksanaan dan musyawarah adalah pendekatan terbaik bagi kedua belah pihak dan gunakan sebaiknya agar kebersamaan dan persekitaran yang harmoni dapat kita capai untuk bersama-sama membina sebuah negara bangsa yang hebat dan disegani di dunia,” katanya.
Katanya lagi, sebagai sebuah organisasi yang mewakili penjawat awam, CUEPACS amat terkesan dengan isu-isu yang berlaku pada masa kini dan berharap tampuk kepimpinan negara dapat mengimbangi keadaan ini supaya tidak menjadi barah kepada penjawat awam. BH
Tiong King Sing adalah figura sering terpalit isu pelanggaran peraturan dalam sistem pentadbiran semasa – CUEPACS
Baca Artikel Menarik:
- Pemandu dipukul mati sah positif dadah
- Bekas setiausaha sulit kanan Menteri Pelancongan diperintah bela diri terima suapan
- ‘Ibu ayam’ paksa budak 11 tahun melacur ditahan
- Zarina Zainuddin nak ‘azan’ telinga penyondol
- Malaysia desak Israel undur, bayar pampasan penuh kepada Palestin
- Setiap kali bergerak, saya akan dihentak, ditendang tentera Israel
- Mahathir berisiko ditahan jika tak sertai RCI Batu Puteh bila dipanggil
- Masalah Hadi-Muhyiddin masih tak selesai walau jumpa 2 kali
- Keluarga pemandu dipukul mati tuntut keadilan
- Kucing kayangan disamun, pemilik ditetak
- Doktor dituduh amang seksual 6 pesakit kanak-kanak
- ‘Sugar baby’ berpakaian mewah bernilai RM176k (Video)
- Harta Mokhzani terlalu banyak, lanjutan masa wajar diberikan – Azam
- Puad sedia berdepan Rafizi
- Masalah Hadi-Muhyiddin masih tak selesai walau jumpa 2 kali
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.