Kerajaan Kelantan tewas, 16 peruntukan enakmen syariah Kelantan dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Beratus penyokong dijangka berkumpul di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya pagi ini bagi mengikuti keputusan akhir petisyen dikemukakan seorang peguam dan anaknya bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Peguam terbabit, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa.

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam saja.



Petisyen yang penuh kontroversi berkenaan sebelum ini mendapat perhatian banyak pihak terutama bantahan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Pada awal November tahun lalu, 300 NGO Islam menyerahkan memorandum diterima wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) di Parlimen, yang mendesak pindaan Perlembagaan segera bagi mengelak peruntukan jenayah syariah di negara ini dicabar atau lebih buruk lagi berisiko dibatalkan.

Mereka juga menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan kemelut didakwa tekanan terhadap bidang kuasa DUN dalam menggubal peruntukan berkait dengan kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam.

Sementara itu, sebuah portal berita semalam melaporkan, PAS menyeru orang ramai terutama penyokongnya untuk turun bersolidariti bagi mempertahankan undang-undang syariah di Mahkamah Persekutuan pagi ini.



Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan berkata semua pihak yang faham dan bersimpati dengan isu ini perlu menyatakan pendirian mereka.

Katanya, sebagai parti dan kerajaan Kelantan atau responden dalam kes itu berhak untuk menggerak atau mengajak orang ramai yang memahami kes berkenaan untuk keluar menyatakan pendirian.

Petisyen itu akan diputuskan panel yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel sama, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.



Nik Elin dan anaknya selaku pempetisyen diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala Kerajaan Negeri Kelantan dinamakan selaku responden tunggal, diwakili peguam Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif.

Selain itu Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), dan Badan Peguam Malaysia bertindak selaku pemerhati.

Sisters In Islam Forum (SIS) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pula bertindak selaku sahabat mahkamah (amicus curiae).

Dalam prosiding hujahan sebelum ini, Tengku Maimun mengingatkan semua pihak supaya menegakkan prinsip undang-undang dan tidak membuat sebarang kenyataan yang bersifat menghasut.



Katanya, isu dalam pendengaran petisyen berkenaan adalah bukan mengenai melemahkan agama Islam dan mahkamah syariah, tetapi ia adalah berhubung isu kompetensi kerajaan negeri dalam menggubal undang-undang.

 

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Skandal Spanco, siapa terbabit?

Cikgu Fadli bersara kerana tak mahu jadi tetamu biadab



Memang kami lepak dengan Hot Daddy

Saharul Ridzwan jual rumah pula

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker