Mengapa baru sekarang PN bantah petisyen cabar enakmen jenayah syariah?

Mengapa baru sekarang PN bantah petisyen cabar enakmen jenayah syariah?

Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoal Perikatan Nasional (PN) yang seakan-akan baru menunjukkan keprihatinannya, terhadap isu petisyen dua individu mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, sedangkan gabungan politik itu tidak pernah membuat bantahan menyelamatkan undang-undang syariah sejak notis usul difailkan pada 25 Mei 2022, manakala petisyen difailkan pada Oktober tahun sama.



Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut mempersoal pihak tertentu yang dilihat mempolitikkan isu berkenaan, sedangkan pihak pempetisyen yang mencabar 20 peruntukan dalam enakmen tersebut sudah memfailkan notis usul pada tempoh berkenaan.

“Tiada bantahan dibuat oleh PN pada waktu itu mahu pun kedengaran bantahan secara politik oleh Pas untuk ‘selamatkan syariah’ ketika menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri di Kelantan.

“Anehnya, barulah kedengaran Pas melalui Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membangkitkan isu ini pada Rabu lalu.

“Beliau (Tuan Ibrahim) menganggap sebagai suatu yang serius untuk mencabar Mahkamah Syariah dan akan mengadakan siri perhimpunan menyahut seruan gerakan ‘selamatkan syariah’.



“Saya khuatir isu seperti RUU 355 (Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021) yang pernah dipolitikkan suatu ketika dahulu akan berulang menyaksikan umat Islam dan negara diheret ke kancah pertikaian.

“Semasa PN menjadi kerajaan 2020-2022, tiada pula dilihat sesuatu hasil atau sekurang-kurangnya ke arah perlaksanaan RUU 355 yang heboh dimainkan sebelum Pas menjadi sebahagian Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 8 November lalu, PN dalam sidang akhbar di Parlimen memberitahu akan menganjurkan siri perhimpunan pada 16, 18 dan 20 November ini bagi membantah petisyen dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Tuan Ibrahim berkata, perhimpunan itu akan diadakan masing-masing di Terengganu, Kelantan dan perhimpunan munajat di Istana Kehakiman, Putrajaya pada waktu pagi (20 November).



Beliau berkata, pihaknya menerima memorandum ‘Gerakan Selamatkan Syariah’ dari lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam.

Katanya, badan itu mendesak meminda Perlembagaan Persekutuan segera bagi mengelak peruntukan jenayah syariah di negara ini dicabar atau lebih buruk lagi berisiko dibatalkan.

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan Iki Putra mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii.

Mahkamah membuat keputusan enakmen kesalahan syariah yang termasuk dalam senarai Persekutuan, secara automatik adalah terbatal.



Dalam kes berkenaan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, mereka memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja.



Mahkamah Persekutuan menetapkan 20 November ini bagi menyambung pendengaran petisyen tersebut.

Dalam pada itu, Mujahid menegaskan, rentetan petisyen berkenaan, reformasi menyeluruh berkaitan perundangan syariah perlu dibuat bagi membaiki institusi mahkamah dan perundangan syariah di negara ini.

Katanya, dengan beberapa isu berkaitan pihak yang mencabar perundangan syariah, ia sepatutnya menyemarakkan lagi azam untuk memperbaiki institusi mahkamah dan perundangan syariah daripada semua aspek dan bukan mempolitikannya.

“Perkara ini wajar dibuat secara objektif dan kolektif dengan bertindak memastikan tiada kelompongan dalam perundangan syariah agar tiada pihak yang boleh mengambil kesempatan.



“Ia bukan soal ‘syariah dicabar’ untuk dipolitikan, tetapi bagaimana kita bertindak untuk memperkukuh peruntukan syariah yang ada supaya tiada lagi kelompongan,” katanya. Utusan

Mengapa baru sekarang PN bantah petisyen cabar enakmen jenayah syariah?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Khaibar, Khaibar Ya Yahud, Jaysu Muhammad Saufa Ya’ud

Gambar lucah AI, Anna Jobling beri amaran

TMJ Tuju Kepada Ahli Politik Mana?

Ameera Khan dikritik tayang produk pro Israel

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker