Pelajarku, suamiku

Pelajarku, suamiku

Kangar: “Suami adalah bekas pelajar saya ketika saya berusia 32 tahun manakala dia pula berumur 16 tahun, namun siapa sangka hubungan itu kini bertukar sebagai suami isteri,” kata Rosalina Darus.

Rosalina, 48, adalah wanita yang mendapat perhatian di TikTok selepas berkongsi video memaparkan gambarnya dan suami, Mohamad Hazwan Daud, 32, yang berbeza usia 16 tahun yang dikahwininya sejak lapan tahun lalu.



Perkongsian guru pendidikan seni visual itu mendapat pelbagai reaksi lucu dan positif netizen yang bergurau mengatakan jodoh mereka masih kecil manakala ada juga yang memuji wanita itu dilihat hampir sebaya dengan suami selain turut mendoakan hubungan pasangan berkenaan.

Berkongsi kisahnya, Rosalina berkata, hubungan mereka pada mulanya tidak lebih sebagai guru dan murid kerana suami, Mohamad Hazwan yang juga pegawai polis adalah pelajar kelasnya selama dua tahun ketika mengajar di Kelantan.

“Suami seorang pendiam tetapi ada bakat melukis jadi saya selalu beri galakkan untuk menyambung pelajaran di peringkat universiti kepadanya dan semua pelajar lain.

“Selepas tamat tingkatan lima, dia berpindah sekolah untuk tingkatan enam sebelum ke universiti, manakala saya pula berpindah ke Perlis namun saya dan pelajar termasuk suami masih berhubung,” katanya ketika dihubungi semalam.



Katanya, ketika itu dia sudah berpisah dengan bekas suami dan tidak lama kemudian Mohamad Hazwan meluahkan hasrat untuk berkawan lebih rapat dengannya sehingga lelaki itu tamat pengajian dan berhasrat melamarnya menjadi isteri.

“Ketika itu suami mengambil upah melukis mural dan hubungan kami direstui kedua-dua keluarga termasuk tiga anak lelaki saya. Selepas tiga bulan berkahwin suami mendapat panggilan menjalani latihan kepolisian,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur perkahwinannya berjalan lancar biarpun suami masih muda namun dia bersikap matang dan mereka dikurniakan anak perempuan yang kini berusia lima tahun.

Katanya, tiada masalah bersuamikan lelaki lebih muda kerana paling penting adalah sikap, akhlak sebagai suami isteri dan saling memahami tanggungjawab dalam rumah tangga.



“Saya memang berusia daripada suami tetapi itu tidak bermakna banyak pengalaman dan berasa diri sudah terlalu bagus sebaliknya kita perlu ada sikap saling menghormati antara satu sama lain.

“Perkahwinan adalah perkongsian dan kami tiada rahsia supaya tiada rasa sangsi dalam kehidupan. Apabila Allah SWT beri jawapan kepada solat Istikharah, saya tekad menjadi isteri yang baik dan menolak tepi faktor usia itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia tetap sentiasa bersedia dengan risiko perkahwinan namun bersyukur Mohamad Hazwan berusaha menjadi suami dan bapa terbaik apatah lagi dia kini diuji kanser payudara sejak dua tahun lalu.

Katanya, dia juga kini sedang bercuti daripada tugas selepas menjalani pembedahan membuang ketulan kanser pada 3 Januari lalu dan selesai menjalani rawatan radioterapi.



“Sebagai wanita terdetik juga di hati kerana kita sudah berusia dan sakit pula apakah suami masih setia bersama tetapi saya bersyukur sehingga kini suami kekal memberi sokongan.

“Sepanjang rawatan suami banyak membantu bukan saja sokongan moral, malah meringankan kerja di rumah. Keluarga adalah kekuatan saya melawan penyakit ini terutama suami dan anak selain ibu yang juga pejuang kanser payudara,” katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Rosalina berkata, dia seorang yang ceria dan berkongsi video itu untuk kenangan serta terhibur dengan beberapa komen mencuit hati.

“Saya berterima kasih dengan komen netizen dan pada saya jangan risau kerana rezeki, jodoh, anak dan kesihatan sudah Allah aturkan dengan baik dan kita perlu sentiasa bersangka baik dengan perancangan Allah,” katanya. HM



Pelajarku, suamiku

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Gambar lucah ciptaan AI, artis tempatan menjadi mangsa



Rakyat Malaysia jual sate RM7 secucuk tepi jalan laku keras

Bersatu sudah jadi Berpecah

Pekerja Nasi Kandar Terkenal Hanya Berseluar Dalam Di Dapur (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker