Perbahasan solidariti Palestin cerminan perpecahan kaum di Malaysia

Perbahasan solidariti Palestin cerminan perpecahan kaum di Malaysia

Sebagai pendukung perjuangan pembebasan Palestin, saya berpendapat gagasan Minggu Solidariti Palestin oleh Kementerian Pendidikan (KPM) adalah usaha yang patut dipuji.

Sayangnya ketika perang di Palestin semakin memuncak, ia bukannya meningkatkan sokongan kepada perjuangan Palestin, malah perhatian umum dialihkan untuk berdebat tentang manafaat program solidariti tersebut.



Secara umum, saya rasa tidak salah untuk mendedahkan pelajar kepada isu-isu geopolitik dan hal ehwal antarabangsa terutama yang berkaitan dengan hak asasi manusia dan nilai-nilai kemanusiaan. Jelas sekali, perbincangan sedemikian akan menyentuh topik kontroversi seperti kekerasan, konflik, bahkan kematian.

Guru dan ibu bapa mestilah bersedia untuk menangani secara sensitif ketika memberi penerangan kepada murid-murid terutamanya di sekolah rendah.

Walaupun seseorang cuba mengelakkannya, anak-anak mempunyai banyak akses kepada media sosial dan mereka akan berdepan sendiri masalah-masalah kompleks ini. Justeru, lebih baik institusi pendidikan memberikan nasihat dan bimbingan untuk membangunkan perspektif yang betul untuk pelajar.

Dinyatakan bahawa tujuan Minggu Solidariti Palestin adalah untuk menggalakkan perpaduan, simpati, perasaan hormat dan nilai-nilai kemanusiaan yang lain. KPM menegaskan bahawa garis panduan yang tepat telah ditetapkan berhubung pelaksanaan program tersebut.



Namun sesetengah ibu bapa kecewa melihat imej pelajar dan guru mengayunkan senjata olok-olok di sekolah. Ada ibu bapa khuatir bahawa program solidariti berisiko menanam sikap agresif kepada kanak-kanak sekolah.

Tidak dinafikan terdapat kekurangan di pihak KPM. Kementerian mungkin terlepas pandang tentang jurang kesedaran tentang isu antarabangsa. Sebenarnya, masih ramai rakyat Malaysia yang masih kurang arif tentang isu tersebut dan mereka hanya melihat Palestin dari kaca mata komuniti mereka sendiri. Arahan dengan senarai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan tidak akan secara terus menterjemahkan aktiviti minggu solidariti kepada simpati dan sokongan kepada rakyat Palestin yang tertindas.

Bukan angkat senjata saja

Minggu Solidariti Palestin diluncurkan tanpa menyediakan apa-apa bahan yang ditetapkan (seperti video, buku, risalah, analisis berita, laporan penyiasatan dan narasumber) kepada sekolah. Atas sebab itu, guru atau pelajar perlu menggunakan imaginasi mereka sendiri untuk mengisi kekosongan tersebut.



Saya yakin mereka melakukan kegiatan tersebut dengan niat yang baik. Janganlah kita terlalu keras terhadap mereka.

Tanpa rujukan informatif dan pemesanan positif daripada pihak atasan, sering kali orang cenderung untuk mengaitkan perang dengan senjata. Kanak-kanak, terutama lelaki, suka bermain dengan senjata mainan. Bagi kanak-kanak, mengambil bahagian dalam perarakan pantomim dengan mesingan mainan hanyalah satu tindakan yang polos. Saya tidak fikir aktiviti sebegitu akan memupuk perilaku ganas yang lebih daripada ibu bapa membeli pistol atau pedang mainan untuk anak-anak mereka.

Bagaimanapun pandangan saya yang lunak tidak bermakna saya setuju persembahan kanak-kanak yang memegang senjata ketika mengibarkan bendera Palestin. Gambar-gambar sedemikian tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada program Minggu Solidariti Palestin atas dua sebab:

Pertama, keganasan perang bagi anak-anak Palestin adalah satu tragedi keniscayaan yang mengerikan. Melakonkan semula situasi ngeri seolah-olah memperlekehkan penderitaan orang lain. Kanak-kanak harus disedarkan bahawa tiada kegembiraan dalam peperangan.



Kedua dan yang paling penting, tindakan menggambarkan kanak-kanak Palestin membawa senjata automatik memberi pengertian yang salah terhadap perjuangan Palestin. Ini imej palsu tentang kanak-kanak Palestin. Secara rasmi, semua gerakan perjuangan bersenjata Palestin (Fatah, Hamas, Jihad Islam, Front Popular dan lain-lain) menolak penggunaan askar kanak-kanak.

Perpecahan komunal di kalangan kita

Orang ramai harus tahu bahawa gerakan penentangan Palestin bukan hanya melibatkan pejuang bersenjata. Sebahagian besar rakyat Palestin terlibat dalam pelbagai bentuk perlawanan tanpa bersenjata.

Pastinya kanak-kanak tidak terlepas daripada konflik. Malah anak-anak Palestin hanya punya batu, kerikil dan katapel sebagai pertahanan. Anak-anak Malaysia yang bertuah (dapat memiliki banyak permainan) harus dididik bahawa walau pistol mainan adalah satu kemewahan untuk kebanyakan anak-anak Palestin yang papa kedana.



Argumen yang muncul semasa Minggu Solidariti Palestin mencerminkan realiti yang menyedihkan di Malaysia. Perpecahan komunal kita sendiri telah mengaburkan visi kita untuk kemanusiaan sejagat dan belas kasihan. Masih terdapat banyak misinformasi dan distorsi mengenai Palestin di kalangan masyarakat kita sendiri, termasuk mereka yang menyokong perjuangan Palestin.

Sehubungan itu, saya menggesa KPM supaya mengorientasikan semula program Minggu Solidariti Palestin, daripada perkara yang dangkal kepada aktiviti yang lebih berdampak.

Sekolah-sekolah harus mengedarkan bahan-bahan pendidikan tentang sejarah dan budaya Palestin. Untuk menanam perasaan belas kasihan dan empati terhadap kanak-kanak lain, perlu ada bahan bacaan dan visual mengenai keadaan tidak manusiawi di bawah penjajahan dan di kem pelarian.

Buat jangka masa panjang, kita juga perlu mewujudkan sukatan pelajaran tentang nilai-nilai sejagat dan hak asasi manusia. Tindakan solidariti kita tentunya tidak hanya terbatas pada Palestin.



TIAN CHUA

Perbahasan solidariti Palestin cerminan perpecahan kaum di Malaysia

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ira Kazar kena lagi dengan netizen

Main suami orang, Shakilla Khoriri ajak wanita Terengganu untuk berjumpa

Pelajar maut, motosikal meletup rempuh lori buat pusingan U

Monyet cabul pelancong, lakukan oral seks ketika mangsa tidur

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker