Mana Malique sembunyi?

Mana Malique sembunyi?

Siapa tidak kenal Malique atau nama sebenar, Cairel Adrin Ibrahim, insan kreatif di sebalik kemasyhuran duo hip hop, Too Phat yang diasaskan bersama Joe Flizzow atau Johan Ishak, pada 1998.

Malangnya, sejak Too Phat dibubarkan pada 2007, misteri terus melingkari hidup Malique yang sehingga hari ini, biarpun masih aktif mencipta lagu, memilih kehidupan belakang tabir.



Jejaka yang dikenali sebagai ‘The General’ ini dilihat enggan menonjolkan diri dalam mana-mana acara atau sesi temuramah, jauh sekali media sosial.

Bagi anak seni yang pernah bekerja dengan Malique, bagai tidak cukup kata-kata pujian terhadap anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini yang dianggap genius, serius dan sangat teliti berkarya.

Paling ketara, Malique cukup menyanjungi keindahan Bahasa Melayu yang diterapkan dalam lirik karya hip hop ciptaannya.

Terbaharu, single Malique berjudul Sedih Hati yang turut menampilkan suara Allahyarham Mona Fandey pada bahagian intro dan latar lagu itu, ‘meledak’, lantas menarik perhatian peminat kepada Malique yang sehingga hari ini, masih ‘bersembunyi’.



Namun, apa yang mengejutkan, Malique menonjolkan anak sulungnya, Inca Medina, 14, dalam video muzik Sedih Hati, seolah-olah memberi isyarat dirinya semakin terbuka.

Hakikatnya, peminat ingin tahu bagaimana rupa dan keadaan Malique sekarang. Apakah dia sihat dan bagaimana penyanyi dan komposer ini menjalani kehidupan bebas daripada gangguan pihak lain termasuk media massa.

Ada juga yang mengandaikan Malique sentiasa menyarung topeng, bertopi atau memakai ‘hoodie’ bagi mengelak dirinya dilihat ketika melakukan rutin harian.

Pemain gitar, Rizal Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Riz Metalasia mula bekerjasama dengan Malique dalam projek lagu Teman Pengganti pada 2012.



Riz yang turut muncul dalam video muzik Sedih Hati mendedahkan Malique pernah menyuarakan angan-angan mementaskan persembahan.

“Malique pernah cakap teringin buat ‘show’… Itu angan-angan dia. Kita tunggu sahaja bila perkara itu akan terjadi. Ramai orang tunggu Malique pentaskan konsert dan rindukan dirinya.

“Soal sikap Malique yang semakin terbuka apabila tampilkan Inca dalam muzik video itu, tidak nafikan. Jika tidak, sebelum ini, jangan harap dapat tengok wajah anak-anaknya,” katanya.

Ditanya bagaimana keadaan Malique sekarang, Riz berkata, wajahnya masih sama seperti dahulu.



“Ramai yang hendak tahu keadaan Malique sekarang. Malique masih tampak muda dan sihat, muka pun masih sama macam dulu.

“Malique tegas, setiap kali rakaman lagu baharu, dia sentiasa ada. Awal-awal dahulu, kami rakam lagu di rumahnya sahaja.

“Namun, apabila anak-anak sudah membesar, barulah kami buat kerja di Qamar Studios.

“Malique tahu apa yang dia mahu. Dia sangat terbuka terima idea orang. Kalau saya ada idea, saya bagi. Kami bekerja secara berpasukan, setakat ini, saya seronok bekerja dengan Malique,” katanya.



Riz mengaku pernah terlintas dalam fikiran, apakah Malique tidak mahu hidup seperti orang lain.

Namun, pandangan itu tidak diluahkan kepada Malique. Riz mengaku andai mahu terjumpa Malique melepak di restoran mamak, perkara itu cukup mustahil.

“Perkara seperti itu takkan berlaku. Cubalah Google foto Malique di internet, takkan jumpa wajah terkininya. Sikap itu (hidup di belakang tabir) menjadikan dirinya ‘mahal’ (eksklusif),” katanya.

Rapper Kmy Kmo yang pernah bernaung di bawah syarikat rakaman Malique ketika bersama kumpulan Nukilan, berganding dengan Zizi Kirana dan Afif Tirmizie, teringat pernah bertanya kepada komposer itu tidakkah teringin mementaskan konsert.



“Tipulah jika saya tidak ambil kesempatan berjumpa Malique untuk bertanya kenapa dia tidak buat konsert.

“Ketika itu, 2015, Malique cakap mungkin suatu hari kelak, dia akan buat konsert. Namun, dia sendiri tidak pasti bila,” katanya.

Kmy mengaku rasa rendah diri dapat bernaung di bawah syarikat rakaman Malique yang dianggapnya sifu.

“Biarpun nama besar, Malique sangat mengambil berat dan merendah diri. Semuanya berlaku pada 2014 apabila saya diberitahu, Malique sedang mencari penyanyi rap.

“Ketika itu, saya berada di Kuantan, Pahang. Saya masih ingat lagi, ketika itu, pantai timur dilanda banjir teruk hingga semua jalan darat ditutup.

“Namun, disebabkan Malique hendak jumpa saya, Qarma Studios hubungi dan minta semua maklumat. Rupa-rupanya, saya dapat tahu, Malique belikan saya tiket penerbangan. Beliau hendak saya datang ke Kuala Lumpur dan bertemunya.

“Setibanya di rumah Malique, saya ibarat ‘star struck’, Pertama kali berjumpa dengannya, Malique sangat ambil berat. Berkali-kali beliau tanya apakah saya okay atau sudah makan,” katanya.

Kmy berkata, Malique adalah individu ‘perfectionist’ yang sangat teliti ketika bekerja. Malique sangat profesional dalam bidang muzik dan penulisan lirik. Namun, beliau tegas ketika bekerja.

“Setiap kali sesi rakaman, tidak kiralah lagu beliau atau orang lain, Malique akan minta kita beri idea.

“Ketika bekerja, beliau sangat fokus. Selepas kerja, Malique jadi orang yang sangat berbeza. Beliau suka berlawak dan buat aktiviti yang boleh bangkitkan mood ceria,” katanya yang mendapat inspirasi menghasilkan lirik puitis dalam bahasa Melayu seperti Gong Nekara dan Zuhud melalui hasil kerja Malique.

Insan yang bertanggungjawab memperkenal dan menaikkan nama Too Phat menerusi syarikat rakaman Positive Tone, Datuk Ahmad Izham Omar, bagaimanapun, lebih gemar mengulas nilai positif dimiliki anak didiknya itu, bukan dalam soal kehidupan peribadi Malique.

“Saya tiada komen mengenai keputusan Malique tak mahu ke depan. Kita harus belajar daripada Malique kerana beliau sangat berkualiti.

“Malique sangat teliti dan berdedikasi dalam kreativitinya. Apa yang dia hasilkan, selalunya melangkaui apa-apa yang ada dalam industri muzik. Terutama sekali, lirik dihasilkannya.

“Penggunaan bahasanya sangat inovatif, namun, masih mengekalkan semua cara penggunaan yang betul.

“Sepatutnya, karya Malique dikaji pakar bahasa untuk difahami evolusi Bahasa Melayu yang memang akan sentiasa ada, namun, diterajui dengan betul oleh Malique,” katanya.

Cukup menjaga privasi, setakat ini, dua foto Malique boleh dikesan dalam pencarian enjin iaitu majlis perkahwinannya di Bali, Indonesia dan dipercayai percutian keluarga di luar negara pada 2019.

Berkahwin dengan model, Melissa Maureen pada 2008 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Inca, Rumi Arjuna, Chasca Maya dan Ezra Aditya. HM

Mana Malique sembunyi?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kakak wanita disondol anak pasangan pelakon beri respon

Marissa ‘kejar’ sehingga Aslam tak daya melawan , dakwa bekas isteri

Marissa pernah bersumpah tak akan menyondol lagi – Misya

Mencarut sebelum meninggal dunia

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker