Tak boleh arak boleh arak, tak boleh judi boleh judi

Tak boleh arak boleh arak, tak boleh judi boleh judi

Oleh Mohsin Abdullah

Berkata Azmin Ali si pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor waktu beliau jadi menteri Besar dulu kilang Carlsberg “tak tutup pun”. Kata-kata itu diluah kepada akhbar Oriental Daily beberapa hari lalu.



Kata beliau lagi kepada akhbar itu yang dipetik Malaysiakini, semasa beliau memegang jawatan menteri besar ada tiga exco PAS dalam pentadbirannya tetapi tiada kilang arak ditutup. Secara sedar atau tidak Azmin seakan berkata tiga orang PAS itu tidak membantah dan tidak ada masalah dengan kilang arak. Itu pada hemat saya. Seperkara lagi – semasa Azmin jadi MB Selangor beliau adalah pimpinan PKR.

Apa pun Oriental Daily ialah akhbar bahasa Cina. Tidak perlulah kita jadi saintis politik untuk tahu jelas mesej Azmin ditujukan kepada masyarakat Cina menjelang PRN esok. Ringkasnya beliau memberi jaminan kehidupan orang bukan Islam tidak akan terjejas jika PN menawan Selangor.

Maksudnya kilang arak boleh terus beroperasi. Penjualan arak boleh terus dijalankan. Begitu juga premis judi kekal dibuka. Demi menghormati cara hidup orang bukan Islam? Tetapi bukankah ketika PAS selaku tunggak PN mengharamkan arak dan judi di negeri yang mereka perintah, alasan yang diberi ialah agama bukan Islam juga tidak menggalakkan umatnya minum arak dan berjudi. Sekaligus mendakwa tindakan PAS ada justifikasinya. Tentu kita masih ingat kata-kata Sanusi Nor selaku menteri besar ketika menutup premis judi dan penjualan arak di Kedah tidak lama dulu.

Kali ini Azmin berkata sebaliknya. Lalu memberi contoh Kelantan yang diperintah PAS selama 33 tahun di mana orang bukan Muslim di negeri itu “boleh minum arak kerana agama mereka membenarkan”. Di Kelantan agama bukan Islam membenarkan tetapi di Kedah tidak membenarkannya? Betul ke?



Azmin kemudian mengingatkan masyarakat Cina di Kelantan ada patung Buddha terbesar di Asia Tenggara. Ini sememangnya contoh kegemaran PN untuk menunjukkan “toleransi” mereka. “Sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan orang Cina masih boleh hidup aman-damai tanpa sebarang masalah”, menurut beliau.

Barangkali dalam kesibukan berkempen Azmin lupa kisah wanita Cina didenda kerana memakai seluar pendek walaupun berada dalam kedainya. Sebenarnya wanita bukan Islam didenda kerana didakwa berpakaian “tidak sopan” sudah banyak kali terjadi, bukan yang disebut tadi sahaja. Dan baru-baru ini tindakan juga diambil ke atas seorang pendandan wanita Cina kerana memotong rambut pelanggannya, seorang lelaki Melayu. Mengapa lelaki Melayu Islam itu pergi ke kedai yang tukang gunting rambutnya seorang wanita tidak pula diketahui.

Bagi masyarakat bukan Islam banyak lagi yang mesti diselesaikan. Bukan sekadar wujud patung Buddha terbesar dan boleh minum arak. Itu pun bukan secara terbuka. Ini kita cerita di lain masa.

Baru-baru ini Muhammad Faiz Na’aman, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan dikatakan antara pengasas parti, keluar Bersatu. Kenyataan panjang dikeluarkan menghurai mengapa beliau tinggalkan Bersatu. Saya tidak bercadang mengulanginya di sini.



Cuma memetik sebahagian. Begini: Kata Faiz Bersatu dibayangkan sebagai parti “nasionalis sederhana” atau moderate yang membezakannya daripada “puak Melayu ultra, liberal ultra dan pelampau atau ekstremis agama”. Tetapi katanya “saya kecewa Bersatu tidak menitikberat ideologi perjuangan”.

Bersatu dilihat “kow tow” kepada PAS yang dikatakan “big brother” dalam PN walaupun itu dinafikan. Kejayaan PRU15 disifatkan umum sebagai kemenangan PAS. Malah diberi jolokan “Gelombang Hijau” warna PAS. Dan Bersatu dilihat semakin akur dan mencontohi tingkah laku PAS. Mungkin itu yang dimaksudkan Faiz sehingga “memaksa” beliau bertindak keluar Bersatu.

Menjelang PRU15 tahun lalu tentu kita belum lupa, Muhyididn Yassin pengerusi PN mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dengan kumpulan Yahudi dan Kristian. Beliau juga bercakap mengenai apa yang beliau panggil “Agenda Kristianisasi”. Tidak dinafikan sedikit-sebanyak tuduhan itu menyumbang kepada prestasi baik PN pada pilihan raya umum lalu.

Menghadapi PRN enam negeri yang akan diadakan esok, PN berkempen berlandaskan retorik agama dan bangsa yang didakwanya terancam.



Muhyididn menuduh kerajaan perpaduan ditadbir orang bukan Melayu. Menggunakan isu kalimah Allah untuk menyokong tuduhannya. Di tengah kempen PRN naratif “kafir harbi” kembali di media sosial.

Itu dapatan inisiatif Pantauan Media Sosial #PRN2023 diketuai Pusat Kewartawanan Bebas. Menurut analisis awal mereka dalam beberapa keadaan, mesej di media sosial memberi amaran kepada pengundi “kafir harbi akan mengambil alih jika orang Islam tidak bersatu”.

Tidak diketahui siapa yang menerbit atau di belakang penerbitan mesej berkenaan. Setahu saya DAP pernah dituduh “kafir harbi” suatu ketika dahulu. Istilah “kafir harbi” dan “kafir zimmi” pernah diperkatakan beberapa pemimpin PAS tidak lama dahulu.

PAS terutama Abdul Hadi Awang presidennya, kerap bercakap mengenai orang bukan Melayu khususnya sejak kebelakangan ini. Dan sering mengguris perasaan mereka dengan pelbagai tuduhan yang dilempar. Rasanya ramai tahu apa yang saya maksudkan.



Bersatu dilihat akur malah seperti dikatakan tadi ikut rentak PAS. Sekali lagi saya katakan jelas agama menjadi umpan politik untuk mendapat kemenangan ikut jalan mudah dan singkat. Dan ramai juga orang Melayu termakan umpan.

Semasa kempen PRN sedang hangat kita disajikan video seorang wanita warga emas berkata Umno adalah kafir. Dasar sekular, nasionalis, kapitalis semuanya kafir kata wanita itu. Teringat saya ada pemimpin PAS bercakap mengenai kapitalis, sekular dan nasionalis.

Ada juga dakwaan azan tidak kedengaran dari sebuah masjid di Kajang dan DAP dipersalahkan. Tetapi menurut seorang pengguna X (dulu Twitter) masalah itu ialah kerana pembesar suara masjid rosak.

Di Kelantan calon BN bagi DUN Chempaka dituduh tidak menunaikan solat Jumaat. Kata ketua strategik jentera BN kawasan berkenaan: “Saya tegaskan calon BN kawasan Chempaka ialah Nik Normi Nik Ayub, seorang wanita dan tidak wajib mendirikan solat Jumaat”.



Yang nyata sentimen bangsa dan agama terus dibakar untuk meraih sokongan di peti undi meskipun ia merosakkan keharmonian rakyat negara – antara orang Melayu dengan bukan Melayu, juga orang Melayu dengan Melayu.

Imbas kembali titah Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara 5 ogos lalu. Baginda mengingatkan perjuangan untuk memartabatkan sesuatu bangsa tidak seharusnya menjerumuskan negara ke arah polarisasi sehingga menggugat semangat perpaduan yang didambakan. FMT

Tak boleh arak boleh arak, tak boleh judi boleh judi

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Lepas pakai tudung, tak dapat job sampai kereta kena tarik – Lisdawati

Sayangnya Hidup Dah Habis Dengan Kau Lelaki – Zarina Zainuddin

Suami curang ‘dibantai’ isteri di restoran di hadapan skandal

Rozita Che Wan mengamuk, ‘bab* mana buat cerita ni’

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker