Maksud “bandung” dalam mee bandung dan “belanda” dalam durian belanda
Mee bandung bukan berasal dari Bandung dan durian belanda bukan berasal dari Belanda.
Maksud “bandung” dalam mee bandung dan “belanda” dalam durian belanda
BAHASA kita kaya dengan kepelbagaian kata dan makna. Ada kalanya, kalau kita kurang mendalami ilmu bahasa, makna sesetengah perkataan boleh mengelirukan.
Ada perkataan yang banyak digunakan dalam nama makanan, binatang atau benda tetapi tidak ramai yang tahu makna sebenarnya. Apatah lagi, ia sering dikelirukan dengan nama tempat atau negara.
Sebagai contoh, perkataan “bandung” dalam nama makanan mee bandung dan minuman sirap bandung. Ramai fikir, ia merujuk kepada nama tempat, Bandung di Indonesia.
Begitu juga dengan nama buah, durian belanda. Adakah ia merujuk kepada negara Belanda?
Kita mahu kongsikan dengan anda maksud sebenar kedua-dua perkataan ini. Semoga maklumat ini memberi manfaat dan menambah minat anda terhadap ilmu bahasa, khususnya bahasa Melayu.
Bandung
Apabila kita menyebut bandung, ramai yang teringat pada nama tempat di Indonesia, iaitu Bandung yang terletak di wilayah Jawa Barat.
Menurut Pejabat Pengelola Informasi dan Dokumentasi (PPID) Kota Bandung, ada dua pendapat tentang asal-usul nama ibu kota Jawa Barat ini.
Pendapat pertama, ia berasal dari kata bendung atau bendungan. Dikatakan, sebelum tertubuhnya pemerintahan kabupaten Bandung, tanah itu merupakan sebuah danau (tasik) yang dinamakan sebagai Danau Bandung.
Ia dinamakan sedemikian kerana danau tersebut terbentuk apabila air dari Sungai Citarum terbendung oleh lava dari Gunung Tangkuban Perahu. Dari bendungan air itu, terbentuk danau yang juga dikenali sebagai Danau Bandung Purba.
Selepas air itu surut, kawasan tersebut dijadikan penempatan, iaitu kabupaten Bandung.
Pendapat kedua pula, dikatakan perkataan Bandung diambil dari kenderaan air yang digunakan oleh bupati (ketua kabupaten) Bandung yang bernama Raden Adipati Wiranatakusumah II untuk melayari Sungai Citarum.
Kenderaan itu dibuat daripada dua perahu yang diikat bersama, digelar sebagai perahu bandung.
Secara konsensus, itulah maksud bandung – dua benda yang dirangkaikan atau dipasangkan. Ini juga maksud bandung yang dicatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.
Jadi, apabila kita menyebut air sirap bandung atau mee bandung, ia bukan bermakna minuman dan makanan itu berasal dari kota Bandung tetapi kerana ia dibuat menggunakan dua atau lebih bahan.
Sirap itu menjadi sirap bandung kerana proses pembuatannya membandungkan air sirap dengan susu.
Pakar bahasa, Profesor Emeritus Abdullah Hassan pula ada berkata, bandung itu bermaksud campur atau gabung. Sebab itu kita panggil mee bandung; dalam kuahnya dicampur pelbagai bahan seperti sayur, udang, telur, daging dan sebagainya.
Perkataan bandung juga ada ditemukan dalam nama benda lain, seperti dapur bandung (dapur kembar), ayam bandung (dua anak ayam yang keluar dari satu telur yang sama) dan rumah bandung (dua buah rumah yang bercantum menjadi satu).
Belanda
Belanda juga asalnya nama tempat. Ada banyak pendapat tentang asal-usul nama Belanda, sedangkan negara itu lebih dikenali sebagai Netherland atau Holland di Barat.
Ada yang kata, ia berasal dari sebutan Portugis, iaitu Holanda. Ada juga pendapat yang mendakwa ia datang dari sebutan bahasa Inggeris untuk orang Holland, iaitu Hollander.
Pendapat lain mendakwa ia datang dari warna rambut orang Belanda, iaitu blonde.
Satu lagi lebih menarik. Dikatakan pada abad ke-17, ada muzakarah dalam kalangan ulama di Palembang. Mereka menegaskan yang orang Melayu perlu kuat menolak hasutan bangsa asing yang datang dan suka memecah belah.
Menurut bahasa yang diguna pakai ketika itu, perlakuan memecah belah disebut belah nde (belah – memecah, nde – keluarga). Lama-lama, bangsa asing itu terus digelar Belanda.
Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, definisi Belanda hanya merujuk kepada negara Belanda.
Namun, menurut Abdullah Hassan, belanda dalam bahasa dan budaya Melayu bermaksud tipu atau tidak benar.
Sebab itu buah yang nampak seperti durian tetapi bukan durian dipanggil durian belanda (soursop). Rodensia yang nampak macam tikus tapi bukan tikus dipanggil tikus belanda (guinea pig).
Begitu juga dengan ayam belanda (turkey), isteri belanda (bantal peluk) dan janji belanda (janji palsu). Relevan
Maksud “bandung” dalam mee bandung dan “belanda” dalam durian belanda
Baca Artikel Menarik:
- Dato Malik ditahan SPRM
- Presiden Gerakan usah keras kepala – Pemuda PAS Tasek Gelugor
- Gangguan seksual terhadap Rara, influencer beri keterangan Khamis ini
- Tiba-tiba jadi ‘drummer’ Search, Naimi kejutkan cikgu dan rakan sekolah
- Nabil bengang netizen persoal kemenangan Bell Ngasri
- Aloe vera penyebab kanser?
- Kenyataan Maybank sebut ‘dasar PM tidak jelas’ sahih
- Tiada lagi Din Pudu
- Setiausaha Akhbar sebak, “Chief’ dah beri petunjuk mahu pulang pada 23 Julai, namun Chief’ pulang selamanya”
- Sampai mati saya buat Menu Rahmah – Bos Mydin sebak
- Pas dakwa dikhianat Bersatu rebut DUN Ayer Hangat
- ‘Tendang keluar’ penyandang, penyokong PAS Gual Periok turunkan bendera tanda protes
- Ibu mangsa dedah PU Azman minta anak lumur minyak pada kemaluan
- Baby Shima bakal bertanding pada PRN
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Raja Ilya Diperli Dah Tak Ada Job Sampai Kena Rakam Gambar Mandi (Video)
Saya tapau nasi vanggey dua dengan teh o ais untuk Dr Malar – Bell Ngasri
Tuntut Keadilan Selepas Dakwa Dipukul Johor Military Force (JMF)