Dua beranak maut elak ular sawa – Al-Fatihah

DUNGUN – Gara-gara cuba mengelak seekor ular sawa, dua beranak maut selepas kereta Proton Gen 2 dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 61, Jalan Jerangau – Jabor berhampiran Bukit Besi dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, Mohamed Jenal , 61, dan anak perempuannya, Mardiah Mohamed, 26, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, Mohamed dan anak perempuannya dikatakan dalam perjalanan ke pusat bandar Dungun dari rumah mereka di Felda Jerangau Barat dekat sini.



“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, Mohamed yang memandu kereta Proton Gen 2 dikatakan terperanjat melihat seekor ular sawa sedang melintas jalan.

“Kereta dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, Mitshubishi Triton,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Baharudin berkata, mayat kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta Proton Gen 2 tersebut berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Mukhtafi Billah Shah di sini.

Menurut beliau, mayat Mohamed dan Mardiah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE



Jalan Tun Razak sesak angkara ular sawa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker