Beli anak semurah RM3k

Beli anak semurah RM3k

Wujud sindiket menawarkan ‘pakej’ menjual bayi tak sah taraf atau bayi pendatang haram kepada warga tempatan lengkap dengan Sijil Kelahiran dan MyKid sah dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada harga semurah RM3,000.

Kegiatan itu yang dikesan mula aktif dilakukan sejak lebih 8 tahun lalu, semakin membimbangkan apabila ia membabitkan isu kerakyatan dan betapa mudahnya bayi ‘kosong’ ini mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia.



Sumber berkata, kegiatan jenayah terancang itu kian sukar dikesan susulan pembabitan kakitangan klinik dan doktor swasta bersekongkol membantu sindiket atau individu tertentu yang memerlukan dokumen penting berkenaan.

Menurutnya, kegiatan terancang itu dikenal pasti melibatkan pembabitan beberapa pihak antaranya pembantu atau jururawat pusat perubatan swasta, doktor, ‘orang tengah’ dan segelintir kakitangan JPN di Lembah Klang.

“Yang pasti kegiatan jenayah terancang mendaftarkan kelahiran bayi ‘kosong’ di JPN untuk mendapatkan Sijil Kelahiran tulen serta MyKid sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

“Kebiasaannya bagi membolehkan seseorang bayi baru lahir didaftarkan dalam sistem pendaftaran negara JPN bagi memperolehi Sijil Kelahiran dan Mykid sah, ibu bapa perlu membawa borang pengesahan kelahiran daripada hospital atau surat pengesahan doktor.



“Selain itu pemohon perlu membawa bersama Kad Pranatal (Buku Rawatan Mengandung) atau Kad Rawatan Semasa Ibu Mengandung (asal dan salinan) selain dokumen pengenalan diri ibu dan bapa ke pejabat JPN,” katanya.

Menurutnya, semua dokumen wajib itu bagaimanapun boleh dipalsukan dan disediakan sindiket melalui komplot didalangi jururawat, pembantu perubatan dan doktor di klinik swasta.

“Berdasarkan maklumat diperolehi doktor di beberapa klinik swasta menawarkan khidmat mengeluarkan dokumen palsu diperlukan ini dengan mengenakan kadar bayaran tertentu mencecah puluhan ribuan ringgit.

“Doktor swasta ini akan menyediakan dokumen palsu membabitkan borang pengesahan kelahiran serta menyediakan kad rawatan semasa ibu mengandung menggunakan maklumat ‘tipu’ seolah-olah bayi terbabit dilahirkan di pusat perubatan berkenaan. Ia jelas satu penipuan berikutan bayi itu tidak dilahirkan di pusat perubatan swasta berkenaan,” katanya.



Dia berkata, runner (orang tengah) atau individu yang menyamar sebagai ibu bapa kandung bayi terbabit kemudiannya akan membawa dokumen palsu itu ke pejabat JPN untuk mendaftarkan kelahiran bayi itu.

“Di sini wujud kemungkinan pembabitan segelintir pegawai JPN di kaunter permohonan yang bersubahat memudahkan urusan mendapatkan Sijil Kelahiran Sah dan MyKid tulen.

“Kebiasaannya sukar untuk menentukan kesahihan identiti bayi terbabit berikutan bayi itu tidak dibawa ke pejabat JPN ketika proses permohonan Sijil Kelahiran dan MyKid.

“Berdasarkan risikan dilakukan, modus operandi digunakan ini disyaki membabitkan bayi di kalangan anak pendatang asing tanpa izin, pengambilan bayi sebagai anak angkat serta bayi hasil hubungan luar nikah. Bagaimanapun risikan lebih terarah kepada pembabitan sindiket menjual bayi,” katanya.



Menurutnya, kegiatan jenayah ini membabitkan senario pemberian duit kopi (rasuah) pelbagai peringkat dan keadaan.

“Ada antara rasuah itu dilakukan ketika ‘bayi’ ini sudah berusia 12 tahun dan mahu mendapatkan MyKad di JPN. Ketika itulah muncul kekeliruan fizikal ketika kanak-kanak ini hadir ke pejabat JPN bersama ibu bapa masing-masing.”Apabila ada pegawai JPN yang sangsi dan melakukan siasatan di sini turut berlaku pemberian rasuah selain bertujuan mahu mendapatkan semula MyKad anak terbabit.

“Dalam keadaan lain, pegawai JPN yang mahu membuat siasatan dan pengesahan semula kelahiran di klinik didakwa berlaku kelahiran sebelum ini, turut ditawarkan rasuah. Suspek biasanya akan menawarkan rasuah pada JPN dan doktor swasta bagi memastikan kes itu ditutup,” katanya.

Menurutnya, JPN sedia maklum berhubung kegiatan ini dan beberapa hospital serta klinik swasta berada dalam ‘radar’ mereka.



“Perbuatan ini jelas satu lagi bentuk ancaman serius kepada keselamatan negara apabila bayi warga asing atau bayi tanpa kerakyatan ini berjaya memperolehi status warga negara sah Malaysia.

“Mereka ini kemudiannya akan memperoleh MyKad apabila berusia 12 tahun dan layak menerima segala kemudahan dinikmati rakyat tempatan,” katanya.

Bayar RM10,000 selesai urusan dokumentasi

“Kami terdesak dan sanggup beli bayi dari sindiket kerana terlalu impikan ‘perasaan’ memeluk anak. Kami sudah menanti untuk mendapatkan cahaya mata sejak 10 tahun berkahwin,” ujar seorang lelaki yang pernah mendapatkan khidmat sindiket bagi mendaftarkan kelahiran anak angkatnya pada 2021.



Menurutnya, dia dan isteri sudah melakukan pelbagai cara dan ikhtiar untuk mendapatkan anak namun bertemu jalan buntu.

Lelaki berasal dari Raub, Pahang dan hanya mahu dikenali sebagai Kahar, 40, berkata, hubungannya dan sindiket bermula selepas dia ditawarkan bayi yang baru lima hari dilahirkan di Segambut di sini.

“Kebetulan ada kenalan memaklumkan seorang wanita warga asing yang bekerja sebagai pekerja pembersihan terlanjur dan baru melahirkan bayi di sebuah klinik swasta di ibu kota.

“Dia menawarkan bayi ‘kosong’ itu kepada saya pada harga RM3,000 dengan alasan bagi membayar kos rawatan bersalin di klinik. Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju dengan tawaran itu dan segera mengambil bayi lelaki itu bersama isteri,” katanya.

Menurutnya, walaupun gembira dengan kehadiran ‘anak ekspres’ itu namun terdetik di hati mereka berhubung masalah bakal timbul apabila bayi itu meningkat dewasa kelak.

“Kami terfikir bagaimana anak itu akan didaftarkan ke sekolah kerajaan apabila mencecah usia tujuh tahun. Ini soal masa depan dan kami tidak mahu dia dilayan seperti pendatang haram.

“Ketika itulah muncul watak runner (orang tengah) yang mendakwa boleh mendapatkan dokumen sijil kelahiran dan Mykid tulen dalam tempoh dua minggu. Saya dan isteri hanya diminta ‘meminjamkan’ Mykad masing-masing serta nama cadangan yang mahu diberikan kepada bayi itu,” katanya.

Menurutnya, runner kemudian berurusan dengan doktor swasta dan kakitangan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) bagi mendapatkan dokumen penting dihajati itu.

“Saya diminta membayar pengeras RM10,000 bagi memastikan urusan dokumentasi itu berjalan lancar. Saya tak pasti berapa jumlah dibayar runner kepada JPN,” katanya.

Kahar berkata, anak angkatnya itu yang kini mencecah usia tiga tahun sudah memiliki Mykid tulen serta menggunakan ‘bin’ atas namanya.

Ditanya sama ada dia tidak berasa bersalah kerana mengetepikan hukum syariat dengan meletakkan nama anak angkatnya dengan berbinkan namanya, Kahar enggan mengulas isu itu.

“Saya tahu kami menipu dan berdosa, tapi saya dah terlanjur (mendaftar nama sendiri). Kami pun tak mahu dia (anak) tahu, dia adalah anak angkat bila besar nanti,” katanya. HM

Beli anak semurah RM3k

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dolla mahu terbang tinggi

Ini sebab ramai bau wangi waktu malam

Mia Khalifa Jadi Pensyarah Di Oxford Universiti

Seluar dalam Fify Azmi jadi perhatian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker