Dolla mahu terbang tinggi

Dolla mahu terbang tinggi

Menyimpan impian besar menarik peminat dari pelbagai negara, empat sekawan berbilang bangsa bergelar Dolla mahu berkelana lebih jauh dalam dunia persada seni selepas empat tahun menimba pengalaman dalam industri muzik tanah air.

Lebih meniupkan bara dalam hati apabila mendapat sokongan peminat peringkat global yang menyatakan hasrat bertemu dan menonton persembahan Dolla.



Justeru, Dolla yang berjaya membolosi pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 tidak menolak sekiranya ada peluang mahupun platform yang mahu menyambut kehadiran mereka di peringkat antarabangsa.

Dianggotai oleh Wan Sabrina Wan Rusli atau Sabronzo, Tabitha Ariel Lam (Tabby), Angelina Chai Ka Ying (Angel) dan Noorsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya), Dolla berkongsi menerima jemputan luar negara, namun semuanya masih dalam perancangan.

“Salah satu sasaran Dolla mahu menjelajah serantau Asia, tahun ini. Antaranya, mengadakan persembahan dan bertemu peminat di Indonesia serta Singapura.

“Sebenarnya, kami berjaya meraih peminat dari seluruh dunia ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.



“Ada menyuarakan hasrat dalam laman sosial untuk bertemu dan kami juga berharap dapat mendekati mereka.

“Antaranya, permintaan peminat dari Brazil, Argentina, Russia dan Perancis.

“Kami bersyukur ramai peminat mahu menyaksikan persembahan Dolla dan dalam masa sama, kami berharap dapat bekerjasama artis luar negara untuk memperluaskan lagi pengaruh,” kata Sabronzo selaku wakil.

Menyatakan single seperti Bad dan Impikan paling banyak meraih perhatian, Dolla berharap dapat membanggakan Malaysia dengan menembusi pasaran peringkat global.



“Apa lebih penting bagi artis berkumpulan dari Malaysia, kami mahu membawa nama Malaysia ke luar negara.

“Sudah tentu ia adalah impian Dolla sejak awal lagi untuk pergi ke pentas global dan negara yang berbeza.

“Dengan platform itu, kami boleh menghasilkan lebih banyak karya.

“Dolla percaya peminat sekitar Asia Tenggara juga menantikan kami mengadakan persembahan. Jadi, kami boleh mewakili Malaysia sebagai kumpulan wanita, sekali gus mempromosi bakat ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada BH Online.



Dalam perkembangan lain, Dolla kini sedang dalam pembikinan album yang dijangka akan menemui peminat penghujung tahun ini.

“Kini, kami sedang menyelesaikan rakaman lagu dan berlatih tarian untuk album ini.

“Dolla akan muatkan antara lapan hingga 10 lagu untuk album ini, namun semuanya belum muktamad. Diharapkan pembikinan album berjalan dengan lancar,” kata Sabronzo.

Berkongsi lanjut mengenai dua pencalonan di ABPBH 35, Dolla yang pernah diangkat sebagai Artis Baharu Wanita Popular, ABPBH 34 itu sepakat menyerahkan kuasa undian kepada peminat.



“Sekiranya tewas sekalipun, Dolla tetap percaya peminat terutama ahli kelab peminat, iDolla, sudah melakukan yang terbaik.

“Kami selalu bersyukur meskipun hanya dicalonkan. Lebih membuatkan kami teruja apabila berjalan di karpet merah acara kemuncak ABPBH 35 pada 21 Julai depan.

“Jadi, kalau mahu bercakap soal layak ke kelompok lima teratas, kami percaya pada kelab peminat, iDolla mengundi kami.

“Jika ada rezeki dan menang, kami gembira. Sekiranya tewas, kami okay dan akan mencuba pelbagai pembaharuan pada masa depan,” ujarnya.



Sabronzo berkata, Dolla tetap akan teruskan menghasilkan karya buat tatapan peminat.

“Namun, Dolla juga tidak boleh memandang rendah pada barisan artis yang tercalon, jadi kami hanya mengharapkan yang terbaik dan serahkan kepada iDolla untuk membuat undian.

“Kalau iDolla rasa kami layak menang, undilah,” katanya.

Dolla dicalonkan menerusi kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular dan Lagu Paling Boom menerusi single Berani.

Lagu Berani ciptaan sepenuhnya oleh John Jeeves dan Firdaus Rahmat ditujukan kepada wanita dan mahu mengangkat martabat wanita itu menerusi semangat juang dengan bangkit melawan penindasan dan ketakutan.

Menerusi lagu itu juga, Dolla berjaya menempatkan diri ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik Ke-37.

Sebelum ini, Dolla pernah tampil dengan single Makes You Wanna, Impikan, Watch Me Glow, Raya Raya Raya dan Bad. BH

Dolla mahu terbang tinggi

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Syamsul-Puteri Sarah berdamai, tetap kawan baik walaupun bercerai

Tan Sri Syed Mokhtar cium tangan PMX jadi bualan netizen [VIDEO]

Artis cantik Indonesia Ita Rahma mengaku telanjang dalam filem hantu

Kes siasatan terhadap Mahathir lengkap, kini ditangan peguam negara

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker