5 kali kahwin

5 kali kahwin

Membina mahligai perkahwinan yang berkekalan semestinya impian setiap manusia.

Bagaimanapun, kegagalan dalam rumah tangga bukan noktah untuk terus mencari cinta sejati.



Ramai yang berkahwin beberapa kali demi memperoleh bahagia yang diimpikan. Ia bukan lagi stigma negatif dalam masyarakat kerana sesiapapun berhak mengejar cinta sejati mereka.

Pastinya kisah rumah tangga golongan selebriti sentiasa jadi tumpuan ramai. Berita mereka berkahwin semula sentiasa disertai doa-doa yang menginginkan rumah tangga dibina bahagia sampai ke akhirnya.

Paling mencuri tumpuan ialah pelakon, Natasha Hudson, 40, yang pernah berkahwin lima kali.

Terbaharu, Natasha bertemu jodoh dengan mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Harits Jasmin atau Jay pada 28 Mac tahun lalu dalam majlis secara sederhana di Masjid Al Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor.



Natasha dalam satu temubual dipetik sebagai berkata, dia semestinya inginkan jodoh yang berpanjangan terhadap perkahwinan kelimanya.

Natasha juga mengakui dia bertemu cinta sejatinya menerusi perkahwinan kelimanya ini.

Memiliki zuriat bersama Jay juga sudah tentu menjadi impiannya.

“Kami boleh bercakap sebagai sahabat. Perkara paling penting mengenai cinta adalah pasangan. Saya datang dari keluarga sederhana, suami juga sama.



“Bagi saya, apa yang paling penting penerimaan keluarga. Alhamdulillah, saya bersyukur dan meminta jodoh ini dipanjangkan. Siapa yang nak berkahwin untuk bercerai,” katanya.

Terdahulu, Natasha bercerai dengan suami keempatnya iaitu Noor Nashriq pada Oktober 2019 selepas setahun berkahwin.

Pada Oktober 2018, Natasha mengakui sudah bercerai dengan bekas suami, Carleed Khaza atau Khalid Kamal yang dinikahinya pada April 2012.

Sepanjang enam tahun berkahwin, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Naeema Kalila dan Faatimah.



Sebelum itu, Natasha pernah berkahwin dengan Mohd Faiz Mohd Raih pada 2006 namun rumah tangga mereka hanya bertahan selama empat bulan.

Pelakon filem Chermin itu berkahwin buat kali pertama dengan ahli perniagaan, Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007. Cuma bertahan dua tahun, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Neesa Helena.

Perkahwinan keempat penerbit, Datuk A Aida, 53, dengan pelakon Ariff Aziz, 34, pada 2018 cuma bertahan sembilan bulan saja.

Katanya, perpisahan adalah jalan terbaik buat dia dan Ariff selepas tiada lagi persefahaman antara mereka. Dia reda jodoh mereka tidak panjang tetapi mengakui lebih tenang dan bahagia untuk solo kembali.



Sebelum itu, Aida pernah berkahwin dengan penyanyi kumpulan Spring, Ameng pada 1994, tetapi berpisah pada 2003.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Wan Az Aleesa, 27, dan Wan Azevanatassha, 22.

Berkongsi mengenai menempuh alam rumah tangga sebanyak empat kali, Aida berkata, tiada pengakhiran apabila menyentuh mengenai mencari cinta sejati.

“Ia pasti dirasai jika bersama dengan cinta hati yang tepat. Kedua belah pihak kena saling bertolak ansur, hormat sesama sendiri dan paling penting adalah komunikasi.



“Apa yang tak puas hati jangan dipendam, luahkan saja dan terus berbincang isu berbangkit ke jalan penyelesaian. Sebab kalau dipendam lama-lama akan membuat kita menjadi semakin marah, tidak puas hati dan perasaan benci mula tersemat di hati.

“Lama kelamaan terjadilah pertelingkahan. Bagi saya, itulah puncanya kenapa cinta sejati sukar untuk dicari kerana masing-masing tidak mahu mengalah dan ego,” katanya.

Aida berkata, seseorang perlu mencari pasangan yang memahami, berkongsi minat sama.

Selain itu pasangan juga harus menerima keluarga dan bertoleransi dalam hubungan.

“Walau apa saja yang pasangan kita suka buat, kita perlulah sokong dia. Pasangan kita juga perlu menerima keluarga kita. Jangan penting diri sendiri, contohnya hari raya, haruslah ikut giliran, jangan asyik nak balik rumah mak ayah kita saja. Mestilah peka terutama hari jadi pasangan kita dan juga keluarga pasangan kita,” katanya.

Selain Ameng dan Ariff, Aida juga pernah berkahwin dengan seorang anggota polis untuk tempoh beberapa bulan.

Dia kemudian berkahwin lagi bersama seorang pegawai polis berpangkat asisten suprintenden (ASP) ketika itu, Suffian Sulaiman pada 2007 namun juga berakhir dengan penceraian.

Mereka berpisah pada 2013 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Muhammad Rahul, 15.

Antara selebriti lain yang turut melalui pengalaman sama ialah Datuk Jamal Abdillah yang pernah berkahwin sebanyak empat kali, Datuk Aishah Ariffin empat kali, Abby Abadi tiga kali dan Fiza Elite sebanyak tiga kali.

Jamal, 63, kini diulit bahagia bersama isterinya Datin Zai Izzati Khiruddin, 27, sejak mendirikan rumah tangga pada April 2017.

Lebih manis, rumah tangga mereka diserikan dengan empat cahaya mata iaitu Nur Azura Yamani, 3, El Isaac Yamani atau Zack, 2, dan Iskandar Rayyan Yamani, setahun, dan Rahil Laura Salsabila Yamani yang dilahirkan 14 April lalu.

Sebelum ini Jamal pernah berkahwin dengan Basariah Latif pada 1988, namun mereka bercerai lapan tahun kemudian dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Penyanyi itu kemudian menikahi Intan Noraina Mohd Yusof pada 2001 dan mereka dikurniakan anak lelaki, Osama Yamani, 21, yang juga penyanyi.

Bagaimanapun perkahwinan mereka juga tidak berkekalan dan selepas itu beliau bertemu jodoh buat kali ketiga dengan Fatimatuzahra Samat pada 2005.

Menerusi perkongsian hidup selama dua tahun, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Zaki Yamani, 17, yang turut ikut bapanya ceburi bidang nyanyian.

Pada Februari tahun lalu, Aishah, 58, mengesahkan dia dan suami keempatnya, bercerai talak satu selepas lima tahun melayari bahtera perkahwinan.

Dia pernah mengesahkan sudah berkahwin pada 2017 namun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya perkahwinan keempatnya itu.

Walaupun kembali hidup bersendirian, Aishah mengakui ia bukanlah sesuatu yang sukar kerana mempunyai dua anak lelaki, Armand Azhari dan Azhad Ahlami sebagai sumber kekuatan.

Sebelum ini, perkahwinan pertama Aishah dirahsiakan manakala perkahwinan keduanya adalah bersama Muhammad Abdullah pada 1997 sebelum bercerai pada 2005.

Sementara itu, perkahwinan ketiganya dengan Faizal Sazali Zulkifli pada 2010 cuma bertahan dua tahun dan bercerai pada 2012.

Menerusi perkahwinan pertama dia dikurniakan anak, Armand Azhari, 30, dan perkahwinan kedua dikurniakan Azhad Ahlami, 25.

Abby, 45, pula cukup bahagia menjalani perkahwinan ketiganya sekarang selepas mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faizal Zakaria pada 2015.

Terdahulu, Abby berkahwin kali pertama dengan pelakon Norman Hakim pada 2002 sebelum bercerai pada 2008. Kisah perceraian Abby dan Norman cukup hangat diperkatakan ketika itu.

Anggota kumpulan Elite itu kemudiannya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar pada 2013 sebelum bercerai selepas 11 bulan berumah tangga.

Abby dan Faizal mempunyai dua orang anak angkat iaitu Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia.

Perkahwinannya dengan Norman dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 20; Marissa Dania Hakim; 18, dan Danisha Hakim, 15.

Bekas anggota Elite, Fiza, 41, pula seakan-akan serik untuk berumah tangga lagi menerusi kenyataannya tidak lama dulu.

Bagaimanapun, Fiza juga beruntung kerana bekas suami menerusi perkahwinan pertama, Ahmed Farriq Zainul Abidin sangat menyokong terutama menjaga dua anak mereka, Ferra Aryana, 15, dan Feeya Adyrra, 14.

Mereka bercerai pada 4 November 2010 selepas hampir empat tahun berkahwin.

Fiza seterusnya berkahwin dengan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia, Adam pada September 2013. Mereka kemudian bercerai pada September 2016 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Menerusi perkahwinan ketiga dengan juruterbang, Aizat Al Jefri pada Disember 2016 itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Baby Aleena kini berusia lima tahun. Namun mereka bercerai pada 22 Julai 2020. HM

5 kali kahwin

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Puteri Sarah dah macam Ira Kazar pulak

Jasmine dedah fantasi sebenarnya

ND Lala ajak beraya, Sabtu ini, netizen suruh balik beraya dengan isteri pertama

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker