FBI dakwah dalam lagu

FBI dakwah dalam lagu

Bingkisan indah tidak sampai empat minit yang dipertaruhkan Faizal Ismail, 46, dalam single baharu berjudul Terima Kasih Allah, cukup merungkai perjalanan hidup pengacara dan penyampai radio popular ini.

Mengakui hidupnya pernah kelam sebelum sinar kebahagiaan menjelma selepas mencari keredaan Tuhan, Faizal atau lebih dikenali sebagai FBI selesa berdakwah melalui pelbagai medium termasuk lagu ketuhanan selepas berhijrah.

Besar hajat Faizal yang kini bertugas sebagai penyampai di stesen radio Zayan FM apabila meluncurkan single Terima Kasih Allah ciptaan komposer Iwan Syahman yang turut menghasilkan lirik simbolik penuh bermakna.

Faizal berkata, single itu berpaksi kisah hidupnya yang pernah meniti jalan kelam sebelum kembali menyantuni kebenaran hakiki ditetapkan Yang Maha Esa.

“Lagu ini sebenarnya simbolik menggambarkan perubahan hidup saya ketika ini, berbanding suatu ketika dahulu, di mana saya banyak terbabit dalam bidang hiburan.

“Sekarang saya berada pada fasa baharu dalam hidup iaitu berdakwah. Apabila saya keluar dengan jemaah untuk mendalami ilmu agama, saya bertemu dengan ramai rakan artis, antaranya Iwan.

“Jadi, apabila saya dan Iwan berjumpa, ada ketika kami hanya berehat untuk menenangkan diri. Pada waktu itulah Iwan meminta saya kembali menyanyi biarpun pada awalnya, saya tidak pernah terfikir untuk ke arah itu.

“Kemudian, Iwan mahu menghasilkan lagu yang mudah untuk saya nyanyikan. Selepas menjalani beberapa peringkat perbincangan dan proses pembikinan, akhirnya saya suka dengan single Terima Kasih Allah,” katanya kepada BH Online.

Mengulas mengenai struktur lagu seperti pemilihan tajuk dan bait lirik, Faizal menjelaskan bingkisan itu adalah tanda penghargaan kepada Allah atas nikmat diberi.

“Lagu ini lebih kepada kesyukuran yang selalunya umat Islam sebut iaitu Alhamdulillah. Kami nyatakan dalam tajuk Terima Kasih Allah sebagai tanda penghargaan terhadap nikmat dan hidayah Allah.

“Dari segi lirik, lagu ini mengisahkan perjalanan hidup. Saya tidak mahu lagu ini hanya bercerita mengenai syurga kerana itu adalah perkara yang berat.

“Jadi, single Terima Kasih Allah adalah kupasan hidup saya yang beralih dari satu fasa ke satu fasa yang lain.

“Saya mahu menggambarkan rasa terima kasih dan bersyukur kepada Allah di atas apa yang sudah dilalui,” katanya pada sidang media pelancaran lagu Terima Kasih Allah di Universal Music Malaysia, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu pernah menghasilkan album berjudul Satu Jengkal pada 2006 hasil kerjasama dengan bekas penyampai radio, Khairil Rashid atau Krill melalui gandingan digelar Khafi.

Selain itu, Faizal pernah membuat kemunculan khas dalam album Hari Raya bersama penyanyi Faizal Tahir dan Shahir Zawawi ketika bertugas sebagai penyampai stesen radio, HotFM, suatu ketika dahulu.

Ditanya mengenai harapan terhadap single Terima Kasih Allah, Faizal mahu mesej yang cuba disampaikan dalam dendangan itu diterima dan dijadikan pengajaran.

“Kalau boleh, saya mahu lagu ini merantau lebih jauh seperti ke seberang iaitu Indonesia. Cuma, buat masa ini saya mahu pastikan lagu ini dapat diterima pendengar di Malaysia.

“Saya mahu mesej yang dibawa dalam lagu ini dapat diterima ramai. Apabila menghasilkan lagu ketuhanan seperti ini, saya harap ia menjadi suatu usaha dakwah yang mampu memberi manfaat kepada pendengar,” katanya.

Single Terima Kasih Allah dilancarkan sejak 24 Februari lalu dan boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. BH

FBI dakwah dalam lagu

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Pulanglah ke pangkal jalan Sol – Ibu

Sudah terlambat Sol – Puteri Sarah

Syamsul Saja Nak ‘Torture’ Mental Puteri Sarah?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker