Penceramah tanpa tauliah, penganjur acara, boleh dikenakan tindakan undang-undang

Penceramah tanpa tauliah, penganjur acara, boleh dikenakan tindakan undang-undang

Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) boleh mengambil tindakan undang-undang bukan sahaja kepada individu yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah, malah kepada penganjur kepada acara atau program berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan pada kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid, Mufti Negeri Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) Jamaluddin A Hamid.

Kenyataan yang dikeluarkan sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memberi penegasan terhadap penceramah yang perlu memiliki tauliah mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini, dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurut kenyataan, penganjur acara yang menjemput penceramah tanpa tauliah Mainj adalah dianggap sebagai melakukan kesalahan bersubahat.

“Mana-mana penganjur kepada acara mengajar dan memberi syarahan agama Islam menggunakan penceramah yang tidak bertauliah daripada Mainj adalah melakukan satu kesalahan penyubahatan di bawah Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Selain itu, mereka yang didapati mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Katanya, mereka yang diambil tindakan atas kesalahan itu boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kenyataan juga memaklumkan, tauliah yang diperlukan daripada Mainj meliputi kawasan masjid dan surau serta mana-mana tempat dalam negeri ini.

“Selaras dengan Seksyen 118(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003, antara kaedah mengawal doktrin dan fahaman yang menyeleweng dari hukum syarak di negeri ini adalah dengan memastikan mereka yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam hendaklah memiliki tauliah daripada Mainj.

“Mainj adalah pihak berkuasa agama Islam yang menjaga urusan hal ehwal masyarakat Islam di negeri ini supaya mematuhi hukum syarak yang berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah yang syariatnya berlandaskan mazhab Shafie tanpa menolak mazhab muktabar lain serta bertasawuf berlandaskan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali,” katanya.

Oleh itu, tegasnya, masyarakat Islam di negeri ini hendaklah mematuhi undang-undang yang telah dikanunkan demi memastikan syiar Islam yang benar dan betul ditegakkan dan dilaksanakan di Johor. HM

Penceramah tanpa tauliah, penganjur acara, boleh dikenakan tindakan undang-undang

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Musa Hassan beri amaran jangan masuk campur urusan keluarga [VIDEO]

Logo rahsia beruang pada coklat Toblerone

Didakwa gigit ‘kemaluan wanita’, anak billionair dipanggil polis

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker