Anwar cabar tindakan PM nasihat Agong gantung Parlimen

SHAH ALAM – Pengerusi Biro Guaman DAP, Ramkarpal Singh memaklumkan permohonan untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman yang difailkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin sebenarnya bukan untuk mencabar perisytiharan darurat seperti dilaporkan.

Beliau berkata, sebaliknya apa yang hendak dicabar dalam permohonan tersebut adalah keputusan Perdana Menteri (melalui Jemaah Menteri) untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk meluluskan kaedah 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat tersebut.
“Nasihat Perdana Menteri tersebut adalah dikatakan bertentangan undang-undang.

“Diharapkan satu tarikh pendengaran permohonan tersebut dapat ditetapkan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar perisytiharan darurat yang disifatkannya tidak berasas.

Mengulas lanjut, Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, antara relif yang dipohon Anwar di dalam permohonan tersebut adalah satu deklarasi dari mahkamah bahawa nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen dalam tempoh darurat yang diisytiharkan baru-baru ini adalah bertentangan undang-undang dan tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, permohonan tersebut difailkan oleh Anwar sebagai pemohon (selaku Ketua Pembangkang Dewan Rakyat) melalui Tetuan Karpal Singh & Co.

Katanya, responden-responden yang dinamakan adalah Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker