Tak pasal cari pasal

Tak pasal cari pasal

Oleh Mohsin Abdullah

Siapa lah agaknya penasihat yang menasihat perdana menteri untuk melantik anak sendiri jadi penasihat? Tak kiralah siapa tetapi pasti Anwar Ibrahim tahu beliau akan diserang kerana memilih Nurul Izzah sebagai penasihat kanan kewangan dan ekonomi. Begitu juga Izzah sendiri. Tentu tahu ayahnya malah beliau juga akan dikritik, dicemuh, diejek serta dipersenda apabila ayahnya melantik beliau dan beliau menerima pelantikan itu.

Sebaik berita pelantikan itu disiar media dalam talian, serangan dilancar bertubi-tubi ke atas Anwar. Tidak perlu saya huraikan kerana ramai mengikutinya. Seperti dikatakan Anwar pasti tahu serangan yang akan menjelma lantas beliau sudah bersedia menjawab setiap tuduhan. Dijawab penuh yakin.

Kepada yang mempertikai akan kelayakan Izzah – pihak yang bertanya sama ada beliau layak memberi nasihat mengenai kewangan dan ekonomi pada hal memegang ijazah muda kejuruteraan, begini jawapan Anwar:

“Adakah benar seorang menteri kesihatan mesti seorang doktor? Atau menteri air mesti jurutera?” tanya Anwar. Jika saya boleh menambah – semasa Khairy Jamaluddin jadi menteri dulu beliau dikatakan seorang menteri kesihatan yang bagus tetapi beliau bukan doctor. Izin saya lanjutkan. Adakah menteri pertahanan mesti seorang jeneral?

Saya setuju kelayakan universiti seseorang tidak semestinya dikaitkan dengan jawatan yang dipegang. Tetapi memang comel jika apa yang dipelajari di universiti digunakan dalam bidang yang sama untuk jawatan yang dipegang. Pun begitu diakui tidak semua menggunakan apa yang dipelajari dalam pekerjaan dengan baik dan cemerlang. Contoh seorang doktor tidak semestinya menjadi menteri kesihatan yang hebat.

Anwar sendiri yang memegang portfolio kewangan tidak ada kelayakan formal dalam bidang itu. Semasa beliau memegang jawatan menteri kewangan buat pertama kalinya dalam Kabinet Mahathir Mohamad dulu, beliau dikatakan menteri kewangan yang berjaya. Untuk rekod Anwar pelajar jurusan pengajian Melayu ketika menuntut di Universiti Malaya.

Izzah selain punya ijazah kejuruteraan turut memiliki ijazah dalam dasar awam dari Universiti Johns Hopkins School of Advanced International Studies. Tidak dinafikan beliau seorang yang bijak.

Apa yang dimilikinya dan pengalaman sebagai wakil rakyat selama dua penggal boleh dimanfaatkan dalam memberi nasihat mengenai kewangan dan ekonomi. Beliau pada pendapat saya boleh merasai denyut nadi negara lalu tahu apa yang perlu dan apa yang tidak perlu untuk negara.

Tetapi beliau adalah anak perdana menteri dan akan sentiasa diperhatikan. Pelantikannya pada hemat saya akan lebih menyusahkan ayahnya daripada membantu, walau bagaimana cemerlang beliau menjalankan tugas.

Anwar bagai memberi peluru kepada musuh politiknya. Ada juga kalangan rakyat biasa yang neutral sekarang menembaknya. Tuduhan seperti cakap tak serupa bikin dilemparkan kerana Anwar kerap bercakap mengenai keburukan nepotisme dan kronisme. Sekarang beliau dituduh mengamal gejala yang beliau benci. Ada yang tanya inikah “madani” yang dilaungkan?

Apa yang dilaksanakan Anwar kelak akan dikatakan hasil nasihat Nurul Izzah. Pakar ekonomi mungkin menjauhkan diri kerana percaya nasihat mereka tidak akan diterima. Pegawai kerajaan pula mungkin tidak berani menegur sebarang kelemahan (jika ada) kerana penasihat itu ‘anak bos’.

Teringat saya zaman kehebatan bola sepak Selangor dengan munculnya Mazlan Harun selaku “striker” dalam pasukan yang diurus oleh ayahnya Harun Idris. Walaupun beliau bermain baik dan menjaring gol penting beliau tetap dilihat berada dalam pasukan hanya kerana anak pengurus pasukan. Anwar juga akan dituduh asyik dengar nasihat anak, atau lebih buruk jika dituduh dikawal anak dan isteri meskipun kedua-dua tidak duduk dalam Kabinet. Wan Azizah Wan Ismail ialah Ahli Parlimen seperti kita semua maklum.

Anwar juga akan dilihat sebagai PM yang tidak percayakan orang lain. Hanya anaknya. Merumitkan keadaan ialah dalam Kabinet sudah ada Rafizi Ramli, menteri ekonomi. Bukankah menteri ekonomi boleh memberi nasihat ekonomi? “On the plus side” Izzah dan Rafizi memang rapat dan boleh mengwujudkan kombinasi baik dan berkesan.

Point yang kuat bagi Anwar ialah Izzah tidak diberi gaji mahu pun elaun untuk berkhidmat sebagai penasihat. Ini sekadar boleh meredakan keadaan tetapi tidak cukup unuk menghentikan serangan. Sebenar apa yang saya senaraikan diatas adalah persepsi negatif. Yang dihadapi Anwar ialah persepsi. “It’s all about perception” dan dalam politik persepsi adalah segala-galanya. Saya yakin Izzah punya pelbagai idea dan cadangan bagus untuk dilaksanakan kerajaan demi kepentingan negara dan rakyat. Tetapi alangkah bagus jika beliau memberi nasihat dan cadangan sebagai seorang anak kepada ayah secara tidak formal, bukan sebagai penasihat rasmi? Ini bagi mengelakkan persepsi negatif yang disebut tadi.

Anwar sekarang dipercayai rakyat. Agenda beliau untuk negara diterima rakyat dengan penuh harapan. Anwar disukai ramai. Begitu juga Izzah walaupun kalah pada PRU15 lalu. Diharap semua itu tidak hilang hanya kerana Anwar melantik anak sebagai penasihatnya. Penasihat tanpa gaji soal lain.

Dalam mempertahankan langkahnya Anwar menyerang balas: “Apa yang penting sekali termasuk untuk saudara Peja hentikan curi tanah balak, saham, projek, dan komisen.Ini yang jahanamkan negara.” Benar ini penting. Peja merujuk kepada Ahmad Faizal Azumu, timbalan presiden Bersatu, yang pernah menjadi menteri besar Perak, penasihat khas kepada Muhyiddin Yassin semasa menjadi perdana menteri dulu dan juga menteri dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Anwar juga berkata beliau tidak dengar dalam kalangan pengkritik kerajaan menyuarakan sokongan kepada usaha membersihkan negara daripada masalah tersebut. Baiklah. Tetapi itu juga soal lain. Isunya persepsi negatif yang ditekan dalam artikel ini. Persepsi yang boleh membebankan Anwar dan Izzah. Sesuatu yang boleh mengganggu fokus Anwar membangunkan negara.

Masalah ini bagi saya sesuatu “so unnecessary” yang sepatutnya boleh dielakkan, malah tidak patut terjadi sama sekali. FMT

Tak pasal cari pasal

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Isteri kedua baru hamil 6 bulan, suami nikah isteri ketiga [VIDEO]

Pelanggan mengamuk kerana saiz espreso (Video)

Kecil-kecil jadi pembuli (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker