Tepukan gemuruh di Tambun tapi adakah ‘nyanyian’ Anwar ikut rentak?

#PRU15

Tepukan gemuruh di Tambun tapi adakah ‘nyanyian’ Anwar ikut rentak?

Menempuh jarak sejauh 62km dan tujuh jam, ketua pembangkang, Anwar Ibrahim mengakhiri lawatannya di sekitar kawasan parlimen Tambun semalam dengan penuh semangat – sambil menyanyikan lagu kegemarannya sejak kebelakangan ini.

Anwar, yang gemar membawakan lagu-lagu lama Tamil ketika berceramah, sebaliknya memilih untuk menyanyikan single terbaru Altimet ‘Aduh Malaysia’ dan diceriakan dengan tepukan orang ramai yang hadir pada program Deepavali di Hulu Kinta.

Presiden PKR itu bukan sahaja disambut dengan tepukan gemuruh di Tambun, malah dia juga disambut mesra oleh penyokong berbilang kaum sepanjang siri jelajah itu.

Sambutan yang meriah kali ini, berbanding reaksi awal apabila pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mula-mula mengumumkan pencalonannya, sedikit sebanyak menghilangkan keraguan terhadap keupayaannya untuk merampas kerusi yang sebelum ini dimenangi Ahmad Faizal Azumu pada pilihan raya umum 2018.

Mungkinkah sentimen di bawah yang kelihatan positif ini menjadi petunjuk kepada nasib Anwar di kawasan itu nanti?

Adakah nyanyian Anwar mengikut rentak?

Walaupun langkah Anwar menjadikan Tambun sebagai medan perjuangannya dilihat mendapat sambutan baik oleh lebih 1,000 penyokong yang hadir pada siri-siri jelajah atau program tersebut, namun beberapa aspek lain juga perlu dilihat.

Jika kita memberi perhatian terhadap reaksi orang ramai semasa ucapan Anwar dan pemimpin PH yang lain pada acara yang berbeza sepanjang lawatan itu, kita akan sedar tidak semua penonton tidak sabar untuk mengikuti ucapan Anwar.

Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini di Pesta Lei Cha bersama penduduk Khantan di Chemor, Perak, majoriti orang ramai lebih teruja dengan ucapan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, dengan mereka bertepuk tangan dan bersorak penuh semangat.

Sementara itu, ada yang hanya menunggu Anwar – ahli politik berusia 75 tahun itu selesai menyampaikan ucapannya – supaya mereka boleh menjamu selera dengan hidangan tradisional Hakka percuma yang diperbuat daripada daun teh dan nasi.

“Walaupun saya yakin pengaruh Anwar memainkan peranan dalam peratusan keluar mengundi, orang datang untuk DAP.

“Saya tidak kisah apa yang dia (Anwar) katakan. Saya datang untuk ‘lei cha’,” sindir seorang yang hadir, namun enggan namanya disiarkan.

Walaupun masih awal, pencalonan Anwar sebagai calon perdana menteri daripada PH pada PRU15 akan datang tidak cukup untuk membantunya meyakinkan pengundi.

Adakah ini akan menyusahkan penyandang ahli parlimen Port Dickson itu, atau wajarkah dia kekal dengan gaya kempen ketika ini dan tidak menambahkan siri jelajahnya untuk menemui lebih ramai pengundi?

Rekod prestasi cemerlang di PD untuk menang di Tambun?

Tidak salah untuk mengatakan bahawa Anwar menggunakan ‘rekod prestasi cemerlangnya’ sebagai ahli parlimen Port Dickson, dengan berharap pengundi boleh membuat perbandingan dan mengundinya.

Salah satu perkara penting yang disebut berulang kali di hampir setiap acara sepanjang jelajah itu ialah dia memotong gaji selama dua bulan sebagai ahli parlimen semasa pandemik Covid-19 dan membelanjakan wang itu untuk membantu rakyat di kawasannya sebelum ini.

Walaupun kerusi Tambun boleh digunakan PH untuk menonjolkan calon perdana menteri mereka, harapan Anwar untuk bergantung kepada prestasinya di Port Dickson dalam menghadapi pertandingan pelbagai penjuru di kerusi majoriti Melayu itu boleh menjadi bumerang.

Bagaimanapun, Anwar mungkin mempunyai helah lain selepas hari penamaan calon pada 5 Nov.

Adakah nyanyian Anwar akan dianggap sumbang, atau adakah dia akan menyanyikan lagu mengikut rentak sama dengan pengundi Tambun? Hanya masa akan menentukan. Mk

Tepukan gemuruh di Tambun tapi adakah ‘nyanyian’ Anwar ikut rentak?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nelayan dakwa dihina dengan perkataan ‘Melayu bodoh, otak udang’

Kembar Najib dan Mahathir

Tayang gambar penyanyi K-Pop depan Kaabah (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker