Semakin ramai belia Filipina dijangkiti HIV

Semakin ramai belia Filipina dijangkiti HIV

Manila: Bilangan belia berumur 15 hingga 17 tahun yang disahkan positif HIV di Filipina meningkat 47 peratus dari 2019 hingga 2022 berbanding 2018, menurut data Jabatan Kesihatan Filipina (DOH).

Daripada 44,583 kes HIV yang dilaporkan dari 2019 hingga 2022, data menunjukkan 450, atau 1 peratus, berumur 15 hingga 17 tahun, dan 1,594 (4 peratus) berumur 18 hingga 19, lapor Xinhua.

Pengesahan undang-undang Filipina yang membenarkan ujian HIV ke atas kanak-kanak berumur 15 tahun tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaga membantu meluaskan akses kerajaan kepada golongan muda.

HIV terus menjadi ancaman kesihatan yang serius di Filipina selama 38 tahun sejak penyakit berjangkit itu muncul di negara Asia Tenggara itu pada Januari 1984. Pada masa ini, data terkini DOH menunjukkan 107,177 kes sejak 1984.

“Wabak HIV dan AIDS yang berterusan di negara ini kekal sebagai salah satu isu lama yang memerlukan tindakan bersepadu daripada semua sektor masyarakat,” kata Pegawai Bertanggungjawab DOH Maria Rosario Vergeire.

Di rantau Asia Pasifik, DOH berkata, Filipina mempunyai kes HIV yang paling cepat berkembang, dengan peningkatan 237 peratus dalam jangkitan HIV baharu tahunan dari 2010 hingga 2021.

Dalam tempoh yang sama, kematian berkaitan AIDS telah melonjak sebanyak 315 peratus.

Lebih 90 peratus daripada kes yang dikira dari 1984 telah dilaporkan dalam tempoh 10 tahun yang lalu, menunjukkan peningkatan yang ketara dalam kalangan kes yang dilaporkan berbanding tempoh 10 tahun sebelumnya atau 2002 hingga 2011.

Data menunjukkan peningkatan tertinggi dalam kes dari 2012 hingga 2022 adalah dalam kumpulan umur 25 hingga 34 tahun, diikuti oleh mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun.

Pakar memberi amaran bahawa jika usaha semasa dalam tindak balas HIV dikekalkan, anggaran bilangan pesakit HIV di Filipina boleh mencecah 364,000 menjelang 2030, iaitu peningkatan dua kali ganda daripada anggaran pesakit HIV menjelang akhir 2022.

Di peringkat global, Program Bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai HIV/AIDS (UNAIDS) berkata, 38.4 juta orang hidup dengan HIV pada akhir 2021.

Laporan UNAIDS baru-baru ini mengatakan golongan muda berumur 15 hingga 24 tahun menyumbang 26 peratus daripada kes baharu.

Di sesetengah negara, termasuk Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina dan Thailand, lebih 40 peratus jangkitan baharu adalah dalam kalangan belia.

Lebih mengejutkan, laporan itu mengatakan bahawa dalam kumpulan umur 15 hingga 24 tahun, 99 peratus jangkitan baharu di rantau ini adalah dalam kalangan orang daripada populasi utama dan pasangan mereka. HM

Semakin ramai belia Filipina dijangkiti HIV


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Perlantikan kabinet, Annuar Musa kini ‘bertukar nada’

Bila Formula Rafizi Akan Mula Dilaksanakan?

Ronaldo bakal berhijrah ke Arab Saudi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker